Ramadan adalah bulan tarbiah sejak zaman berzaman untuk mencapai Taqwa, ia adalah syariat yang besar sejak zaman umat terdahulu dalam mendidik jiwa orang-orang yang beriman. Bagi para bapa, Ramadan adalah bulan paling baik untuk mendidik anak-anak tentang nilai-nilai adab yang mulia.
Madrasah Ramadan menawarkan pelbagai koleksi amalan ibadah seperti puasa, solat tarawih, dan tilawah al-Quran. Melibatkan anak-anak dalam tarbiah Ramadan, kita tidak hanya mengajarkan mereka fizikal ibadah itu semata -mata, tetapi nilai dan adab di sebalik setiap ibadah.
Misalnya, mengajar mereka untuk solat dengan penuh khusyuk, serta menjaga adab di masjid dengan tidak membuat bising dan menganggu orang lain. Selain itu renungan terhadap makna al- Quran yang mendalam juga boleh dikongsikan sebagai panduan yang akan diingati oleh anak – anak sepanjang kehidupannya.
Masjid atau surau di taman dalam bulan Ramadan ini menjadi pusat pembelajaran yang penting, di mana anak-anak dapat melibatkan diri dalam berbagai aktiviti. Di sini, mereka belajar tentang adab berinteraksi dengan anggota masyarakat yang lain, baik ketika bermain selepas Terawih di luar surau atau dalam program iftar dalam berkongsi juadah.
Bulan Ramadan juga adalah masa yang tepat untuk menguatkan ikatan keluarga melalui pendidikan adab. Ayah dan ibu boleh memainkan peranan penting sebagai contoh utama dalam pengajaran adab. Ajarlah anak – anak tentang peri pentingnya berbicara dengan lembut, menghormati yang lebih tua, dan menyampaikan nasihat dengan penuh kasih sayang.
Ramadan juga penting kepada anak – anak dalam menjauhi perkara yang sia – sia dan tutur kata yang jelik. Tegur anak – anak dengan tegas jika ada tutur kata kasar, sinis, atau menghina diucapkan.
Tarbiah Ramadan berpotensi membentuk asas yang kukuh dalam pembentukan karakter anak-anak. Ramadan bukan sekadar bulan untuk berlapar dan dahaga atau meningkatkan kuantiti ibadah semata-mata, tetapi juga untuk membentuk anak – anak yang mulia dari segi adab dan memupuk semangat juang untuk membantu umat Islam yang tertindas.