Sebarang percubaan untuk menyebarkan agenda yang bertentangan dengan identiti dan nilai masyarakat Malaysia adalah suatu usaha yang patut ditentang habis-habisan, apatah lagi jika niat jahat ini ditujukan kepada golongan belia dan mahasiswa.
ISMA kesal bagaimana seorang pro-Zionis menyampaikan idea dan pemikirannya kepada komuniti universiti antara yang terulung di Malaysia. Apa kredibiliti yang melayakkan seorang pro-Zionis untuk mengajar rakyat Malaysia tentang keadilan dan nilai kemanusiaan? Pihak yang berwajib seharusnya menyemak latar belakang orang asing sebelum dibenarkan masuk ke negara kita, apatah lagi untuk dibenarkan mengajar kita tentang perkara yang bertentangan dengan nilai kita.
ISMA menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersepakat untuk kekal sensitif dan istiqomah dalam mencatas walaupun sekecil-kecil agenda jahat seumpama ini. Gerakan belia dan mahasiswa perlu bangkit dengn lantang menyatakan pendirian kita. Kita akan terus bersama Palestin kerana penjajahan ini bukan hanya isu kemanusiaan malah ianya adalah isu aqidah yang perlu dipertahankan.
ISMA menyeru kepada kerajaan supaya tidak lemah untuk mengambil tindakan tegas. Mana-mana individu yang dikenalpasti membawa agenda yang menggugat nilai dan identiti Malaysia perlulah disekat dan tidak perlu dibenarkan lagi memasuki negara.
Malaysia seharusnya kekal konsisten dan berpegang teguh pada pendirian kita untuk mendukung dan membela saudara kita di Palestin. prinsip ini tidak seharusnya digadaikan semata-mata untuk meraih pengiktirafan dunia yang dikuasai proksi Zionis
Malaysia merupakan negara yang berdaulat dan bebas merdeka dari segi jati diri, nilai dan identiti. Kita tidak akan dan tidak seharusnya tunduk kepada mana-mana tekanan untuk mengubah identiti asal Malaysia berteraskan Islam dan Melayu. Inilah teras dokongan perlembagaan persekutuan yang menjadi fabrik unik masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.
Ustaz Shuhaib ar-Rumy Selamat
Presiden ISMA