Kehadiran bulan Syawal adalah untuk meraikan kejayaan umat Islam mengalahkan hawa nafsu sepanjang Ramadan. Islam mengajar umatnya bahawa rasa gembira dan seronok itu diraikan dengan cara mengikut syariat dan akhlak yang mulia. Inilah dua perayaan besar dalam Islam iaitu hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha.
“Trend” sebahagian masyarakat yang menyambut kemeriahan Syawal dengan melakukan aksi menari dengan lirik-lirik lagu yang mengandungi unsur maksiat dan tidak sopan sewajarnya dihentikan dan diberikan penekanan semula tentang adab-adab hari raya yang perlu dijaga oleh umat Islam. Ini merosakkan maqasid Aidil Fitri itu sendiri yang disambut kerana menundukkan syahwat dan mengangkat kehormatan insan.
Juga memperagakan pakaian hari raya yang tidak menepati kehendak syariat dalam menjaga aurat dan memelihara kehormatan diri (‘iffah). Seruan Islam yang menggalakkan memakai baju yang baik pada hari raya tidak bermaksud untuk mengabaikan aspek syariat yang telah ditetapkan.
Syawal adalah panduan Islam kepada masyarakat untuk menolak pengaruh dan budaya hedonisme yang liar dan jauh daripada aturan wahyu. Batasannya adalah selagimana apa yang dilakukan itu tidak melanggar hukum syarak dan nilai akhlak yang mulia.
Budaya ini akan berterusan jika lemahnya peranan ummah dalam melaksanakan tanggungjawab amar makruf dan nahi munkar. Tidak mustahil suatu hari nanti ianya akan dianggap sebahagian daripada sambutan hari raya dengan hiburan yang melalaikan, tarian dan lagu yang menjauhkan manusia daripada ingatan kepada Allah SWT.
Ustaz Shuhaib ar-Rumy Selamat
Presiden ISMA