Kepimpinan Keluarga Dalam Perjuangan Dan Dakwah.

Institusi dan organisasi hebat dalam apa jua industri meletakkan ‘prerequisite’ dan kelayakan tertentu bagi seseorang sebelum dilantik untuk menerajui pentadbiran dan pengurusannya. Bahkan individu tersebut mesti melalui siri-siri latihan teori dan prakitkal dan juga mempunyai ‘skill set’ yang khusus dalam kepimpinan, kemahiran bagi menjamin dirinya kompeten (competency) dan mampu (capacity) menggalas tanggungjawab tersebut.

Maka selayaknya perkara yang sama mesti juga dilakukan bagi institusi paling utama dalam Islam iaitu institusi keluarga yang menggalas tugas melahirkan dan membangunkan sumber yang berharga dalam alam semesta ini iaitu insan/manusia yang akan menjadi khalifah di muka bumi ini.

Allah SWT meletakkan panduan dan peraturan yang halus kepada manusia dalam hal ini supaya mereka mampu menjalankan fungsinya atas asas fitrah sesuai dengan kejadian setiap suami/bapa dan isteri/ibu yang membentuk sebuah keluarga.

Bimbingan bersumberkan wahyu dalam hal kekeluargaan ini bertujuan memelihara institusi keluarga agar tidak diruntuhkan akibat hawa nafsu dan juga persengketaan antara ahli keluarga.

Allah SWT telah memutuskan bahawa kepimpinan dalam rumahtangga dan keluarga adalah tanggungjawab lelaki yang merupakan seorang suami dan bapa. Ini bersesuaian dengan ciri-ciri fitrah seorang lelaki yang ditugaskan untuk melindungi seluruh ahli keluarganya daripada sebarang mudarat di dunia dan akhirat selari dengan arahan Allah SWT : Lindungilah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka. (At-Tahrim:6)

Kaum lelaki juga diberikan amanah bagi mengurus dan mentadbir perbelanjaan dalam keluarga untuk memastikan kelangsungannya agar dapat menyampaikan dakwah dan seruan Islam kepada tamadun kemanusiaan.

Sekiranya suami atau bapa mengabaikan tanggungjawab kepimpinannya dalam keluarga, ia akan menyebabkan berlaku ketidakseimbangan dan kegoncangan dalam institusi keluarga tersebut. Ini kerana apa sahaja perkara dalam keluarga yang dilakukan bertentangan daripada panduan Al-Quran dan Hadis akan menghilangkan as-sakinah (ketenangan), al-mawaddah (keintiman) dan ar-rahmah (kasih sayang) antara pasangan suami dan isteri. Apabila hilangnya cahaya-cahaya ini, kelamlah rumahtangga itu. Dunia turut menjadi gelap dari sinaran dakwah.

Kepimpinan dalam keluarga bermula dengan ilmu dan contoh ikutan yang baik. Seorang bapa mesti berusaha sedaya upaya untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran berkaitan tanggungjawabnya yang besar ini. 80% daripada ilmu ini diperolehi secara tidak formal dengan pergaulannya dengan ahli keluarga dan kejiranan yang baik. Dirinya akan belajar daripada contoh-contoh yang ditunjukkan daripada mereka yang sudah pun dahulu merasai garam dalam kehidupan berumahtangga.

Ini yang ditunjukkan kepada kita oleh para Rasul alaihim solawatu wa salam dalam kisah-kisah mereka dengan anak-anak. Mereka menyaksikan bapa-bapa mereka yang menjadi Nabi dan Rasul melaksanakan dakwah tanpa henti, berjuang dengan penuh kesukaran dan itulah yang menyalakan api perjuangan dalam jiwa dan diri mereka bagi mewarisi tugasan dakwah yang mulia. Allah SWT menukilkan himpunan kisah dakwah para Nabi bersama ahli keluarga yang berada di sisi dan menjadi penerus kesinambungan risalah.

Pimpinlah ahli keluargamu dengan syariat di dunia meniti jalan menuju kebahagiaan di akhirat. Bangunkan potensi ahli keluargamu menjadi nukleus perubahan dalam masyarakat bagi membangun negara yang unggul. Jangan abaikan amanah yang penting ini, masa depan mana-mana peradaban hebat bermula daripada sebuah keluarga. Dakwah kepada masyarakat itu mulanya dari langkahan pertama dari pintu rumah.

Impikanlah kerehatan yang hakiki bagi keluargamu nanti bersama para Rasul, para sahabat, para syuhada’ dan semua orang-orang yang beriman di taman syurga yang mengalir di bawahnya anak-anak sungai. Segalanya itu bermula dengan kepimpinanmu wahai sang ayah.

Ustaz Shuhaib ar-Rumy Selamat
Presiden ISMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat