Pembukaan Olimpik 2024 di Perancis telah dicemari oleh insiden penistaan Barat terhadap agama Kristian apabila mereka dengan beraninya memomokkan (baca:menghina) salah satu peristiwa yang dianggap penting dalam sejarah agama Kristian yakni The Last Supper (makan lewat malam terakhir).
Peristiwa suci dalam agama Kristian yang memaparkan makan malam terakhir Nabi Isa (menurut kepercayaan mereka) bersama al-Hawariyyun (pengikut setia Nabi Isa A.S.) dicipta semula oleh golongan LGTV yang terdiri daripada kalangan drag queen (lelaki yang berpakaian dan bersolekan menampakkan ciri keperempuanan (drag) serta berperwatakan seperti wanita secara berlebihan untuk tujuan hiburan) itu telah mendapat kecaman seluruh masyarakat dunia terutamanya daripada pengikut setia agama Kristian.
Tidak hairanlah perkara ini berlaku memandangkan latar belakang masyarakat Perancis itu sendiri yang telah menerima laïcité (kebebasan bersuara) sebagai salah satu prinsip asas kehidupan bernegara mereka di mana dalam prinsip ini kebencian terhadap mana-mana agama boleh dizahirkan tanpa mendapat larangan daripada pemerintah di sana.
Prinsip yang telah membenam kukuh dalam jati diri masyarakat Perancis ini timbul setelah mereka beratus tahun dikongkong gereja yang memanipulasi kehidupan mereka yang menyebabkan para pemimpin dan paderi gereja pada ketika itu lebih mewah dan berkuasa berbanding monarki raja mereka sendiri.
Sentimen ini juga dikukuhkan lagi selepas berlakunya Revolusi Perancis pada tahun 1790 yang menyaksikan proses dekristianasi masyarakat di sana yang mula menolak agama kerana beranggapan ianya mengongkong kemajuan mereka serta merasakan untuk mereka lebih progresif,agama harus dipisahkan dalam aktiviti kehidupan seharian mereka termasuklah daripada segi sosial,ekonomi mahupun politik (baca:sekularisasi).
Pun begitu, Islam telah hadir kesyumulannya (baca:lengkap) untuk mengatur kehidupan manusia melalui dalil al-Mai’dah ayat ketiga
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
“… Pada hari ini telah Aku sempurnakan untukmu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redhai Islam sebagai agama bagimu.”
Hassan al-Banna telah meletakkan prinsip ini sebagai prinsip pertama sekali dalam rukun isyrin (rukun 20) memandangkan kehidupan manusia memerlukan suatu peraturan universal (baca:menyeluruh) yang mampu mengatur tatacara kehidupan manusia tanpa sedikitpun menolak fitrah penciptaan kejadian manusia yang mengandungi pelbagai ragam dan mehnah.
Tidak hairanlah Islam semakin mendapat tempat di Barat berdasarkan laporan The New York Times yang menyatakan bahawa kadar pengislaman di Perancis mencanak naik dalam purata 4000-7000 manusia memeluk islam terutamanya setelah insiden serangan terhadap syarikat akhbar Charlie Hebdo yang menyaksikan penghinaan terhadap karakter Rasulullah S.A.W. yang keterlaluan.
Masyarakat Perancis juga telah mula membuka mata melihat keindahan Islam dalam meraikan martabat kaum wanita terutamanya penghormatan yang tinggi kepada para ibu melalui peristiwa pemain kelahiran Perancis berketurunan Maghribi,Sofiane Boufal yang meraikan kemenangan gol bersama ibunya dalam perlawanan suku akhir di Piala Dunia 2022.
Peristiwa ini menimbulkan ketakjuban oleh masyarakat Perancis kerana umumnya mereka kurang menghargai institusi keluarga terutamanya ibu bapa yang sudah tua,tidak seperti Islam yang sangat meninggikan martabat ibu dan ayah walaupun mereka berlainan agama.
“Aku pergi ke Eropah lalu aku melihat Islam namun tidak melihat Muslim, dan aku pergi ke negara Arab dan melihat Muslim namun tidak melihat Islam.”
Waeil Al Fawwaz
Pengerusi PEMBINA Pulau Pinang