Mus’ab bin Umair merupakan seorang remaja elit dari keluarga bangsawan Quraisy. Gaya hidupnya memang high end. Tetapi apabila hidayah Islam sampai, Mus’ab memilih tarbiah, bukan populariti. Dia menjadi da’i pertama yang diutus ke Madinah, dan hasilnya? Hampir seluruh Yathrib memeluk Islam sebelum Nabi berhijrah.
Bayangkan… semua itu bermula dari seorang remaja yang di tarbiah.
Dalam sirah, kita lihat Usamah bin Zaid, dilantik jadi panglima perang pada umur 17 tahun. Bukan sebab dia hebat semula jadi. Tapi sebab Rasulullah sendiri yang mencorakkan peribadi Usamah, bukan menunggu dewasa, tetapi membentuk karakter dari muda.
Remaja bukan tunggu masa untuk ‘jadi orang’, mereka sedang ‘dibentuk menjadi orang’. Mereka bukan ‘produk siap’, tapi aset hidup yang perlu dibentuk dengan tarbiah. Kalau kita biarkan remaja ditelan trend, algoritma, dan ideologi asing; jangan salahkan mereka bila hilang arah. Salahkan kita yang tidak sempat peluk mereka lebih awal
.
Tarbiah bukan pilihan. Ia satu bentuk perlindungan. Remaja yang tidak di tarbiah, akan di tarbiah oleh dunia, dan dunia tak pernah berhati-hati macam murabbi.
Saya percaya, inilah pelaburan peradaban. Remaja hari ini adalah imam solat jenazah kita pada esok hari. Mereka akan jadi guru kepada anak-anak kita. Mereka yang akan menulis sejarah Malaysia versi fitrah, atau versi yang kita semua takut bayangkan.
Setiap kali saya tengok wajah mereka dalam halaqah, walau nakal, walau blur, walau ada yang tertidur masa tazkirah, saya tahu, di sinilah titik mula perubahan.
Bila umat abaikan remajanya, peradaban itu akan runtuh tanpa suara. Tapi bila umat menjaga remajanya, langit pun akan jadi saksi kebangkitan.
Qamarul Nazrin bin Harun
Ketua Kelab Remaja ISMA (KRIM) Sepang


