كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
{Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).
Perkataan Khoira Ummah disini ialah umat yang terbaik. Allah SWT telah meletakkan tiga syarat utama untuk mencapai Khoira Ummah seperti mana yang disebutkan di dalam ayat tersebut, iaitu menyeru kepada perkara Makruf dan mencegah perkara Mungkar dan beriman dengan Allah SWT. Tanpa tiga syarat ini, sebuah umat itu tidak layak untuk dinamakan sebagai Khoira Ummah.
Kalimah Makruf bermaksud setiap kata-kata atau perbuatan yang dianggap baik oleh syarak dan disokong oleh akal yang waras. Kalimah Mungkar pula bermaksud setiap kata-kata atau perbuatan yang dianggap buruk oleh syarak.
Saidina Umar R.A dan majoriti ulama tafsir berpandangan bahawa yang dimaksudkan dengan ”Khoira Ummah” di dalam ayat ini ialah para Sahabat Nabi SAW dan orang-orang Islam yang melaksanakan tanggungjawab mengikut neraca syarak, menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ada pandangan lain yang mengatakan mereka adalah para Sahabat Nabi SAW yang berhijrah ke Madinah bersama dengan Baginda SAW. Ada juga yang berpendapat bahawa mereka ialah para periwayat hadith dan pendakwah di kalangan para Sahabat Nabi SAW.
ISMA memilih perkataan ummah kerana mempunyai makna yang besar dalam perjalanan dakwah sebuah harakah Islam.
Presiden ISMA semasa berucap di Mesyuarat Agung Perwakilan ISMA menekankan Islah iaitu satu projek pembaikan secara menyeluruh terhadap kerosakan yang berlaku dalam masyarakat.
Presiden ISMA menekankan keperluan seorang pendakwah untuk turun ke lapangan berdakwah dan terlibat secara langsung dengan masyarakat di setiap peringkat.
Hal ini kerana, masyarakat sedang berhadapan dengan pelbagai krisis seperti keruntuhan moral, kerosakan institusi keluarga, ketandusan nilai, serta kehilangan jati diri Islam.
Seruan ini sangat ketara seperti huraian dari surah Ali- Imran ayat 110 iaitu keperluan kepada usaha amal makruf nahi mungkar.
Dalam melaksanakan usaha dakwah ini, ISMA yakin bahawa tanggungjawab ini harus digalas oleh semua lapisan masyarakat terutamanya umat Islam.
Oleh itu strategi dakwah ISMA bersifat terbuka dan inklusif, iaitu mengajak semua pihak dalam komuniti untuk bersama-sama membina masyarakat yang hidup dengan nilai-nilai Islam.


