Dalam lipatan sirah Nabawi, bulan Zulkaedah pernah mematerikan suatu peristiwa penting, yang menjadi titik mula perubahan fasa dakwah baginda Nabi SAW.
Peristiwa tersebut ialah Sulhu (Perjanjian) Hudaibiyah, yang berlaku pada bulan Zulkaedah, tahun 6 Hijrah.Allah SWT berfirman yang bermaksud :
“Sungguh, Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata,”
(Surah al-Fath; 48:1)
“Al-Fath” yang bermaksud kemenangan atau pembukaan dalam ayat ini merujuk kepada peristiwa Hudaibiyah, sebagaimana diriwayatkan daripada para sahabat. Antaranya kata-kata Saidina Al-Barra’ bin ‘Azib;
“Kamu semua menganggap bahawa kemenangan (Al-Fath) itu ialah Pembukaan Mekah. Memang Pembukaan Mekah itu suatu kemenangan. Tetapi kami menganggap kemenangan itu ialah Bai‘ah al-Ridwan pada hari Hudaibiyah.”
(HR Al-Bukhari)
Demikian juga diriwayatkan daripada Saidina Anas bin Malik;
{Sungguh, Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata}. Kata Anas, “(ayat ini merujuk kepada) Peristiwa Hudaibiyah.”
(HR al-Bukhari)
Kenapa al-Quran menyebut Perjanjian Hudaibiyah dengan kemenangan?
Kerana pasca perjanjian tersebut, dakwah baginda Nabi SAW memasuki fasa baharu. Fasa yang memperkukuhkan kedudukan negara Islam Madinah. Baginda SAW memberi fokus kepada dua bentuk operasi;
Pertama, perutusan surat kepada para pemerintah. Antaranya ialah Raja Habsyah, Mesir, Oman dan Bahrain. Bahkan baginda turut mengutus surat kepada dua kuasa dunia paling besar ketika itu, Rom dan Parsi. Kandungan surat baginda SAW pula secara tegas menyeru para pemerintah ini kepada Islam.
Bayangkan sebuah negara yang baru berusia sekitar 6 ke 7 tahun, telah mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan empayar yang berusia ratusan tahun. Justeru agenda perutusan surat ini amat penting dalam menonjolkan kekuatan politik negara Madinah ketika itu.
Kedua, operasi ketenteraan. Perjanjian Hudaibiyah membentuk gencatan senjata antara Musyrikin Mekah dengan umat Islam Madinah. Hal ini memberi ruang kepada pasukan Muslimin untuk mengalihkan perhatian kepada ancaman Yahudi dan kabilah Arab lain di sekitar Madinah.
Operasi paling penting ialah Perang Khaibar yang berlaku pada Muharram 7H. Operasi ini berjaya mengalahkan Yahudi Khaibar yang menjadi antara pusat ancaman kepada Islam. Kemenangan di Khaibar memberikan harta rampasan yang sangat banyak, sehingga Saidina Abdullah bin Umar menyebut;
“Kami tidak pernah benar-benar kenyang sehinggalah kami membuka Khaibar”
(HR al-Bukhari)
Demikianlah, Perjanjian Hudaibiyah turut membuka jalan berlakunya Fathu Makkah (pembukaan Kota Mekah) pada Ramadan 8H. Ini adalah peristiwa agung seperti yang digambarkan oleh Ibnul Qayyim,
“Ia adalah pembukaan dan kemenangan terbesar yang dianugerahkan oleh Allah kepada agama-Nya, Rasul-Nya dan tentera-Nya yang amanah.”
Menyorot sedikit ke belakang, saat di Hudaibiyah, adakah para sahabat telah menjangkakan semua kemenangan besar ini? Adakah terma perjanjian itu diterima dengan hati terbuka dan perasaan yang gembira?
Sudah tentu, tidak. Bahkan sewaktu Hudaibiyah dimeterai, sebahagian besar para sahabat terpaksa menahan amarah kerana merasakan isi perjanjian seolah-olah merendahkan Islam dan umatnya. Sahl bin Hunaif merekodkan kisah Saidina Umar seperti berikut;
Ketika itu Umar datang kepada Rasulullah dan berkata, “Bukankah
kita di atas yang hak, dan mereka di atas yang batil, dan bukankah orang yang terbunuh dari kalangan kita berada di syurga dan orang yang terbunuh dari kalangan mereka berada di neraka?”
Baginda menjawab, “Ya.”
Umar berkata lagi, “Lalu mengapa kita memberikan kerendahan dalam agama kita dan kita pulang, sedangkan Allah belum memberikan keputusan di antara kita?”
Baginda menjawab, “Wahai Ibnul Khattab, sesungguhnya aku utusan Allah, dan Allah SWT tidak akan menyia-nyiakan aku selama-lamanya.”
Maka Umar kembali dalam keadaan marah dan tidak sabar sehingga dia mendatangi Abu Bakar, dan berkata, “Wahai Abu Bakar! Bukankah kita di atas yang hak, sedangkan mereka di atas yang batil?”
Abu Bakar menjawab, “Wahai Ibnul Khattab! Sesungguhnya baginda adalah utusan Allah, dan Allah SWT tidak akan menyia-nyiakan baginda selama-lamanya.”
(HR al-Bukhari dan Muslim)
Bayangkan anda berada di Hudaibiyah. Lalu datang seorang Muslim dari Mekah minta diselamatkan dalam keadaan rantai yang membelenggunya. Telah lama dia ingin hijrah, tapi dikurung oleh si ayah yang masih kufur. Oleh kerana, perjanjian yang baru termeterai, anda tidak mampu membawanya bersama rombongan Madinah, dan dia perlu dipulangkan kepada musyrikin Mekah. Bagaimana perasaan anda ketika itu?
Demikianlah yang berlaku kepada para sahabat.
Sebaik perjanjian dimeterai, para sahabat didatangi oleh Abu Jandal, minta diselamatkan dan dibawa bersama ke Madinah. Abu Jandal ialah anak kepada Suhail bin Amru, pemuka Quraisy yang menjadi wakil Mekah dalam perjanjian ini. Para sahabat hanya mampu melihat Abu Jandal diheret pulang ke Mekah oleh ayahnya. Abu Jandal menjerit merayu-rayu minta diselamatkan. Para sahabat terdiam. Sejak zaman Arab jahiliyah, melanggar perjanjian dipandang sebagai sikap yang hina. Mereka tidak berupaya melanggar terma yang telah dipersetujui kedua-dua pihak. Baginda Nabi juga hanya mampu menyeru Abu Jandal agar bersabar dan yakin dengan pertolongan Allah.
Bayangkan perasaan para sahabat menyaksikan itu semua. Namun kerana kekuatan iman, Allah menurunkan ketenangan dalam jiwa para sahabat. Allah menjanjikan pelbagai kejayaan dan kemenangan dalam tempoh yang dekat. Tidak lama berlalunya masa, akhirnya para sahabat melihat hikmah Ilahi dari peristiwa Hudaibiyah ini. Peristiwa ini terakam dalam Surah al-Fath; 48 ayat 18 hingga 21.
Menelusuri sirah Hudaibiyah, kita belajar bahawa Allah SWT telah menyusun setiap satu perkara dengan hikmah tersendiri. Ada perkara yang disegerakan, sebagaimana kita kehendaki, kerana memang itu yang terbaik buat kita, pada masa itu.
Tapi ada juga perkara yang Allah SWT tangguhkan, walaupun saat itu kita rasa terdesak untuk mendapatkannya. Kerana di sisi Allah, penangguhan itu jauh lebih baik.
Kita merancang melakukan sesuatu. Tapi kadang hasilnya tidak seperti yang kita harapkan. Sabar. Ada rahsia yang Allah simpan. Tawakal. Terus berjalan. Jangan berhenti berusaha. Jangan putus doa dan pergantungan kepada Tuhan.
Sekumpulan mukmin melakukan usaha dakwah, mengajak kepada yang makruf, mencegah hal yang mungkar. Namun kadang terlihat kalah dengan usaha pihak yang mempromosi kebatilan. Jangan pernah merasa lemah. Mungkin Allah mahu kita memperkemas langkah. Ada strategi yang perlu diperbaiki. Atau ada hikmah lebih besar di hadapan yang belum kita nampak. Jangan putus asa.
Pokoknya adalah sabar, dan kesabaran itu tidak datang melainkan dengan iman dan tingginya tawakal kita kepada Tuhan. Apabila masanya tiba, akhirnya kita akan melihat rahsia Ilahi yang memandu kehidupan kita. Saat itu, kita akan yakin bahawa Allah SWT tidak pernah mengabaikan orang mukmin;
إِنَّهُلَْن يَُضيَِّعِني أَبًَدا
“Sesungguhnya Allah tidak akan menyia-nyiakan ku selama-lamanya.”
Ahmad Hisyam Sabrani
Yang Dipertua ISMA Kuala Lumpur


