Di era serba moden hari ini, makin ramai pasangan suami isteri yang berkira soal siapa patut masak. Ada yang menyusun giliran seperti jadual tugas hostel, ada yang saling mengungkit kepenatan, dan ada pula yang bersandar kepada hujah-hujah agama secara sempit, kononnya tidak wajib, maka isteri tak patut lagi dipertanggungjawabkan.
Ada pula pihak yang menegaskan bahawa memasak bukan tugas isteri, lalu menjadi alasan isteri untuk enggan menyentuh dapur.
Tapi adakah benar begitu mudah membebaskan diri daripada sesuatu yang terlalu dekat dengan jiwa wanita sejak ribuan tahun?
Memasak mungkin bukan “wajib syarie”, namun ia tidak pernah terpisah dari fitrah. Fitrah bukan sekadar minat atau kecenderungan individu. Ia adalah cetakan asal yang Allah SWT telah tetapkan pada makhluk-Nya, yang mendahului zaman dan budaya, lalu membentuk naluri, keutamaan dan keseimbangan dalam hidup manusia.
Jika kita melihat kepada sejarah kemanusiaan, dalam mana-mana bangsa, dari Melayu ke Arab, dari Cina ke Afrika, wanita adalah pusat kepada dapur dan makanan keluarga. Bukan kerana wanita tertindas, tetapi kerana mereka yang paling dekat dengan kehidupan, dan makanan adalah simbol kehidupan itu sendiri.
Apa yang lebih menarik, perkara ini bukan sekadar budaya, tetapi ia adalah hukum alam (sunnatullah). Dalam kalangan haiwan yang hidup secara sosial, betina yang memburu untuk anak, menyusukan, melindungi dan menyuap makanan ke mulut mereka. Gajah betina, singa betina, burung betina, semuanya memikul peranan ini.
Ia bukan hasil undang-undang atau propaganda jantina, tetapi adalah kesepakatan universal makhluk bernyawa. Jika makhluk yang tidak berakal pun tunduk kepada hukum ini, apakah manusia yang diberi akal dan syariat harus menolaknya atas nama moden dan kebebasan?
Demikian juga manusia. Wanita diberi rahim, sebagai tempat kehidupan bermula. Mereka juga diberi rasa halus, sabar dan naluri untuk memelihara. Maka tidak pelik jika tangan mereka yang menyediakan makanan juga adalah tangan yang membentuk jiwa anak-anak dan menyuburkan kasih dalam rumah tangga.
Bahkan dalam rumah Rasulullah SAW sendiri, peranan ini sangat hidup. Diriwayatkan dalam Sahih Muslim bahawa Nabi SAW pernah masuk ke rumah dan bertanya kepada Aisyah RA, “Apakah kamu mempunyai sesuatu (untuk dimakan)?” Lalu Aisyah menjawab bahawa tiada makanan di rumah selain cuka, dan Baginda pun menjamah cuka itu sambil memuji: “Sebaik-baik lauk ialah cuka.”
Dalam banyak riwayat lain, Aisyah dan para isteri Rasulullah SAW menyediakan makanan untuk Baginda, termasuk memanggang daging dan memasak roti. Bahkan Nabi SAW sendiri pernah membantu menampal kasut dan menguli tepung, bukan untuk menolak peranan wanita, tetapi untuk menzahirkan kasih dan kerendahan hati dalam rumah tangga.
Menurut Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam Tibb an-Nabawi, makanan yang baik membawa kepada kekuatan ruh, kejernihan akal, dan kemuliaan akhlak. Maka, makanan yang dihasilkan oleh tangan seorang isteri atau ibu yang solehah menjadi sebahagian daripada asuhan akhlak dan pembentukan jiwa anak-anak dan keluarga.
Dari sudut perubatan, makanan dan perut merupakan antara punca utama pelbagai penyakit, manakala pembentukan sel-sel tubuh badan, termasuk sel otak dan sistem saraf adalah terhasil daripada apa yang dimakan setiap hari.
Oleh itu, sesiapa yang mengawal pemakanan keluarga, sebenarnya sedang membentuk asas kesihatan fizikal dan keseimbangan emosi mereka. Dalam hal ini, wanita secara fitrah dianugerahkan ketelitian yang halus, mereka lebih peka dalam memilih bahan mentah yang segar, mengenal kesesuaian makanan dengan tubuh dan keadaan semasa ahli keluarga. Kelembutan deria dan kehalusan perhatian.
Dr. Siti Sarah binti Amran
Ketua Biro Keluarga & Masyarakat (BKM) ISMA


