Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan yang membabitkan Fatwa Fahaman Liberalisme dan Pluralisme Agama 2014. ISMA memandang serius percubaan pihak tertentu untuk mengelirukan masyarakat dengan naratif bahawa fatwa tersebut telah dibatalkan sepenuhnya. Hakikatnya, Mahkamah hanya membatalkan sebahagian aspek teknikal pentadbiran, tetapi mengiktiraf dan mengesahkan teras utama fatwa yang menyatakan bahawa fahaman tersebut adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Keputusan Mahkamah dengan jelas mengekalkan dua perenggan penting dalam fatwa, iaitu kenyataan bahawa mana-mana individu Muslim yang menganut fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat, dan bahawa mereka wajib bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam. Mahkamah hanya mengecualikan pemakaian fatwa ini kepada SIS Forum (Malaysia) sebagai sebuah entiti syarikat kerana syarikat tidak dikira sebagai “orang Islam” dalam tafsiran undang-undang. Namun, Mahkamah turut menegaskan bahawa individu-individu Muslim di dalam organisasi tersebut tetap tertakluk kepada fatwa.
ISMA menegaskan bahawa liberalisme dan pluralisme agama merupakan fahaman yang amat berbahaya kerana ia menggugat asas akidah dan merosakkan panduan hidup Islam. Liberalisme menolak autoriti wahyu dan meletakkan akal bebas sebagai penentu mutlak kebenaran. Pluralisme pula menyamakan semua agama, dan menafikan bahawa hanya Islam sahaja sebagai agama yang benar dan diredhai Allah SWT. Kedua-duanya telah dinyatakan oleh para ulama muktabar sebagai menyimpang dan membawa kepada kesesatan.
Sebagai sebuah gerakan Islam yang komited dalam mempertahankan aqidah dan identiti ummah, ISMA menyokong penuh tindakan institusi fatwa dalam menangani penyelewengan pemikiran ini. Kami menolak sepenuhnya sebarang cubaan untuk mencabar institusi fatwa atau mempermainkan isu akidah atas nama hak asasi manusia dan kebebasan bersuara. Ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya adalah prinsip utama dalam kehidupan Muslim, dan sebarang fahaman yang mengajak umat Islam keluar daripada kerangka syariah wajib ditolak dengan tegas.
ISMA juga menyeru kepada pihak media agar lebih bertanggungjawab dalam melaporkan isu-isu sensitif berkaitan Islam dan aqidah. Tajuk-tajuk berita yang tidak tepat ini hanya akan mencetus kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam. ISMA turut mengajak umat Islam agar tidak mudah terpengaruh dengan slogan-slogan lunak yang bertopengkan keadilan dan kebebasan mutlak, tetapi hakikatnya membawa kepada kerosakan terhadap agama dan ummah.
ISMA menyeru kepada semua ahli DUN dan ahli Parlimen Muslim untuk mengambil tanggungjawab secara serius mencadangkan kepada pihak Parlimen bagi meminda atau menggubal undang-undang dalam Perlembagaan mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memasukkan semakan kehakiman di bawah kuasa Mahkamah Syariah bagi hal-hal dan isu yang berkait hukum syarak. Ini bagi menjamin hal seperti ini tidak lagi berulang di masa hadapan kerana tiadannya bidang kuasa tersebut bagi Mahkamah Syariah.
Akhir sekali, ISMA akan mempergiatkan usaha dakwah, penerangan, dan pendidikan masyarakat tentang bahaya fahaman liberalisme dan pluralisme agama. Ini termasuk program komuniti, forum, penulisan ilmiah, serta pencerahan melalui media sosial dan institusi tarbiah kami. ISMA komited untuk menjadi benteng ummah dalam memelihara aqidah dan melindungi masyarakat Islam Malaysia daripada ancaman pemikiran asing ini. Kami akan terus menyokong segala usaha pengukuhan institusi Islam, khususnya fatwa dan Mahkamah Syariah, demi menjamin masa depan Islam dan umatnya kekal terpelihara di tanah air ini.
Ustaz Shuhaib Ar-rumy bin Selamat
Presiden ISMA
19 Jun 2025