REE: Sumber Strategik untuk Teknologi Masa Hadapan

Bayangkan telefon pintar, kereta elektrik, turbin angin, atau lampu LED yang kita guna setiap hari — semua ini memerlukan bahan khas yang jarang disebut dalam media, iaitu unsur nadir bumi atau Rare Earth Elements (REE). Walaupun namanya “nadir”, ia bukan bermaksud tiada langsung di bumi, tetapi kerana ia jarang ditemui dalam bentuk yang mudah dilombong.

Apa itu REE?
REE ialah kumpulan 17 unsur kimia yang termasuk lantanida, yttrium, dan skandium. Saiznya kecil dalam kerak bumi, tetapi fungsinya besar dalam dunia moden. Ada yang digunakan untuk membuat magnet berkuasa tinggi, ada yang berfungsi menjadikan skrin telefon lebih terang, dan ada yang membantu turbin angin menghasilkan tenaga bersih. Oleh itu REE adalah unsur penting harini ke ke arah teknologi hijau dan tenaga boleh baharu. Contohnya, kenderaan elektrik memerlukan bateri dan motor khas, turbin angin memerlukan magnet kuat, manakala panel solar memerlukan bahan tertentu untuk meningkatkan keberkesanan. Semua ini tidak dapat dihasilkan tanpa bantuan REE. Dalam erti kata lain, REE adalah “bahan asas” untuk teknologi masa hadapan.

REE di Malaysia
Malaysia bertuah kerana mempunyai keadaan geologi yang sesuai untuk pembentukan REE, khususnya daripada batuan granit yang telah mengalami luluhawa tropika. Proses semula jadi selama berjuta tahun ini menghasilkan tanah kaya REE, yang dikenali sebagai tanah lempung jerapan ion (Ion-Adsorption Clay). Selain itu, mineral tertentu seperti monazit dan xenotim dalam pasir dan batuan keras juga mengandungi REE.

Kajian geosains di negara ini telah menunjukkan potensi yang wajar diterokai melalui penyelidikan lanjut, bukan hanya untuk mengenal pasti lokasi, tetapi juga untuk memahami bagaimana REE ini terbentuk dan bagaimana ia boleh diambil secara mesra alam.

Perkembangan Penyelidikan
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, minat terhadap kajian REE semakin meningkat. Ahli geologi, jurutera, dan saintis bekerjasama dalam, memetakan kawasan berpotensi REE, menguji kaedah pengekstrakan yang mengurangkan kesan alam sekitar, mengkaji kegunaan REE dalam industri tempatan dan global.

Penyelidikan ini penting kerana ia membantu menyediakan data saintifik yang tepat sebelum sebarang aktiviti pengeluaran dilakukan.

Cabaran yang Dihadapi
REE memang berharga, tetapi untuk mengeluarkannya memerlukan teknologi, kos, dan kawalan alam sekitar yang ketat. Selain itu, kerana REE biasanya hadir dalam jumlah kecil, proses mendapatkannya perlu cekap supaya tidak membazir sumber.

Cabaran utama bagi mendapatkan hasil yang maksimum kepada negara ialah teknologi pemisahan REE kepada unsur-unsur tersendiri selepas perlombongan. Pada masa ini, teknologi ini hanya dikuasai oleh beberapa pihak utama di dunia, khususnya di China, dan terkini oleh Lynas. Proses pemisahan ini penting kerana setiap unsur REE mempunyai kegunaan khusus dan hanya boleh dimanfaatkan sepenuhnya jika dipisahkan dengan tahap ketulenan tinggi.

Selain itu, industri hiliran yang memproses REE menjadi produk bernilai tambah juga perlu wujud di dalam negara. Industri ini termasuk pembuatan magnet kekal, komponen elektronik, bateri, dan peralatan berteknologi tinggi. Dengan adanya industri hiliran, nilai ekonomi REE dapat digandakan sebelum dipasarkan.

Dalam hal ini, penyelidik tempatan berperanan penting untuk membangunkan teknologi pemisahan dan industri hiliran. Kepakaran ini merupakan kearifan tempatan yang perlu diupayakan supaya Malaysia bukan sekadar pengeksport bahan mentah, tetapi juga pengeluar produk berasaskan REE.

Masa Depan REE di Malaysia
Dengan kemajuan teknologi, kajian berterusan, dan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar, Malaysia berpotensi menjadi antara pemain penting dalam membekalkan REE untuk pasaran global. Lebih penting lagi, kita boleh memastikan bahawa pengeluaran REE diurus dengan bijak supaya memberi manfaat kepada ekonomi negara tanpa mengorbankan alam sekitar.

Kesimpulannya, REE bukan sekadar “logam pelik” yang jarang didengar, tetapi ia adalah kunci kepada banyak teknologi masa hadapan. Dengan ilmu, inovasi, dan pengurusan yang baik, sumber REE Malaysia boleh menjadi salah satu aset strategik untuk dunia yang lebih hijau dan pintar.

Fakhruddin Afif Bin Fauzi
ISMA Cawangan Alor Setar

Scroll to Top