Sedar atau tidak generasi yang lahir hari ini adalah sebahagian daripada kesan penjajahan pemikiran dan pengaruh budaya asing yang telah lama menjadi kebiasaan masyarakat terutamanya anak-anak muda. Hiburan dan pergaulan bebas tanpa batas telah banyak menampakkan kesannya. Normalisasi melahirkan anak muda yang semakin jauh dari panduan agama, terikut-ikut gaya dan cara hidup budaya luar, hilang rasa malu dan kehormatan diri. Bahkan hidup dalam budaya yang tiada nilai dan batas. Pergaulan bebas, couple-crush, kata-kata lucah, perlakuan yang melanggar syariat dan akhirnya terlanjur berzina lalu melahirkan bayi. Semua ini bermula dari dosa yang telah dijadikan kebiasaan.
Kebiasaan ini pula kesan daripada pendedahan yang sangat terbuka dalam industri seni dan hiburan. Serta terdedah kepada bahan bacaan yang mengandungi babak cinta, pergaulan bebas serta adegan dalam selimut yang bebas ditayangkan dan dianggap biasa.
Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam kitab Tarbiatul Aulad ada menjelaskan bahawa, salah satu daripada lima kaedah utama yang mempengaruhi pembentukan akhlak adalah pendidikan melalui kebiasaan.
Beliau menegaskan bahawa membiasakan anak-anak dengan kebaikan dan amal soleh yang konsisten akan memberikan kesan mendalam terhadap pembentukan jati diri, moral dan spiritual mereka.
Jika kebiasaan buruk yang sering ditunjukkan kepada generasi muda, maka apakah hasil yang akan diharapkan akan tumbuh? Generasi kini membesar dengan budaya dan kebiasaan yang mereka dengar, lihat dan baca. Sedangkan al-Quran mengajarkan para pemuda untuk menjauhi kejahatan yang merosakkan diri seperti zina dan menahan diri daripada perkara maksiat dengan solat. Seperti Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. “
(Surah al-Ankabut 29 : 45)
Allah juga berjanji akan memelihara pemuda yang memelihara iman dan akhlak mereka.
Seperti Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.”
(Surah al-Kahfi 18:13)
Pemuda adalah tonggak kegemilangan umat seperti yang telah tercatat banyak dalam sejarah kegemilangan Islam.
Rasulullah SAW juga mendidik pemuda agar membenci maksiat. Seperti Sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ اللَّهَ لَيَعْجَبُ مِنَ الشَّابِّ لَيْسَتْ لَهُ صَبْوَة ٌ
“Sesungguhnya Allah sangat kagum dengan pemuda yang tidak ada ṣabwah (kecenderungan untuk melakukan maksiat).”
(Musnad Ahmad)
Sungguh Allah SWT kagum dengan pemuda yang mampu menjaga dirinya dari maksiat. Kerana dosa itu mengotori hati dan menutup pintu-pintu kebaikan. Bahkan dosa akan menghalang ilmu, menghalang penerimaan doa, menyempitkan rezeki dan memberatkan ibadah.
Kejayaan seorang pemuda
Kejayaan bagaimana yang kita harapkan buat generasi yang jauh dari ajaran al-Quran dan Sunnah?
Al-Quran menjelaskan bahawa kayu ukur kejayaan sebenar adalah apabila manusia, mensucikan hati dari kekotoran . Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan)”.
(Surah al-Shams 91:9)
Dan meninggalkan perkara sia-sia dan melalaikan. Seperti Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;”
(Surah al-Mu’minun 23:3)
Sejarah telah membuktikan bahawa generasi yang berpegang kepada ajaran al-Quran akan kembali kuat dan mampu membina sebuah tamadun hebat yang diredhai Allah SWT dan dikagumi seluruh umat manusia.
Terlalu banyak kisah pemuda yang berjaya mencipta sejarah kegemilangan di dunia yang patut dicontohi.
Seruan kepada para pemuda
Pemuda adalah permata sebuah umat. Jauhkan diri dari budaya rosak yang menghilangkan sinarnya. Carilah sahabat yang dapat bersama-sama memilih jalan kebaikan dan menjauhi perkara sia-sia. Isilah masa lapang dengan perkara bermanfaat, kerana masa lapang adalah musuh kepada kebaikan. Kembalilah kepada al-Quran, baca dan belajar untuk memahaminya. Fahami kandungan al-Quran boleh membantu kita menjadi seorang insan yang berilmu, jelas tujuan hidup dan selamat dari fitnah dunia.
Buat ibubapa, pendidik dan semua masyarakat Islam, jangan putus asa mendidik generasi dengan tarbiyah Islamiah, mengikut ajaran al-Quran. Pantau pendidikan anak-anak, ajarkan kefahaman tentang agama. Didik mereka membaca dan memahami al-Quran seawal usia.
Perhatikan dengan siapa mereka berkawan, buku apa yang dibaca, apa yang mereka layari di media sosial. Bina hubungan kekeluargaan yang baik, agar keluarga menjadi tempat berlindung yang selamat buat anak-anak. Jadikan rumah kita tempat pertama yang mengajar mereka hidup sebagai hamba Allah.
Tanggungjawab kerajaan menyekat pintu kerosakan
Kepada para pimpinan yang dihormati, bantu generasi yang hebat ini dengan mewajibkan pendidikan iman dan sahsiah di sekolah dan institusi pengajian. Kerana ilmu bukan hanya pada akal, tetapi yang membina akhlak.
Tutup segala pintu kerosakan yang masuk dalam negara, buang semua unsur-unsur melalaikan dalam industri hiburan dan budaya.
Hapuskan laman-laman pornografi, drama-drama yang membangkitkan syahwat, serta penganjuran pesta hiburan yang melampau.
Tayangkan hiburan alternatif dan bahan-bahan yang membina jiwa dan jati diri generasi muda. Merekalah harapan masa depan, jika benih baik yang ditanam, maka hasilnya akan baik. Jika sebaliknya, maka keburukanlah yang akan berleluasa dalam masyarakat.
Peranan kita semua untuk kukuhkan benteng diri, keluarga, masyarakat dan negara dari bahaya musuh dengan ajaran al-Quran.
Usaha membina generasi adalah tanggungjawab seluruh individu, masyarakat, institusi pendidikan, pimpinan negara, kerana mereka adalah pemuda pemudi harapan, bakal pendidik anak bangsa dan pemimpin masa hadapan.
Semoga Allah pandu kita untuk terus dalam jalan yang lurus dan diredhainya.
Ustazah Zainab Husna binti Hussen
Ketua Biro Pembangunan Sumber Insan ISMA Cawangan Kota Raja


