PenjelasanHukum Hidangan Arak dalam Sesuatu Majlis

1. Menurut Islam, hukum berkaitan arak adalah sangat jelas dan tuntas, tidak hanya meliputi perbuatan meminumnya, tetapi juga melibatkan segala aktiviti yang berkaitan dengan arak, termasuk menghidangnya.

2. ​Secara tegas, hukum menghidangkan arak bagi seorang Muslim adalah haram.

Firman Allah SWT : 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

(Surah al-Ma’idah: 90)

Rasulullah SAW secara khusus melaknat sepuluh golongan yang terlibat dengan arak. Golongan-golongan ini termasuk yang menghidang arak.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata: 

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْخَمْرِ عَشْرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالْمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالْمُشْتَرِي لَهَا، وَالْمُشْتَرَاةُ لَهُ.}  

Maksudnya : Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini sepuluh golongan: Pembuatnya (pemerah), orang yang meminta diperahkan untuknya, peminum, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkannya (penghidang/saqi), penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.

(Riwayat Al-Tirmizi)

​Status “Saqi” (Orang yang Menuang/Menghidang)

Menurut hadis di atas adalah golongan yang keenam yang dilaknat ialah “saqiha” (سَاقِيهَا), iaitu orang yang menuangkan arak atau menghidangkan arak kepada peminum. Ini menunjukkan bahawa perbuatan menghidang arak kepada orang lain, walaupun orang yang menghidang itu tidak meminumnya, adalah perbuatan maksiat dan dilarang keras oleh Islam.

Hukum Duduk Dalam Majlis atau Jamuan yang ada Menghidangkan Arak

Hukumnya haram walaupun tidak meminumnya.

1. Dalil umum al Quran .

​Bersandarkan kepada prinsip umum dalam Islam, iaitu menjauhi majlis-majlis maksiat dan larangan bersama orang zalim. Seperti firman Allah SWT : 

​وَإِذَا رَأَيْتَ الَّذِينَ يَخُوضُونَ فِي آيَاتِنَا فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ ۚ وَإِمَّا يُنسِيَنَّكَ الشَّيْطَانُ فَلَا تَقْعُدْ بَعْدَ الذِّكْرَىٰ مَعَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

Maksudnya : Dan apabila engkau melihat orang-orang memperkatakan (dan mengejek-ejek) ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan perkara yang lain. Dan jika syaitan menyebabkan engkau lupa (akan larangan itu), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu sesudah engkau teringat.

(Surah Al-An’am: 68)

Ulama mentafsirkan ayat ini merangkumi perbuatan duduk bersama orang yang melakukan kemungkaran secara terang-terangan, seperti meminum arak, kerana ia dikira bersetuju atau meredhai maksiat tersebut.

​Kehadiran seorang Muslim dalam majlis arak, walaupun tidak minum, boleh ditafsirkan sebagai meredai (persetujuan secara diam) terhadap perbuatan maksiat yang berlaku. Reda (persetujuan) kepada kemaksiatan adalah haram.

​2.  Dalil dari Sunnah

​Larangan Duduk di Hidangan Arak.

Diriwayatkan dari Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يَجْلِسْ عَلَى مَائِدَةٍ يُدَارُ عَلَيْهَا الْخَمْرُ

Maksudnya : Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka janganlah dia duduk pada hidangan yang diminum padanya arak.

(Riwayat At-Tirmizi dan Ahmad, dinilai hasan oleh sebahagian ulama)

​TINJAUAN UNDANG-UNDANG DAN PERATURAN NEGARA

1. Berdasarkan kepada undang-undang dan pekeliling sedia ada di Malaysia, khususnya yang berkaitan dengan pentadbiran Kerajaan Persekutuan, tindakan menghidangkan arak dalam majlis rasmi kerajaan adalah tidak dibenarkan dan dianggap melanggar peraturan serta sensitiviti.

​1.1  Pekeliling Perbendaharaan Malaysia.

​Peraturan paling jelas berhubung  mengawal perbelanjaan dan etika keraian rasmi kerajaan ialah Pekeliling Perbendaharaan (sebelum ini dikenali sebagai Peraturan Mengenai Keraian Rasmi).

1.1.1  ​WP 5.1 Peraturan Mengenai Keraian Rasmi (Perbelanjaan Bagi Keraian Rasmi)

Pekeliling ini lazimnya menggariskan peruntukan kewangan dan tatacara penganjuran majlis rasmi. Salah satu peruntukan penting dalam pekeliling tersebut menyatakan dengan jelas bahawa hidangan minuman keras adalah tidak dibenarkan dalam majlis keraian rasmi Kerajaan Persekutuan.

​Tujuan larangan ini adalah untuk memastikan majlis rasmi kerajaan mematuhi etika dan norma yang sesuai, seiring dengan status Islam sebagai agama Persekutuan dan demi menghormati sensitiviti majoriti Muslim di negara ini.

​2. Perlembagaan Persekutuan.

​Walaupun tiada akta persekutuan yang secara mutlak melarang hidangan arak dalam semua majlis kerajaan, dasar ini disokong oleh kerangka undang-undang tertinggi negara.

2.1 ​Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan:

Perkara ini menetapkan bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan.” Ini membawa implikasi bahawa dasar dan pelaksanaan yang melibatkan agensi kerajaan Persekutuan mestilah menghormati prinsip dan nilai Islam sebagai agama rasmi negara.

2.2  Menghidangkan arak dalam acara rasmi dianggap bercanggah dengan roh peruntukan ini.

PROTOKOL DAN ETIKA RASMI NEGARA

​Tindakan menghidangkan arak dalam majlis rasmi kerajaan juga dilihat sebagai melanggar Protokol dan Istiadat Negara kerana ia tidak menghormati Perlembagaan dan sensitiviti umat Islam. Majlis rasmi kerajaan sepatutnya mematuhi standard moral dan etika tinggi yang selaras dengan nilai-nilai masyarakat Malaysia.

SIKAP MUSLIM DAN WARGANEGARA

1. Bagi seorang Muslim sepatutnya berpendirian jelas apabila ada dalil yang jelas dari al-Quran mahupun hadis-hadis sahih, disokong pula dengan semangat perlembagaan Negara dan peraturan sedia ada sepatutnya bersatu padu menolak perbuatan ini , melangkaui sempadan blok politik, NGO mahupun kumpulan. Wajib membentuk satu pendirian sebagai satu Ummah Fadhilah.

2. Bagi warganegara yang bukan Islam isu menghidang arak adalah melibatkan undang- undang, peraturan dan identiti negara.

Semoga Allah kurniakan kita negara aman damai dan diredhai Allau jua.

SS Dato Haji Zamri bin Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak
YDP Muafakat Ilmuwan Islam (MUIS)

Scroll to Top