Mengajarkan Adab Kepada Anak-anak Adalah Tanggungjawab Ibu Bapa

Dewasa ini, kita selalu mendengar pelbagai isu remaja dan adab, seperti cepat marah, kurang hormat, susah dikawal. Mendidik anak-anak tentang adab, bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi perlu bermula dari satu tempat iaitu rumah.

Tentunya, bermula daripada kecil, adab perlu diajar, ditunjuk dan dibiasakan. Bukan tiba-tiba terus jadi.

Manakala tugas membentuk adab anak-anak bukanlah tanggungjawab di sekolah semata, tetapi tanggungjawab ibu bapa yang utama.

Ajar adab bukan kerja sehari dua, tetapi perjalanan sepanjang hayat sebagai ibu dan bapa. Setuju atau tidak, adab yang baik itu sebenarnya warisan paling mahal yang boleh kita tinggalkan untuk anak-anak.

Berikut antara cara praktikal sebagai ibu bapa untuk mengajarkan adab yang baik dalam diri anak-anak. Tidak mudah, tetapi kita perlu berusaha : 

1. Tunjukkan teladan yang baik

Ibu bapa perlu menggunakan bahasa yang sopan, tertib apabila bercakap, hormat orang dan banyakkan bersyukur kerana anak-anak akan meniru segala perbuatan kita. Tauladan terbaik datang dari rumah.

2. Jadikan nilai Islam sebahagian daripada rutin

Terapkan dalam diri anak-anak setiap perbuatan dan amalan hidup mestilah berlandaskan cara Islam. Contohnya, apabila melakukan amalan-amalan kecil, mulakan dengan mengucap  “Bismillah”, “Alhamdulilah”, “Assalamualaikum”. Misalnya sebelum makan, ucap “Bismillah” selepas makan, ucap “Alhamdulillah” dan memberi salam apabila masuk ke dalam rumah.

Dari kecil mereka belajar adab Islam bukan secara teori, tetapi menjadi gaya hidup yang sempurna.

3. Bercerita dan berbincang

Jadikan kisah para Nabi dan sahabat sebagai petunjuk kepada anak-anak tentang adab kerana kisah-kisah ini boleh mendidik jiwa anak-anak kita. 

4. Pujian dan ganjaran

Apabila anak menunjukkan adab yang baik, puji secara spesifik perbuatannya itu. Contohnya, “MasyaAllah, ibu suka cara kamu tolong adik tadi.”

Pujian nampak kecil, tetapi kesannya besar pada diri anak kita.

5. Buat aktiviti interaktif

Cuba jadikan topik belajar adab menyeronokkan. Boleh main lakonan, contohnya cara memberi salam, adab makan bersama, bantu orang tua.

Lebih menyeronokkan.

6. Terangkan sebab di sebalik setiap adab

Setiap adab yang ibu bapa lakukan boleh disertakan sebab, terangkan kenapa. Contohnya, Apabila memberi salam, kita sedang mendoakan orang lain.

Apabila anak faham, mereka akan buat dengan rela hati.

7. Bimbing dalam ibadah harian

Ajar anak-anak cara solat, berwuduk, berdoa tetapi, bukan sekadar cara, beserta maksud atau hikmah di sebaliknya.

Supaya anak-anak tahu, ibadah itu ada hubungan dengan Allah, bukan hanya rutin harian.

8. Libatkan anak-anak dalam aktiviti masyarakat

Bawa mereka sertai gotong-royong, ziarah jiran, atau bantu di masjid. Di situ anak pasti belajar banyak perkara, belajar empati, tanggungjawab dan kasih sesama manusia.

9. Tegur dengan lembut bila mereka silap

Anak belajar melalui kesilapan. Tegurlah dengan tenang, bukan marah-marah.

Setiap teguran yang lembut lebih baik dan lebih mudah diterima.

10. Bina komunikasi terbuka

Jangan takut anak bertanya. Dengar, jawablah persoalan anak dengan penuh kasih dan sayang,

Bila anak-anak rasa selamat dengan ibu bapa, mereka akan terus datang mencari panduan.

11. Didik tentang aurat dan adab privasi sejak kecil

Ajar anak minta izin sebelum masuk ke dalam bilik ibu bapa, seperti yang diajar dalam al-Quran. Pisahkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan bila berusia 10 tahun. Biasakan mereka dengan pakaian sopan, walaupun di rumah.

Bila malu dan adab dijaga, maruah terpelihara.

Dr. Yuliana binti Ayob

Scroll to Top