JOHOR BAHRU, 21 November – Pengetahuan tentang pertolongan cemas bukan sekadar ilmu tambahan, malah merupakan kemahiran penting yang perlu dikuasai oleh setiap anak sebagai persediaan menghadapi situasi kecemasan, khususnya ketika berada di rumah tanpa kehadiran ibu bapa atau penjaga.
Atas kesedaran tersebut, Program HOME ALERT: Asas Pertolongan Cemas telah berjaya dilaksanakan di Pusat Komuniti Anjung Takzim, Taman Mutiara Indah, Johor Bahru baru-baru ini.
Program anjuran NAZIM Johor dengan kerjasama i-Medik dan NAZIM Cawangan Johor Bahru.
Program ini bertujuan memberikan pendedahan kepada anak-anak tentang tindakan awal yang perlu diambil apabila berhadapan dengan situasi kecemasan. Mereka bukan sahaja perlu tahu mengenal pasti bahaya, malah perlu mempunyai pengetahuan asas untuk bertindak dengan betul sementara menunggu bantuan tiba.
Antara pengisian program termasuklah pendedahan asas pertolongan cemas, demonstrasi rawatan awal bagi kecederaan, simulasi situasi kecemasan secara berkumpulan serta latihan mendapatkan bantuan melalui talian kecemasan 999. Peserta turut didedahkan dengan penyediaan Kad Bantuan Keluarga sebagai panduan ketika menghadapi kecemasan.
Melalui pendekatan pembelajaran secara teori dan praktikal, anak-anak berpeluang memahami situasi kecemasan dengan lebih dekat. Pendedahan ini diharapkan dapat membina keyakinan, meningkatkan kepekaan serta melatih mereka agar tidak panik dan tahu mengambil tindakan yang sewajarnya apabila berhadapan dengan situasi yang tidak dijangka.
Ilmu pertolongan cemas merupakan bekalan penting yang berpotensi menyelamatkan nyawa. Anak-anak perlu dididik bukan sahaja untuk menjaga keselamatan diri, tetapi juga mengetahui cara mendapatkan bantuan demi keselamatan orang di sekeliling mereka.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pihak i-Medik, para doktor, fasilitator, ibu bapa serta semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan komitmen dalam menjayakan program ini.


