TELIPOK, 25 Disember – Usaha membudayakan gaya hidup sihat dan memperkukuh perpaduan komuniti diterjemahkan melalui penganjuran Hari Sukan dan Kesihatan Taman Putera Jaya 2025 yang berlangsung meriah di Dewan Serbaguna dan Padang Putera Jaya, Tuaran.
Program anjuran ISMA Kota Kinabalu dengan kerjasama Komuniti Taman Putera Jaya itu berjaya menghimpunkan kira-kira 150 orang penduduk setempat bersama ahli keluarga masing-masing.
Bermula jam 8 pagi, program bertujuan menggalakkan penduduk untuk bersukan secara bersama, di samping memperkenalkan permainan tradisional kepada kanak-kanak serta mengeratkan ukhuwah antara komuniti setempat dan ahli penggerak ISMA.
Pelbagai aktiviti menarik disusun mengikut segmen bagi memastikan penglibatan menyeluruh semua peringkat umur.
Kanak-kanak berpeluang mencuba permainan tradisional seperti congkak, ceper dan baling selipar, manakala segmen dewasa dimeriahkan dengan acara bowling kelapa dan belon bergerak. Acara tarik tali khas untuk lelaki turut mencuri tumpuan peserta.
Selain itu, acara berpasangan seperti suapan sayang dan ikat kasih menambahkan lagi suasana ceria program.
Suasana program berlangsung dalam keadaan penuh kemeriahan dengan sokongan padu peserta serta cuaca yang baik, sekali gus menyumbang kepada kelancaran keseluruhan aktiviti yang dirancang.
Kemeriahan program diteruskan dengan sesi penyampaian hadiah dan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah berkonsepkan hasil bumi tempatan seperti durian, rambutan dan tarap, selain barangan keperluan dapur. Hadiah unik tersebut ternyata menarik perhatian dan menceriakan para pemenang.
Menurut Penasihat ISMA Kota Kinabalu, Dr. Sarip bin Adul, kejayaan pembangunan anak-anak tidak bergantung kepada ibu bapa semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan komuniti.
“Kita memerlukan masyarakat untuk sama-sama memerhati dan menyokong perkembangan anak-anak. Program sebeginilah yang membentuk perpaduan kita,” katanya.
Sementara itu Yang Dipertua ISMA Kota Kinabalu, Ustaz Mohd Hasem Almuddin mengharapkan penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Program ini sebagai medium memperkasa komuniti yang sihat, sejahtera dan bersatu, bukan sahaja dari aspek fizikal, malah merangkumi ukhuwah dan nilai spiritual penduduk setempat,” kata Ustaz Mohd Hasem Almuddin, pengarah program merangkap Yang Dipertua ISMA Kota Kinabalu.


