Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Wanita ISMA) memandang serius beberapa perkembangan yang berlaku mutakhir ini yang memperlihatkan semakin terbukanya ruang kepada normalisasi identiti dan perlakuan LGBT dalam masyarakat Malaysia.
Kenyataan ini dikeluarkan susulan video yang tular memaparkan seorang peserta yang membawa nama Malaysia dalam pertandingan Miss Equality World 2026 yang berlangsung di Bangkok pada 22 hingga 30 Ogos 2026.
Program ini adalah sebuah pertandingan kecantikan antarabangsa yang secara khusus terbuka dan memberi fokus kepada wanita transgender. yang menurut penganjurnya memberi fokus kepada pemberdayaan transgender women dan agenda kesamarataan serta penerimaan identiti transgender. Berdasarkan objektif rasmi penganjur (https://www.missequality.world), pertandingan ini memang merupakan platform antarabangsa untuk memperkasakan, meningkatkan penerimaan dan memperjuangkan hak komuniti transgender.
Walaupun penyertaan tersebut tidak boleh dianggap sebagai representasi rasmi Kerajaan Malaysia, penggunaan nama “Malaysia” dalam platform yang secara jelas membawa agenda transgender tetap menimbulkan persoalan besar tentang bagaimana identiti dan nama negara Malaysia dibawa ke pentas antarabangsa.
Dalam masa yang sama, gambar dan rakaman yang tular di media sosial berhubung perlakuan tidak sopan antara pasangan sesama lelaki di ruang awam sekitar sambutan Ambang Merdeka dan kawasan KLCC turut menimbulkan kebimbangan masyarakat.
Wanita ISMA berpandangan bahawa sekiranya benar berlaku perlakuan sedemikian di ruang awam, ini bukan sekadar persoalan pilihan peribadi, tetapi menyentuh batas kesusilaan awam, pemeliharaan nilai masyarakat dan kesan terhadap pembentukan generasi muda.
Sambutan Ambang Merdeka sepatutnya menjadi ruang untuk rakyat menzahirkan kesyukuran atas nikmat kemerdekaan, keamanan dan kedaulatan negara. Program Ambang Merdeka 2026 sendiri dirancang sebagai sambutan patriotik yang menghimpunkan rakyat dalam suasana perpaduan dan kecintaan kepada negara. Maka, ruang awam dan sambutan kebangsaan tidak sewajarnya menjadi medan untuk perlakuan yang melanggar batas kesopanan dan nilai agama masyarakat Malaysia.
Ditambah lagi, dengan kontroversi drama atas talian bertajuk Madu atau Racun yang mempersembahkan adegan hubungan sejenis yang menyentuh sensitiviti agama dan budaya di Malaysia.
Islam Menetapkan Batas Yang Jelas
Islam mengiktiraf kewujudan lelaki dan wanita sebagai sebahagian daripada fitrah penciptaan Allah SWT. Isu transgender bukan sahaja menyentuh soal individu, tetapi memberi kesan kepada masyarakat. Hal ini boleh menjejaskan sistem perkahwinan, pewarisan, perwalian dan keturunan. Jika jantina boleh ditukar sesuka hati, nasab menjadi keliru dan maqasid syariah tidak dapat dipelihara.
Sebarang bentuk pembedahan yang membawa kepada perubahan anggota badan manusia tanpa keperluan adalah diharamkan oleh Syarak. Ini berdasarkan firman Allah Taala tentang perkataan Iblis:
وَلَأُضِلَّنَّهُمْ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُبَتِّكُنَّ آذَانَ الْأَننْعَامِ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ فَقَددْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا
Maksudnya: Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah”. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.
(Surah al-Nisa’ 4:119)
Manakala pertukaran jantina dalam kes transgender adalah termasuk dalam larangan ini kerana ia bukan rawatan, sebaliknya menolak fitrah asal yang sempurna.
Hadis Nabi SAW juga jelas dalam isu ini. Baginda bersabda:
لَعَنَ اللَّهُ الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
Maksudnya: Allah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.
(Riwayat al-Bukhari)
Justeru, usaha menjadikan identiti transgender dan penyerupaan jantina yang berlawanan sebagai sesuatu yang normal, diraikan dan diterima dalam masyarakat Islam tidak boleh dipandang ringan.
Peringatan Dari Kisah Kaum Nabi Lut a.s
Al-Quran juga memberikan peringatan yang sangat jelas melalui kisah kaum Nabi Lut a.s. Allah SWT telah menegur perbuatan kaum Nabi Luth dalam firmanNya:
وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِۦٓ أَتَأْتُونَ ٱلْفَٰحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ ٱلْعَٰلَمِينَ ، إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ ٱلرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ ٱلنِّسَآءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ
Maksudnya : Dan Nabi Luth juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: ‘Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari umat-umat yang terdahulu daripada kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.
(Surah Al-A’raf 7:80-81)
Akhirnya disebabkan kemurkaan Allah SWT di atas maksiat yang dilakukan, kaum Nabi Luth dimusnahkan oleh satu pekikan suara sebagaimana firman Allah SWT:
فَأَخَذَتْهُمُ ٱلصَّيْحَةُ مُشْرِقِينَ ، فَجَعَلْنَا عَٰلِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِمْ حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ
Maksudnya : Akhirnya mereka pun dibinasakan oleh pekikan suara yang mengguntur pada waktu matahari terbit. Maka Kami jadikan negeri itu tunggang-terbalik dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang dibakar.
(Surah Al-Hijr 15:73-74)
Malaysia Perlu Buat Pendirian
Wanita ISMA mengingatkan bahawa di Malaysia, Islam adalah agama bagi Persekutuan, sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
Maka, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan dasar, pendidikan, media, ruang awam dan program yang berada dalam lingkungan kuasa negara tidak menjadi saluran kepada normalisasi perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam dan nilai kesusilaan masyarakat Malaysia.
Kita menyambut baik kenyataan kerajaan bahawa promosi aktiviti LGBT yang bercanggah dengan Islam dan nilai kesusilaan masyarakat Malaysia tidak diterima. Kerajaan juga telah menjelaskan bahawa penguatkuasaan kesalahan jenayah syariah berkaitan LGBT terhadap orang Islam berada dalam bidang kuasa negeri masing-masing.
Namun, pendirian tersebut perlu diterjemahkan melalui dasar, pendidikan, pencegahan dan penguatkuasaan yang konsisten.
WANITA ISMA MENUNTUT:
1. KERAJAAN TEGAS MENOLAK NORMALISASI LGBT
Kerajaan perlu menolak sebarang usaha yang menjadikan transgender dan perlakuan LGBT sebagai sesuatu yang normal, wajar diraikan atau dipromosikan dalam ruang awam, media, pendidikan dan institusi negara.
2. JELASKAN STATUS “REPRESENTASI MALAYSIA”
Kerajaan dan pihak berkaitan perlu menjelaskan status individu atau organisasi yang menggunakan nama Malaysia dalam platform antarabangsa yang membawa agenda transgender, agar tidak timbul persepsi bahawa ia merupakan representasi rasmi negara.
3. PERKUKUH PENDIDIKAN FITRAH DAN KELUARGA
Institusi pendidikan, agama dan keluarga perlu diperkasakan dengan pendidikan yang jelas tentang fitrah lelaki dan wanita, perkahwinan, aurat, batas pergaulan serta bahaya normalisasi fahaman yang bercanggah dengan syariat.
4. PELIHARA KESUSILAAN DI RUANG AWAM
Pihak berkuasa perlu memastikan ruang awam, khususnya lokasi tumpuan keluarga dan program kebangsaan, dipelihara daripada perlakuan tidak sopan dan perlakuan seksual yang boleh menjejaskan nilai kesusilaan masyarakat.
5. NGO ISLAM PERLU MEMIMPIN, BUKAN SEKADAR BEREAKSI
NGO Islam tidak boleh hanya muncul apabila sesuatu isu menjadi tular. Kita perlu membina gerakan pendidikan yang berterusan, memperkukuh keluarga, membimbing anak-anak dan memperjuangkan dasar yang mempertahankan agama serta fitrah manusia.
TEGAS PADA PRINSIP
Wanita ISMA ingin menegaskan bahawa pendirian ini bukan untuk menghina, membenci, menzalimi atau melakukan keganasan terhadap mana-mana individu kerana setiap manusia tetap mempunyai maruah sebagai makhluk Allah SWT. Namun, menghormati manusia tidak bermakna perlu menerima segala fahaman dan perlakuannya. Menolak sesuatu perbuatan yang jelas bercanggah dengan syariat Adalah satu kewajipan.
Kepada mereka yang sedang bergelut dengan persoalan identiti, kami menyeru, kembalilah kepada fitrah yang Allah SWT tetapkan. Pintu taubat dan rahmat Allah SWT sentiasa terbuka.
Kita tidak mahu mewariskan kepada generasi akan datang sebuah masyarakat yang malu untuk menyebut kebenaran, tetapi berani menormalisasikan kemungkaran. Sebaliknya, kita mahu membina generasi yang mengenal Tuhannya, memahami fitrahnya, memelihara maruah dirinya, teguh mempertahankan syariah dan mampu memimpin masyarakat menuju kehidupan yang diredai Allah SWT.
Shazamawati Zam Hashari
Ketua Wanita ISMA
