Dilema Sekolah Berasrama Penuh: Satu Penilaian Semula

Sejak keputusan tawaran ke sekolah khusus (SBP/MRSM) diumumkan, media sosial meriah dengan luahan hati ibu bapa. Ada yang bersyukur, tidak kurang juga yang kecewa. Terdengar keluhan ibu bapa yang merasakan satu “ketidakadilan” telah berlaku. Anak-anak yang cemerlang akademik, skor tinggi UPKK, Mumtaz PSRA, tokoh pelajar, malah aktif kokurikulum, namun gagal dalam saringan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).

Kekecewaan ini mengundang polemik mendesak agar UPSR dikembalikan. PKSK dilihat kabur, subjektif, dan seolah-olah tidak menghargai “usaha keras” akademik anak-anak.

Namun, jika diteliti, ini bukan sekadar isu format peperiksaan. Tetapi, penzahiran bahawa naratif pendidikan kita hakikatnya masih terperangkap dalam kerangka ekonomi. Naratif “kebolehpasaran” serta “supply dan demand” nampaknya lebih mendominasi berbanding agenda Pembangunan Insan yang sebenar. Adakah ini yang kita harapkan dari sistem pendidikan?

Sejarah sekolah berasrama : Warisan Kolonial

Di samping itu, obsesi masyarakat terhadap asrama penuh bukan terjadi semalaman, tetapi berakar umbi daripada sejarah kolonial, bermula dengan penubuhan sekolah seperti Malay College Kuala Kangsar (MCKK) pada 1905.

British tidak menubuhkan sekolah elit ini untuk melahirkan pemikir merdeka, ulama faqih, atau pencipta kreatif. Tetapi, matlamat asal mereka jelas untuk melahirkan Pentadbir dan Eksekutif Melayu yang boleh menjalankan kerja pentadbiran kerajaan dengan cemerlang, mengikut gaya dan sistem kolonial. Makna kata, British mahu mengeluarkan anak Melayu daripada kepompong cara fikir “kampung” dan memasukkan mereka ke dalam satu acuan seragam (pattern).

Bayangkan seorang anak dari keluarga pembina kapal tradisional. Secara semula jadinya, dia mewarisi kreativiti dan kebijaksanaan kejuruteraan maritim keluarganya.

Namun, apabila dimasukkan ke asrama elit, dia dipisahkan dari akar itu. Dia diajar memakai tali leher, memegang fail, dan patuh pada arahan pentadbiran. Akhirnya, bakat “pencipta” itu mungkin pudar, digantikan dengan watak birokrat yang patuh.

Sejarah membuktikan bahawa kita memerlukan usaha lebih keras jika mahu melahirkan pemikir yang berani membawa gagasan baharu.

Fitrah Keluarga vs Persekitaran Terkawal

Dalam pada itu, kita wajar merenung pandangan tokoh sosiologi agung, Ibn Khaldun, dalam karya besarnya Al-Muqaddimah. Beliau menegaskan bahawa ikatan paling kuat dan semula jadi bagi kanak-kanak adalah keluarganya (Qabilah). Ini adalah asas kepada Asabiyyah (solidariti sosial) yang membina kekuatan jati diri.

Persekitaran semula jadi kanak-kanak (rumah, keluarga besar dan masyarakat) membina ketahanan diri yang lebih tulen hasil interaksi dengan realiti kehidupan,berbanding dengan persekitaran terkawal (Controlled Environment) seperti kehidupan asrama.

Tidak dinafikan, asrama adalah keperluan kritikal dan penyelamat bagi anak-anak yang persekitaran rumahnya tidak kondusif, seperti kekangan kemiskinan tegar atau masalah keluarga dan sosial. Bagi golongan ini, asrama adalah biah (persekitaran) terbaik untuk mengubah nasib.

Namun, bagi keluarga yang rumahnya subur dengan kasih sayang, ilmu, dan kestabilan, memisahkan anak seawal usia 13 tahun mungkin mengehadkan ruang untuk mereka meneroka potensi unik yang hanya boleh digilap menerusi sentuhan terus ibu bapa.

Tugas Sekolah dan Rumah

Seterusnya, rumah dan sekolah, perlu menjadi titik tolak untuk kita menilai semula peranan masing-masing secara objektif. Kita perlu faham pembahagian tugas yang hakiki:

– Tugas Sekolah (Memberikan Pendidikan Formal): Memberi sijil, kemahiran

teknikal, dan melatih anak untuk persediaan kerjaya (survival ekonomi).

– Tugas Ibu Bapa (Membangunkan Manhaj/Silibus Kehidupan):

Membangunkan akidah, nilai, adab, dan potensi unik. Rumah melatih anak untuk kemenjadian diri (menjadi Insan).

Biarlah sekolah mengajar mereka membaca dan mengira. Tetapi kitalah, ibu bapa, yang mesti mengajar mereka erti menjadi manusia, supaya akhirnya mereka menyumbang kepada ummah dengan cara yang tersendiri, bukan sekadar menjadi

tenaga kerja yang mengisi kekosongan pasaran industri semata-mata.

Ke Arah Dasar Yang Menyokong Keluarga

Melihat kepada keperluan ini, pihak kerajaan dan pembuat dasar perlu mula memikirkan strategi yang menyokong pembentukan anak-anak di rumah.

Kita memerlukan prasarana dan dasar yang membolehkan anak-anak mendapat pendidikan berkualiti tinggi tanpa perlu berjauhan dengan keluarga. Ini termasuklah memperkasakan sekolah harian dengan fasiliti setaraf SBP, sistem pengangkutan awam yang efisien, serta dasar pekerjaan yang membolehkan ibu bapa mempunyai masa berkualiti untuk menjalankan fungsi mereka sebagai Murabbi (Pendidik) di rumah.

Kejayaan pendidikan bukan hanya diukur sejauh mana anak itu telah berjaya meningkatkan taraf hidup ekonomi (B40 kepada M40 dan seterusnya) , tetapi sekuat mana akarnya berpijak di bumi. Kerana ummah yang kuat tidak dibina atas kertas kelulusan akademik semata-mata, tetapi dibina di dalam rumah-rumah yang melahirkan jiwa-jiwa merdeka.

Dr. Siti Sarah binti Amran
Ketua Biro Keluarga & Masyarakat (BKM) ISMA

Scroll to Top