Kisah Saidina Abdullah Bin Rawahah Menolak Sogokan

Mutakhir ini banyak siri pembongkaran jenayah rasuah yang melibatkan  pemimpin muslim berjawatan tinggi. Peristiwa ini bukan sahaja memalukan diri sendiri dan keluarga tetapi memberi persepsi yang buruk terhadap akhlak seorang pemimpin muslim. 

Sedangkan, memberi mahupun menerima rasuah bukanlah akhlak seorang Muslim. Seperti yang disebut dalam hadis Nabi SAW menyebutkan bahawa mereka ini dilaknat.

Dalam sebuah hadis, Abdullah ibn ‘Amr R.Anhuma meriwayatkan:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah”.

(Riwayat Abu Daud) 

Jika para pemimpin Muslimin mengambil rasuah, apakah lagi yang berbeza antara mereka dengan pemimpin bukan Islam? Seharusnya, pemimpin Islam memimpin dengan akhlak yang terbaik. 

Para sahabat benar-benar menjaga diri perihal larangan Allah SWT, antaranya adalah amalan rasuah. Mereka sangat berhati-hati lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai kuasa.

Misalnya, kisah saidina Abdullah Bin Rawahah sepertimana dalam Musnad Ahmad ketika Nabi SAW mengutus Abdullah bin Rawahah ke Khaibar untuk menilai hasil tanaman Yahudi. Orang Yahudi cuba memberi perhiasan wanita sebagai sogokan agar beliau meringankan penilaian.

Abdullah menjawab: “Wahai kaum Yahudi, demi Allah, kamu adalah makhluk Allah yang paling aku benci, tetapi kebencian itu tidak akan membuat aku berlaku zalim terhadap kamu. Apa yang kamu tawarkan adalah rasuah (suhut), dan kami tidak memakannya.”

Demikian pula kisah saidina Umar Al-Khattab, apabila menerima hadiah selepas pembukaan wilayah, beliau menolak untuk menyimpannya. Lalu, Umar memerintahkan agar hadiah itu dijual dan hasilnya dimasukkan ke dalam Baitul Mal. Beliau menegaskan bahawa hadiah kepada pemimpin atau pegawai bukanlah hadiah, tetapi rasuah.

Begitulah para sahabat, akhlak seorang pemimpin yang jelas perlu dijadikan rujukan dan teladan. 

Akhir sekali, Islam bukan sahaja pada amalan di peringkat peribadi mahupun ibadah khusus seperti solat, zakat, puasa, haji dan seumpamanya. Malahan, Islam adalah meliputi seluruh urusan manusia termasuk urusan kehidupan seharian. 

Amalan sogokan ataupun rasuah sememangnya merosakkan imej Islam, apatah lagi menggambarkan pengkhianatan terhadap amanah oleh pemimpin Islam. Malah, menghilangkan keberkatan lantaran amaran Nabi SAW bahawa mereka yang memberi dan menerima rasuah dilaknat.

Akhir sekali, negara akan menanggung ketidakadilan sosial, kelemahan institusi, bahkan kemunduran tamadun akibat daripada amalan tidak beretika ini malah melanggar ajaran Islam.

Ustaz Wan Ahmad Izzat bin Wan Ahmad Sanadi
Ketua Biro Dakwah ISMA

Scroll to Top