Tidak semua penghina Islam menghina Islam disebabkan kejahilan. Ada yang menghina Islam atas dasar kebencian.
Walau sekalipun atas dasar kejahilan, tetapi bukan lesen untuk menghina. Dalam suasana kehidupan berbilang kaum, kita tidak perlu untuk memahami amalan agama lain dengan mendalam, tetapi hanya perlu pandai untuk tutup mulut daripada campur tangan urusan agama lain.
Banyak kes-kes penghinaan Islam sebelum ini dikaitkan dengan kejahilan atau ketidaksengajaan tetapi kes pijak Quran kali ini, mustahil untuk ditafsir sebagai perbuatan tidak sengaja.
Penghina Islam tersebut perlu mendapatkan al- Quran, membuka al-Quran tersebut, memijaknya, mengambil gambar, membuka aplikasi, memuat naik gambar, menulis kapsyen dan menaikkan hantaran menghina Islam tersebut.
Oleh sebab itu, tindakan yang paling utama adalah menghukum penghina al-Quran tersebut. Menghukum bukan tindakan terburu-buru, tetapi adalah asasi untuk memastikan kestabilan masyarakat, terutamanya dalam masyarakat yang mempunyai pelbagai pegangan agama.
Ramai yang salah tafsir hikmah sebagai kelembutan, walhal hikmah adalah kefahaman, kebijaksanaan dan keupayaan untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul.
Menghukum penghina Al-Quran tersebut adalah tindakan yang berhikmah. Ia memelihara maruah agama, memastikan kestabilan dalam masyarakat, mendaulatkan undang-undang serta menjadi pengajaran kepada semua.
Menjadi tanggungjawab untuk menjaga hubungan sesama masyarakat sebagai asas binaan ummah, yang mana sesama umat Islam bersolidariti menjaga agama dan bersama masyarakat bukan Islam menghormati kedudukan agama Islam di Malaysia dan menjaga keharmonian masyarakat.


