Rumah Ibadat Haram: Jangan Beri Ganjaran Kepada Penceroboh Tanah

Agak pelik sesetengah pihak cuba mempertahan rumah ibadat yang dibina secara tidak sah. Rumah-rumah ibadat ini mungkin terdapat pelbagai sejarah. Ada yang menceroboh sewenang-wenangnya dan ada yang mungkin diberi izin pemilik estet terdahulu. Namun perlu diingat, keizinan bukan pemilikan. Apabila tanah terdapat tuan baharu atau tuan sedia ada sudah tidak diberi izin, rumah ibadat tersebut perlu berhenti operasi di tempat tersebut.

Apa-apa pun penyelesaian, penceroboh tanah tidak harus diberi ganjaran samaada dalam bentuk wang ringgit atau tanah gantian baharu. Apatah lagi tanah awam atau tanah yang telah digazetkan sebagai rizab surau atau masjid atau fungsi-fungsi awam lain.

Amat menyakitkan hati apabila melihat pihak yang telah menceroboh diberikan ganjaran atas pencerobohan yang mereka lakukan.

Rumah Ibadat sepatutnya dibina mengikut lunas undang-undang. Tindakan memberi ganjaran kepada penceroboh tanah seolah-olah memberi isyarat menceroboh merupakan aktiviti yang tidak salah bahkan menguntungkan. Bukan sahaja menguntungkan, bahkan mereka tidak dikenakan tindakan undang-undang atas perbuatan menceroboh.

Pihak berkuasa haruslah jujur, amanah dan yang paling penting berani menguatkuasakan undang-undang secara adil dan saksama. Ahli politik pula perlulah bersikap mulia dengan mempertahan kedaulatan undang-undang dan bukan mempertahan pihak yang melanggarnya.

Pihak berkuasa harus membuat perancangan bandar yang lebih teratur dengan mengenalpasti taburan penduduk dan merancang pembinaan rumah ibadat berdasarkan keperluan setempat, bukannya membiarkan rumah ibadat haram terus tumbuh.

Dr. Mohd Eqwan bin Mohd Roslan
Pengarah Komunikasi ISMA

Scroll to Top