Keistimewaan Bulan Syaaban dan Kepentingan Perpaduan Umat

Bulan Syaaban merupakan bulan yang sarat dengan pelbagai kelebihan sebagaimana yang dinyatakan dalam beberapa hadis sahih. Antara keistimewaan utama bulan ini ialah amalan hamba-hamba diangkat dan dipersembahkan kepada Allah SWT. Perkara ini dijelaskan melalui hadis Rasulullah SAW.

Usamah bin Zaid r.a pernah bertanya kepada Rasulullah SAW:
“Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat tuan berpuasa dalam satu bulan sebagaimana tuan berpuasa dalam bulan Syaaban.”

Maka Baginda SAW menjawab:
“Itulah bulan Syaaban, satu bulan yang sering dilalaikan oleh kebanyakan manusia, yang berada di antara bulan Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yang diangkat di dalamnya segala amalan ke hadrat Tuhan sekalian alam. Maka aku sangat suka apabila amalku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.”
(HR Musnad Ahmad dan Sunan al-Nasa’i)

Saidatina Aisyah r.a pula meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW melengkapkan puasa penuh sebulan di bulan Ramadan dan Baginda sangat banyak berpuasa di bulan Syaaban.
(HR Imam al-Bukhari dan Muslim)

Keistimewaan bulan Syaaban ini bertambah dengan adanya satu malam yang dikhususkan oleh Allah SWT sebagai malam keampunan. Malam tersebut dikenali sebagai malam pertengahan Syaaban atau malam Nisfu Syaaban.

Daripada Mu’az bin Jabal r.a, Rasulullah SAW bersabda:
“Allah menjenguk hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban lalu Dia mengampuni semua makhluk-Nya kecuali orang yang mensyirikkan Allah dan orang yang masih bersengketa dan bermusuhan.”
(HR Ibnu Hibban dan al-Tabrani)

Diceritakan tentang seorang sahabat Nabi SAW bernama ‘Ulbah bin Zaid bin Harithah r.a. Ketika Rasulullah SAW menggalakkan para sahabat bersedekah, beliau tidak mempunyai apa-apa harta kerana terlalu miskin. Lalu beliau berkata:
“Aku hanya mampu bersedekah dengan maruahku,”
yang bermaksud beliau memaafkan semua kesalahan orang lain terhadapnya dan menggugurkan haknya ke atas mereka.

Maka Rasulullah SAW bersabda:
“Sedekahmu telah diterima.”
(Diriwayatkan dalam Kitab al-Isobah)

Apabila ditanya apakah amalan terbaik pada malam tersebut, maka jawapannya ialah saling bermaaf-maafan, merapatkan saf sesama Islam, serta mencari titik-titik perpaduan. Umat Islam di negara ini wajib merebut peluang keampunan Allah SWT dengan mengukuhkan perpaduan dan mengusahakan perdamaian serta penyatuan sesama Muslimin. Inilah sunnah Rasulullah SAW.

Baginda SAW sentiasa bersegera menyelesaikan permasalahan umat Islam demi memastikan perpaduan terus terpelihara. Sahl bin Sa‘id r.a meriwayatkan bahawa penduduk Quba’ pernah berselisih faham sehingga saling membaling batu. Maka dengan segera Rasulullah SAW bersabda:
“Marilah kamu bersama-sama kami untuk mendamaikan mereka.”
(HR al-Bukhari)

Tidak menjadi kesalahan untuk menjalin hubungan baik dengan orang bukan Islam. Namun penilaian yang perlu jelas dalam minda umat Islam ialah: jika orang Islam mampu berhubungan dengan mereka yang menolak Allah sebagai Tuhan dan tidak mengiktiraf Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul terakhir, maka apakah alasan untuk tidak berbaik-baik dengan saudara seiman yang sama-sama beriman kepada Allah SWT, mengakui Rasulullah SAW sebagai utusan Allah, serta menunaikan solat menghadap kiblat yang satu?

Usaha menyatukan umat Islam merupakan perintah Allah SWT dalam al-Quran. Firman Allah SWT:

“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan orang yang menyuruh kepada sedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan tujuan mencari keredaan Allah, maka Kami akan memberinya pahala yang besar.”
(Surah al-Nisa’: 114)

Perpaduan sesama Islam merupakan tanda kasih sayang Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Konsep rahmatan lil ‘alamin dizahirkan melalui penyatuan umat Islam. Mereka yang menolak perpaduan ini hakikatnya telah menolak makna sebenar rahmatan lil ‘alamin.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 10 yang diakhiri dengan lafaz “rahmah” wajar dihayati oleh seluruh umat Islam:

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu dirahmati.”
(Surah al-Hujurat: 10)

SS Dato Haji Zamri bin Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak
YDP Muafakat Ilmuwan Islam (MUIS)

Scroll to Top