Dalam kehangatan isu rumah ibadat haram, terdapat beberapa pihak membangkitkan isu keharmonian antara kaum. Antara perkara yang dibangkitkan adalah penggunaan istilah “haram” bagi merujuk kepada rumah ibadat haram.
“Haram” yang dimaksudkan di sini bukan merujuk kepada hukum halal dan haram dalam Islam tetapi merujuk kepada perkara yang ditegah (terlarang) oleh undang-undang atau tidak sah (di sisi undang-undang) berdasarkan definisi Kamus Dewan.
Isu rumah ibadat haram bangkit kerana tindakan beberapa individu dan masyarakat yang mendedahkan binaan-binaan rumah ibadat haram yang berleluasa. Perkara ini bukan rahsia, bahkan telah dibangkitkan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Tindakan yang diambil adalah seperti membuat laporan polis dan menyenaraikan rumah-rumah ibadat yang disyaki dibina secara haram. Tindakan sperti ini adalah dengan harapan agar pihak berkuasa mengambil tindakan yang sepatutnya mengikut lunas undang-undang, termasuk mendakwa penceroboh tanah.
Adalah tidak masuk akal menyalahgunakan istilah keharmonian untuk menghentikan usaha agar keadilan dan kedaulatan undang-undang ditegakkan.
Istilah keharmonian juga tidak boleh disalahguna untuk cuba menutup mulut orang ramai daripada menggunakan istilah yang betul dan tepat daripada segi bahasa.
Bagi masyarakat yang beradab dan bertamadun, keadilan dan kedaulatan undang-undang adalah asas kepada keharmonian. Tindakan patut diambil kepada yang menghalang keadilan dan melanggar undang-undang, bukan kepada pihak yang cuba untuk mendapatkan keadilan dan menegakkan undang-undang.
Istilah keharmonian tidak patut diputar belit untuk menghalang kedaulatan undang-undang dan penggunaan istilah yang benar daripada segi bahasa. Mengorbankan kebenaran, keadilan dan kedaulatan undang-undang tidak akan membawa kepada keharmonian yang benar.
Kebenaran, keadilan dan kedaulatan undang-undang adalah asas keharmonian bagi masyarakat yang beradab dan bertamadun.
Dr. Mohd Eqwan bin Mohd Roslan
Pengarah Komunikasi ISMA


