Taiping, 6 Februari – Kelab Nadi Al-Azim (NAZIM) cawangan Taiping telah menganjurkan program persediaan Ramadan khusus untuk kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun dari sekitar Taiping dan Kamunting bagi menyemarakkan semangat menyambut bulan Ramadan.
Sepanjang program, para peserta berpeluang mengulang kaji perkara-perkara penting berkaitan Ramadan melalui slot pengisian yang disampaikan oleh Puan Anis Sakinah Zakaria, Ketua NAZIM kawasan Taiping. Antara pengisian utama ialah kefahaman tentang niat puasa, perkara-perkara yang membatalkan puasa serta amalan-amalan yang dapat meningkatkan pahala sepanjang bulan Ramadan.
Menurut Pengarah Program, Puan Norashikin Ghazali, pengisian seumpama ini amat penting dalam membantu kanak-kanak membuat persediaan awal.
“Bulan Ramadan hanya hadir setahun sekali. Oleh itu, pendedahan awal seperti ini dapat membantu anak-anak mengingati semula asas ibadah puasa dan memupuk kecintaan mereka terhadap amalan-amalan baik sepanjang Ramadan,” ujarnya.
Lebih istimewa, setiap peserta turut menerima sebuah buku bertajuk “Catatan Ramadan Saya” yang bertujuan memberi gambaran awal tentang aktiviti harian yang boleh dilakukan sepanjang bulan Ramadan. Selain itu, slot Bacaan Ikrar Hero Ramadan turut diadakan bagi meningkatkan tekad dan azam para peserta untuk beramal dengan lebih bersungguh-sungguh.
Seorang ibu peserta, Puan Hikmah, menyatakan rasa syukur dengan penganjuran program ini.
“Anak-anak kecil sememangnya memerlukan cetusan motivasi, terutamanya bagi mereka yang bakal menjalani ibadah puasa buat pertama kali. Program seperti ini sangat membantu dan membuatkan anak-anak saya lebih teruja serta bersemangat untuk melakukan kebaikan pada bulan Ramadan nanti,” katanya.
Program ini turut diserikan dengan aktiviti kuiz Ramadan dan seni kreatif. Para peserta berpeluang menghasilkan hiasan suasana Ramadan yang boleh digunakan sebagai penyeri mihrab Ramadan.
Sebagai penutup, para peserta diingatkan agar mengisi Buku Catatan Ramadan masing-masing kerana hasil catatan tersebut akan dinilai dalam program susulan yang akan datang, iaitu Kem Ramadan.


