Pada awal Oktober 2026, Gulshan Aliyeva, seorang guru Bahasa Inggeris di Baku, Azerbaijan, melaporkan kepada Al-Jazeera bahawa beliau yang telah mengajar selama 23 tahun tidak dibenarkan masuk ke sekolah hanya kerana memakai tudung. Ini bukan kes terpencil, malahan kita juga melihat banyak hantaran yang tular di media sosial menunjukkan pelajar-pelajar perempuan tidak dibenarkan masuk ke dalam kelas atas sebab yang sama.
Kejadian tersebut berlaku setelah Kabinet Azerbaijan meluluskan peraturan baharu berkaitan pakaian seragam sekolah pada 21 September 2026. Peraturan itu tidak menyebut perkataan “hijab” secara khusus; sebaliknya, ia melarang pakaian yang menjejaskan keseragaman seragam sekolah atau tidak selaras dengan prinsip sekularisme dalam pendidikan.
Namun, apabila peraturan ini dilaksanakan, pelajar perempuan dan guru wanita dilaporkan dihalang daripada memasuki sekolah kerana memakai hijab. Jabatan Pendidikan Bandar Baku turut menyatakan bahawa pemantauan sedang dijalankan bagi memastikan pihak sekolah mematuhi peraturan berkenaan. Tiada penafian yang dibuat oleh pihak berkuasa, seolah-olah mengesahkan dan menyokong tindakan tegas pentadbiran sekolah tersebut.
Negara Islam tetapi Sekular
Untuk memahami isu ini, kita perlu melihat latar belakang Azerbaijan sendiri. Walaupun lebih 90 peratus penduduknya beragama Islam, Azerbaijan telah berada di bawah pemerintahan Soviet selama lebih tujuh dekad. Ketika itu, institusi dan amalan agama dikawal dengan sangat ketat. Selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1991, negara ini memilih untuk mengekalkan acuan pemerintahan sekular. Perlembagaan Azerbaijan yang diterima pakai pada tahun 1995 menetapkan bahawa negara itu bersifat sekular, termasuk dalam sistem pendidikannya.
Sebenarnya, pertikaian tentang hijab di sekolah bukanlah perkara baharu di Azerbaijan. Pada sesi persekolahan 2010–2011, kerajaan sudah mula menghalang pelajar berhijab dengan alasan bahawa hijab tidak sesuai dengan pakaian seragam sekolah. Kira-kira seribu orang berhimpun di hadapan kementerian di Baku bagi membantah tindakan tersebut. Walaupun bantahan itu pernah meredakan keadaan seketika, isu larangan ini kembali dibangkitkan semula 16 tahun kemudian.
Corak yang sama turut dapat dilihat di negara-negara Asia Tengah yang lain. Sebagai contoh, Kazakhstan yang merupakan negara berumpun Turkic telah menegaskan semula larangan hijab di sekolah pada Oktober 2023, hingga menyaksikan sekitar 150 pelajar perempuan di wilayah Atyrau dilaporkan berhenti hadir ke sekolah pada awal sesi tersebut. Selain itu, negara yang berjiran iaitu Tajikistan turut melarang pakaian orang Islam di sekolah sejak 2007 dan meluluskan undang-undang yang melarang pakaian yang dianggap asing kepada budaya mereka pada 2024.
Satu perkara yang menarik perhatian ialah kedudukan hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan Azerbaijan sendiri. Perkara 18 menetapkan sifat sekular negara termasuk dalam sistem pendidikan. Perlembagaan yang sama juga memperuntukkan jaminan kesamarataan tanpa mengira agama, menjamin hak kepada pendidikan termasuk pendidikan menengah yang percuma dan wajib, serta melindungi kebebasan hati nurani, termasuk kebebasan beragama. Sudah tentu peruntukan-peruntukan ini sepatutnya dibaca secara bersama dan bukan secara terpisah.
Namun, dasar yang kelihatan indah di atas kertas ini akhirnya menyaksikan kanak-kanak perempuan yang berhijab dihalang daripada memasuki kelas untuk menuntut ilmu. Sungguh ironis apabila difikirkan, perlembagaan yang sepatutnya melindungi kebebasan hati nurani rakyatnya sebaliknya menutup pintu sekolah kepada hati nurani pelajar dan guru Muslimah semata-mata kerana mereka memakai pakaian yang sopan.
Kebebasan untuk Selain daripada Islam
Inilah yang menjadi inti persoalan. Sekularisme sering dijual sebagai jalan tengah, kononnya negara bersikap neutral dan tidak berpihak kepada mana-mana agama supaya semuanya bebas. Namun, kebebasan tersebut hanya terjamin selagi cara anda beragama diterima oleh pihak yang menentukan sempadan “neutral” tersebut. Berdasarkan peristiwa yang berlaku, jelas bahawa “neutral” yang dicanangkan itu hanyalah memberikan kebebasan bersyarat. Seseorang terpaksa menyembunyikan amalan agamanya semata-mata untuk mendapatkan akses kepada hak pendidikan dan kemudahan awam.
Bagi seorang Muslimah yang komited, hijab bukan sekadar sehelai kain mahupun aksesori yang boleh dipakai atau ditanggalkan apabila memasuki bangunan tertentu. Hijab ialah sebahagian daripada lambang ketaatan kepada Allah SWT, sebagaimana yang difahami daripada Firman Allah SWT:
Maksudnya : “…dan hendaklah mereka menutupkan belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka…”
(Surah an-Nur, 24:31)
dan ayat 59 Surah al-Ahzab:
Maksudnya : “Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: ‘Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.’ Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu…”
(Surah al-Ahzab, 33:59)
Bagi wanita yang berhijab, ini adalah sebahagian daripada identiti diri mereka. Seorang gadis yang mahu memakai hijab tidak sepatutnya terpaksa memilih antara identiti dirinya dengan peluang mendapatkan pendidikan. Adakah dengan berhijab ia menghalang seseorang daripada belajar? Adakah seorang pelajar menjadi kurang berkebolehan hanya kerana kepalanya ditutup? Adakah ia mengganggu rakan sekelas untuk belajar?
Mungkin ada yang bertanya, mengapa kita perlu bersuara tentang isu yang berlaku di Azerbaijan? Bukankah itu urusan dalaman negara mereka sendiri?
Bukankah kita sepatutnya tidak mencampuri urusan negara lain dan menghormati kedaulatan sesebuah negara? Ya, menghormati kedaulatan tidak bermaksud kita perlu berdiam diri apabila timbul persoalan tentang hak asasi manusia, kebebasan beragama, dan hak kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan.
Sensitif Terhadap Hal Umat Islam
Sebagai umat Islam, kita mempunyai tanggungjawab amar ma’ruf nahi munkar (menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran). Bukankah bersuara berkenaan hak seseorang untuk menuntut ilmu merupakan sebahagian daripada tugas amar ma’ruf nahi munkar?
Bahkan, Islam sangat menekankan kepentingan menuntut ilmu. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis:
Maksudnya : Menuntut ilmu itu adalah kewajiban bagi setiap orang Islam.
(Hadis Riwayat Ibn Majah, no. 224)
Malah, ayat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW adalah perintah Iqra’ (bacalah) dalam Surah al-‘Alaq. Dalam kerangka Maqasid Syariah, pemeliharaan agama (Hifz ad-Din) dan akal (Hifz al-‘Aql) merupakan antara tujuan utama syariat, di samping pemeliharaan nyawa, keturunan, dan harta. Pendidikan pula merupakan jalan utama untuk manusia membina ilmu, memahami tanggungjawab, dan memperbaiki kehidupan.
Yang kedua, umat Islam perlu melaksanakan hak ukhuwah (persaudaraan Islam). Rasulullah SAW menggambarkan keadaan orang beriman dalam sebuah hadis sahih:
Maksudnya : “Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi adalah bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasakannya dengan tidak dapat tidur dan demam.”
(Hadis Riwayat Muslim, no. 2586)
Serta peringatan baginda mengenai keprihatinan terhadap urusan sesama Muslim:
Maksudnya : Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka dia bukanlah daripada kalangan mereka.
(Hadis Riwayat al-Tabarani)
Prinsip keadilan
Adakah kesedihan anak-anak yang dihalang daripada belajar itu bukan kesedihan kita?
Oleh sebab itu, tanggungjawab ini bukan sekadar tentang mempertahankan saudara seagama, tetapi juga tentang mempertahankan prinsip keadilan yang sepatutnya dinikmati oleh setiap manusia. Seorang kanak-kanak atau remaja perempuan tidak sepatutnya kehilangan peluang pendidikan hanya kerana kepercayaannya berbeza daripada tafsiran sekular yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Kebebasan beragama bukan bermaksud seseorang boleh memaksa orang lain menerima kepercayaannya, tetapi kebebasan itu juga tidak bermaksud negara boleh memaksa seseorang meninggalkan amalan agamanya tanpa alasan yang sah dan munasabah.
Islam turut menyediakan ruang yang adil untuk mereka yang bukan beragama Islam. Prinsip bahawa tiada paksaan dalam agama:
Maksudnya : Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)…
(Surah al-Baqarah, 2:256)
Serta peruntukan dalam Piagam Madinah jelas mengiktiraf hak komuniti bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka. Prinsip ini tidak asing dengan pengamalan di tanah air kita sendiri. Ini menunjukkan bahawa sistem yang mengambil Islam sebagai landasan mampu menjamin kebebasan beragama lain untuk diamalkan, serta menyediakan hak pendidikan yang adil untuk semua.
Pertembungan Ideologi
Isu hijab di Azerbaijan mungkin hanya dilihat sebagai pertikaian tentang pakaian seragam. Namun, hakikat di sebaliknya adalah pertembungan ideologi. Sebagai sebuah negara majoriti muslim, kita melihat bahawa mengamalkan hijab tidak sepatutnya menjadi satu masalah. Apatah lagi dalam keadaan apa perbezaan pandangan sekalipun, ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menafikan hak paling asas seseorang untuk mendapatkan pendidikan.
Umat Islam tidak akan dimuliakan dengan meminjam ideologi luar yang tidak lahir daripada wahyu dan pengalaman sejarahnya sendiri. Manhaj hidup Islam telah menawarkan kerangka yang syumul dan adil bagi menjamin kebebasan beragama serta hak mendapat pendidikan untuk semua.
Dr. Siti Sarah binti Amran
Ketua Biro Keluarga & Masyarakat (BKM) ISMA


