Ramadan, Satu Muhasabah Buat Umat

Ramadan kunjung lagi buat kesekian kalinya. Satu bulan yang cukup istimewa dan bermakna buat umat Islam seluruh dunia. Sebagai seorang Muslim, semestinya kesiapsiagaan kita terhadap ibadah adalah fokus utama yang tertinggi dalam bulan ini. Kerana dalam bulan ini sahaja, syaitan dibelenggu dan ruang ibadah dilipat gandakan pahalanya. 

Walaupun begitu, ada beberapa noktah penting yang boleh diambil kira untuk dijadikan muhasabah buat umat. 

Perkara yang paling jelas boleh dilihat melalui pensyariatan berpuasa ini adalah medan menguji iman seorang hamba sama ada untuk memilih kepentingan nafsu diri sendiri atau kepentingan Tuhan sebagai penguasa alam. Andai nafsu diutamakan, maka hancurlah keutamaan seseorang itu sebagai Muslim. Barangkali, ini adalah ibadah khusus yang ditunggu-tunggu oleh umat setahun sekali, maka ramai yang mudah untuk mentaati puasa berbanding melanggarnya. Jika ada pun yang tidak berpuasa  hanyalah segelintir sahaja. 

Oleh yang demikian, ada satu titik yang perlu disedari. Agama ini bukan sekadar ibadah dan ritual semata-mata. Agama ini mencakupi seluruh kehidupan manusia. Seorang Muslim yang memahami agama ini berdasarkan tauladan Rasulullah SAW akan dapat mengakui bahawa aspek keduniaan juga perlu diseimbangkan dengan tuntutan Tuhan. 

Dalam aspek yang lebih besar, kita boleh lihat apabila bertembungnya kepentingan nafsu diri sendiri dan kepentingan Tuhan sebagai penguasa alam, ketaatannya tidak seperti mana yang diterjemahkan dalam ibadah puasa. 

Misalnya, di saat ini, negara-negara Islam yang mempunyai kekuatan strategik lebih merisaukan kepentingan politik mereka di persada antarabangsa berbanding kepentingan suruhan Tuhan untuk meletakkan agama di satu tempat yang paling tinggi. Tatkala umat Islam di Palestin dibantai setiap hari, kita boleh lihat negara-negara seperti Arab Saudi dan UAE mengenepikan suruhan Tuhan untuk melindungi nyawa dan maruah orang Islam. Malah mereka menjalinkan kerjasama dengan negara haram Israel. Ini semua demi kepentingan geopolitik untuk mengukuhkan kuasa negara sehingga nasib umat dipandang sepi.

Hal ini juga menimbulkan satu persoalan yang sukar dijawab tatkala konsep sedekah dan saling bantu sesama Muslim difahami dari sudut yang sempit. Sangkaannya bantuan sesama Muslim ini cukuplah dengan memberikan wang semata-mata. Kita boleh lihat bagaimana pemurahnya umat Islam dalam memberikan infak dan sedekah di bulan Ramadan. Tetapi, mengapa konsep yang sama tidak diterjemahkan oleh para pemimpin negara Islam dalam soal memberikan kekuatan kepada umat Islam yang ditindas di seluruh dunia. Di Palestin, Myanmar dan India, umat Islam jelas disembelih dan ditindas tanpa sekelumit rasa belas kasihan. Adakah kerana batas sempadan negara, telah menghilangkan seluruh tanggungjawab sesama Muslim? Ataupun adakah kerana ini adalah isu global, maka mereka yang memegang jawatan merasakan ianya bukan sebahagian dari tuntutan kita sebagai Muslim? Atau adakah kerana penindasan terhadap umat ini tidak menyentak dan mengganggu periuk nasi dan perut para pemimpin negara Islam, maka kerana itu dirasakan tidak penting ?

Semua persoalan ini hanya boleh dijawab dan diselesaikan andai Islam ini difahami tidak sekadar pada skala ibadah. Ramadan ini adalah bulan perjuangan dan bulan kesedaran. Bulan yang memberi dan menyuntik semangat buat umat terdahulu untuk mengangkat Islam dari apa jua sudut. Al-Quran bukan hanya dikejar untuk dihabiskan bacaannya, tetapi lebih memberi makna andai isinya difahami dan diterjemah dalam tindakan. 

Oleh kerana itu, saya menyeru agar Ramadan ini tidak hanya berlalu tanpa ada sekelumit rasa untuk agama ini diletak dan dijulang. Muslim yang sebenar tidak akan reda dengan keadaan umat hari ini.

Abu Dzar Mohd Annuar
Timbalan Presiden, PEMBINA

Scroll to Top