KUALA KANGSAR, 23 Februari – Hampir 200 jemaah setempat menghadiri Majlis Iftar Ukhuwah anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kuala Kangsar dengan kerjasama Yayasan Ikhlas cawangan Ipoh, yang berlangsung di Surau Al Muttaqin, Kuala Kangsar baru-baru ini.

Program ini dilaksanakan melalui tajaan juadah berbuka puasa dan moreh sebagai salah satu inisiatif mendekati masyarakat setempat, di samping memperkenalkan peranan dan kewujudan organisasi kepada komuniti sekitar secara lebih dekat dan santai.
Penganjuran majlis bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW
“Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka, maka baginya pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang tersebut.”
(Riwayat Imam al-Tirmizi, No. 807 – hasan sahih)



Suasana harmoni jelas dirasai apabila para jemaah bersama-sama menikmati juadah berbuka sebelum menunaikan solat Maghrib secara berjemaah. Solat tersebut telah diimamkan oleh Ustaz Tuan Azman, selaku Naib Yang Dipertua ISMA Kuala Kangsar.
Menurut Azman, program seumpama ini menjadi medium penting dalam membina hubungan mesra antara organisasi dan masyarakat melalui pendekatan kebersamaan serta penghayatan ibadah Ramadan.
“Pendekatan santai melalui perkongsian juadah berbuka memberi ruang kepada masyarakat untuk saling mengenali serta mengeratkan ukhuwah tanpa batas,” ujarnya.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh sederhana namun bermakna itu turut disokong oleh barisan sukarelawan yang berganding bahu memastikan kelancaran program.
Penganjur berharap usaha sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform memperkukuh hubungan komuniti serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam bulan Ramadan.


