Dalam kehidupan manusia, sesuatu pengetahuan tidak terus diterima sebagai kebenaran tetapi, perlu melalui proses tertentu sebelum diiktiraf sebagai ilmu yang sah. Tradisi keilmuan manusia sejak dahulu mengiktiraf beberapa jalan utama untuk mencapai status ilmu yang sah.
Pertama ialah penaakulan akal. Manusia menggunakan logik dan rasional untuk memahami hubungan sebab dan akibat. Kedua ialah pengalaman yang diperoleh melalui pengamatan terhadap realiti kehidupan. Ketiga ialah ujikaji atau eksperimen, yang membolehkan sesuatu perkara diuji berulang kali bagi memastikan kesahihannya. Keempat ialah perkhabaran yang benar, iaitu maklumat yang disampaikan oleh sumber yang dipercayai, termasuk kesaksian pakar yang memiliki autoriti dalam bidang tertentu.
Melalui gabungan keempat-empat jalan ini, manusia membina ilmu tentang dunia di sekelilingnya. Lalu, menjadi asas kepada perkembangan sains, undang-undang, ekonomi dan pelbagai disiplin ilmu yang lain. Namun dalam banyak keadaan, manusia sebenarnya hanya menemui sunnatullah secara berlapis-lapis. Pada suatu zaman tertentu manusia mungkin menemui satu hukum atau pola dalam alam, lalu menganggap itulah keseluruhan gambaran. Tetapi apabila penyelidikan berterusan, mereka menyedari bahawa terdapat lapisan lain yang sebelum ini tidak difahami. Penemuan baharu sering membuka ruang kepada persoalan yang lebih mendalam. Hal ini menunjukkan bahawa sunnatullah dalam alam ciptaan Allah SWT sangat luas dan tidak habis diterokai oleh manusia.
Al-Quran sendiri mengingatkan manusia tentang keterbatasan ilmu mereka. Contohnya, dalam Surah al-Isra’ ayat 85 menjelaskan bahawa manusia tidak diberikan ilmu melainkan sedikit sahaja, dan dalam surah Fussilat ayat 53, menerangkan bahawa manusia akan diperlihatkan tanda-tanda kekuasaan-Nya di ufuk dan dalam diri mereka sehingga jelas kebenaran itu.
Hal ini menunjukkan bahawa pencarian ilmu adalah proses yang berterusan, dan setiap generasi hanya menyelak sebahagian daripada rahsia ketetapan Allah SWT yang terbentang dalam alam ini. Oleh sebab itu, urusan menuntut ilmu perlu terus berjalan, kerana melalui usaha inilah manusia sedikit demi sedikit memahami sunnatullah dalam kehidupan.
Namun dari sudut pandang Islam, keseluruhan proses ini sebenarnya bukan sekadar kaedah intelektual manusia semata-mata. Ini adalah sebahagian daripada sunnatullah, iaitu ketetapan Allah SWT terhadap cara sesuatu perkara berlaku dalam alam ini. Allah SWT menciptakan dunia dengan aturan tertentu, sebab membawa kepada akibat, usaha membawa kepada hasil, dan pengetahuan lahir daripada pemerhatian serta pemikiran yang tertib dan tersusun.
Bagaimanapun terdapat perbezaan penting antara ilmu dunia dan ilmu akhirat. Bagi perkara dunia, manusia boleh menggunakan akal, pengalaman dan eksperimen. Tetapi bagi perkara yang berkaitan dengan alam akhirat, manusia tidak mempunyai akses kepada pengalaman atau kaedah empirikal.
Oleh sebab itu, ilmu mengenai akhirat hanya boleh diperoleh melalui perkhabaran yang benar seperti wahyu, yang dipelihara melalui disiplin riwayah dan dirayah dalam tradisi Islam. Tanpa wahyu, manusia tidak mampu mengetahui hakikat alam ghaib, syurga, neraka, atau kehidupan selepas mati.
Al-Quran sendiri mengingatkan manusia tentang batas kemampuan eksperimen dalam perkara ghaib. Dalam Surah al-Jumuʿah ayat 6, Allah mencabar golongan yang mendakwa mereka berada di pihak kebenaran:
قُلْ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ هَادُوا إِن زَعَمْتُمْ أَنَّكُمْ أَوْلِيَاءُ لِلَّهِ مِن دُونِ النَّاسِ فَتَمَنَّوُا الْمَوْتَ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ
Maksudnya: Katakanlah: Wahai orang-orang Yahudi! Jika kamu mendakwa bahawa kamu sahajalah kekasih Allah, bukan manusia yang lain, maka harapkanlah kematian itu jika kamu benar.
Cabaran ini memperlihatkan satu hakikat penting iaitu perkara yang berkaitan dengan alam akhirat tidak boleh dibuktikan melalui eksperimen manusia. Tetapi, hanya dapat diketahui melalui wahyu yang benar melalui jalan yang sahih.
Apabila kita memahami konsep sunnatullah ini, kita juga dapat melihat bahawa kehidupan sosial manusia turut tertakluk kepada hukum-hukum tertentu. Masyarakat tidak dapat hidup secara harmoni dan bersatu padu jika hukum-hukum ini diabaikan.
Dalam kajian moden mengenai pengurusan sumber bersama, ahli ekonomi politik Elinor Ostrom menunjukkan bahawa masyarakat mampu bekerjasama dengan berkesan apabila beberapa prinsip asas dipatuhi. Antaranya, ialah kejelasan batas sempadan ahli, peraturan yang difahami bersama, pengawasan terhadap pelanggaran, serta mekanisme hukuman yang adil terhadap mereka yang melanggar peraturan.
Kajian beliau terhadap pelbagai komuniti di seluruh dunia menunjukkan satu perkara yang konsisten iaitu kerjasama tidak berlaku secara spontan tanpa aturan. Tetapi, memerlukan struktur, norma dan penguatkuasaan yang jelas.
Hakikat ini sebenarnya selari dengan sunnatullah dalam kehidupan bermasyarakat. Keharmonian hanya dapat dipelihara apabila setiap orang menghormati hak orang lain dan apabila undang-undang ditegakkan dengan adil.
Dalam konteks masyarakat berbilang kaum dan agama, perpaduan bukan sekadar slogan yang boleh tertegak sendiri. Tetapi memerlukan asas yang nyata. Antaranya ialah memastikan batasan atau garis sempadan seperti hak milik, peraturan dipatuhi dan dihormati, dan pencerobohan pula tidak dibiarkan.
Apabila tanah orang lain diceroboh, atau tanah awam digunakan tanpa kebenaran, ini bukan sekadar isu teknikal. Tetapi menyentuh prinsip asas keadilan sosial. Jika pencerobohan dibiarkan atas nama “toleransi”, masyarakat sebenarnya sedang meruntuhkan asas perpaduan itu sendiri.
Lebih membimbangkan ialah apabila pihak yang bertanggungjawab menegakkan undang-undang gagal menjalankan tugas mereka. Apabila terdapat pegawai penguatkuasa yang sengaja menutup mata terhadap pelanggaran undang-undang, maka sistem keadilan mula runtuh dari dalam.
Dalam keadaan seperti itu, ada pula pihak yang cuba meredakan kemarahan masyarakat dengan dakwaan “harmoni”, sambil melabelkan mereka yang menuntut hak sebagai ekstremis atau pengganas. Sikap seperti ini bukanlah sunnatullah dalam membina keharmonian masyarakat.
Sebaliknya, ia adalah ‘sunnah’ golongan yang zalim dan korup sepanjang sejarah di mana mereka menutup kesalahan pelaku sebenar, sambil menuduh mereka yang menegakkan keadilan sebagai pembuat masalah.
Al-Quran sendiri menjelaskan bahawa keseimbangan masyarakat dipelihara melalui satu hukum yang boleh disebut sebagai qanun tadāfu’, iaitu hukum kebaikan akan menolak kejahatan yang dilakukan oleh pihak yang lain. Seperti Firman Allah SWT :
وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَفَسَدَتِ الْأَرْضُ
Maksudnya: Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini;
(Surah al-Baqarah 2 : 251)
Ayat ini menunjukkan bahawa dalam sunnatullah kehidupan bermasyarakat, kezaliman tidak dibiarkan berjalan tanpa tentangan. Akan sentiasa ada kelompok manusia yang bangkit mencegah atau menolak kerosakan, menegakkan keadilan, dan mempertahankan hak.
Keberanian menegakkan hak bukanlah tindakan ekstrem, tetapi sebahagian daripada mekanisme yang Allah SWT tetapkan untuk memelihara keseimbangan masyarakat. Tanpa tadafu’ atau usaha menolak kezaliman kerosakan akan merebak dan akhirnya menghancurkan kehidupan masyarakat bersama.
Sejarah manusia menunjukkan bahawa masyarakat yang harmoni, bersatu padu dan stabil bukanlah masyarakat yang menutup kesalahan, tetapi masyarakat yang berani menegakkan keadilan. Sunnatullah dalam kehidupan sosial adalah jelas iaitu keadilan melahirkan keharmonian, manakala kezaliman melahirkan konflik.
Oleh itu, perpaduan yang sebenar tidak boleh dibina dengan retorik semata-mata. Tetapi, mesti berasaskan kepada ilmu yang benar, penghormatan terhadap undang-undang, dan keberanian menegakkan hak tanpa mengira siapa pelanggarnya.
Hanya dengan cara itu masyarakat dapat hidup dalam keharmonian yang sejati harmoni yang lahir daripada keadilan, bukan daripada ketakutan atau kepura-puraan yang palsu.
Ustaz Khairul Fatihin Saedal Atas
Ketua Biro Tarbiyah
ISMA Cawangan Nilai


