Dalam era dunia digital hari ini, cabaran mendidik anak-anak menjadi semakin kompleks. Hampir setiap hari masyarakat didedahkan dengan pelbagai berita yang membimbangkan di akhbar dan media sosial seperti kes buli, keruntuhan akhlak, ketagihan gajet, budaya seksual songsang, penyalahgunaan dadah, keganasan remaja malah kes anak-anak yang hilang adab terhadap ibu bapa dan guru. Semua ini menunjukkan bahawa krisis hari ini bukan sekadar krisis sosial, tetapi juga krisis tarbiah dan pembentukan jiwa.
Tekanan kehidupan moden juga menyebabkan ramai ibu bapa berdepan kekangan masa untuk bersama keluarga. Dalam keadaan ini, institusi keluarga menjadi benteng paling penting dalam membentuk generasi yang beriman dan berakhlak, dan ibu memainkan peranan yang sangat besar sebagai pendidik pertama anak-anak.
Dalam karya agung Tarbiyatul Aulad fil Islam, Abdullah Nasih Ulwan menegaskan bahawa pendidikan anak-anak tidak bermula di sekolah, tetapi sejak mereka berada dalam dakapan ibu. Ungkapan “ibu ialah madrasah pertama” amat bertepatan dengan pemikiran beliau yang melihat peranan ibu sebagai asas pembentukan generasi beriman dan berakhlak.
Menurut beliau, tarbiah anak merangkumi pelbagai aspek penting seperti iman, akhlak, fizikal, intelektual dan sosial. Dalam semua aspek ini, ibu memainkan peranan yang sangat besar kerana ibu merupakan insan paling dekat dengan anak sejak kecil. Daripada suara pertama yang didengar hinggalah kepada tingkah laku yang ditiru, semuanya banyak dipengaruhi oleh ibu.
Dalam aspek pendidikan iman, ibu bertanggungjawab menanam rasa cinta kepada Allah SWT dan Rasul sejak awal usia. Melalui zikir, doa dan amalan harian, anak-anak dibiasakan dengan suasana keimanan. Ibu yang berilmu lebih mampu mendidik anak memahami makna ibadah, bukan sekadar melaksanakan rutin tanpa penghayatan.
Dalam pendidikan akhlak pula, Abdullah Nasih Ulwan menekankan bahawa teladan lebih berkesan daripada kata-kata. Ibu yang sabar, jujur dan penyayang akan melahirkan anak-anak yang mencontohi sifat tersebut. Anak belajar melalui pemerhatian, dan ibu adalah cermin pertama kehidupan mereka.
Selain itu, dalam pendidikan intelektual, ibu digalakkan untuk sentiasa mencintai ilmu. Ibu yang berpengetahuan mampu merangsang pemikiran anak, menjawab persoalan mereka serta membimbing mereka mencintai pembelajaran. Justeru, pendidikan seorang ibu sebenarnya merupakan pelaburan besar dalam pembinaan generasi.
Dalam masa yang sama, Abdullah Nasih Ulwan turut mengingatkan bahawa pendidikan bukan hanya tentang kelembutan, tetapi juga disiplin. Ibu perlu bijak menyeimbangkan kasih sayang dan ketegasan agar anak membesar dengan adab, tanggungjawab dan jati diri yang kukuh.
Hakikatnya, dalam dunia hari ini, anak-anak bukan sahaja memerlukan kemudahan hidup, tetapi lebih memerlukan perhatian, bimbingan dan sentuhan jiwa daripada ibu bapa. Teknologi mungkin mampu memberi maklumat, tetapi hanya tarbiah mampu membentuk manusia.
Kesimpulannya, berdasarkan pemikiran dalam Tarbiyatul Aulad, ibu bukan sekadar penjaga, bahkan murabbi yang membentuk asas kehidupan anak-anak. Apabila seorang ibu memperbaiki dirinya dengan ilmu dan iman, maka dia sedang membina sebuah generasi yang kuat dan berakhlak. Benarlah, apabila terbina seorang ibu, maka terbinalah sebuah ummah yang bertamadun.
Dr. Iman binti Nor Ghani
Ketua Biro Keluarga & Masyarakat (BKM) ISMA Cawangan Alor Setar


