Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, WaLillahilhamd.
Alhamdulillah, telah pun tiba hari ke-10 bulan Zulhijjah. Dalam keseronokan dan keasyikan membuat persiapan hari raya ini, janganlah kita lupa untuk memperbanyakkan takbir dan berdoa, kerana doa pada malam hari raya Aidiladha adalah antara doa yang tidak akan ditolak, InsyaAllah. Seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Asakir daripada Abu Umamah;
“Ada lima malam doa tidak akan ditolak: Malam pertama di bulan Rajab, malam Nisfu Syaban, malam Jumat, malam Idul Fitri, dan malam Idul Adha” (HR Ibnu ‘Asakir)
Selain itu, amat digalakkan juga untuk mengulangkaji semula amalan-amalan sunnah ketika menyambut hari raya Aidiladha supaya adanya keberkatan dalam setiap perkara yang dilakukan dengan niat mengikuti sunnah Rasulullah SAW, dan bukan dilakukan kerana adat semata-mata.
Aidiladha sering dikaitkan dengan dua ibadah penting bagi umat Islam iaitu ibadah haji dan ibadah korban. Kedua-dua ini adalah ibadah yang memerlukan pengorbanan atau ‘pelaburan’ material seperti harta dan wang ringgit. Melihat keadaan ekonomi masyarakat masa kini, pengorbanan ini bukanlah mudah melainkan dengan perancangan yang cukup rapi. Ibadah haji juga turut menguji ketahanan fizikal dan mental jemaah yang dijemput menjadi tetamu Allah kerana perjalanan untuk menyelesaikan rukun-rukun haji bukanlah mudah. Sekiranya ibadah-ibadah ini diniatkan dengan penuh keikhlasan dan dilakukan semata-mata untuk mendapatkan redha Allah, maka segala pengorbanan yang dilakukan pasti ada ganjaran di sisiNya.
Pengorbanan dalam bentuk wang ringgit atau harta benda mungkin masih belum dapat disesuaikan dalam konteks kehidupan sebagai mahasiswa. Namun, mahasiswa masih boleh melakukan pengorbanan atau ‘pelaburan’ dari aspek lain seperti masa dan tenaga. Secara lumrahnya, generasi hari ini suka menggunakan masa dan tenaga mereka untuk melakukan perkara yang membawa kepada kesenangan masa singkat atau ‘immediate gratification’ seperti berehat, makan makanan yang enak, berhibur, atau ‘me-time’ dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah.
Perbuatan ini tidaklah salah, tetapi perlu dilakukan dengan berpada-pada tanpa melupakan tanggungjawab yang hakiki. Janganlah kita sibuk meluangkan masa dan menghabiskan tenaga untuk ‘healing’ sehingga mengabaikan amanah sebagai seorang pelajar. Sebaliknya, kita perlu belajar untuk mengorbankan waktu berseronok untuk melakukan perkara yang lebih penting dan dituntut dalam Islam seperti memperbanyakkan ibadah, menuntut ilmu, berkhidmat kepada keluarga dan berbakti kepada masyarakat.
Menahan diri daripada melakukan perkara yang disukai sememangnya bukan mudah, tetapi usaha ini boleh dianggap sebagai satu jihad untuk melawan hawa nafsu dan memperbaiki diri. Sebagaimana seseorang yang mampu, tetapi tidak melaksanakan tuntutan haji akan dipersoalkan.
Setiap orang muda atau mahasiswa juga akan dipersoalkan tentang bagaimana mereka menggunakan masa dan tenaga yang diberikan oleh Allah SWT di akhirat kelak. Ingatlah selalu bahawa dunia ini hanya bersifat sementara dan kebahagiaan sebenar adalah apabila kita berjaya menjejakkan kedua-dua belah kaki ke dalam syurga nanti.
Konklusinya, hari raya Aidiladha hadir bukan sahaja membawa keriangan dan kebahagiaan, tetapi turut membawa semangat dan ruh pengorbanan Nabi Ibrahim (AS) demi ketaatan kepada Allah SWT. Aidiladha juga, mengingatkan kita untuk bermuhasabah tentang sejauh mana pengorbanan di jalanNya yang sudah kita laksanakan.
Afnan Safiyyah binti Amru Iskandar
Ketua Beliawanis PEMBINA UIAM Gombak


