Tanggal 15 Mei setiap tahun bukan sekadar tarikh bersejarah buat rakyat Palestin, bahkan merupakan simbol luka panjang umat Islam yang masih berdarah sehingga ke hari ini. Pada tarikh inilah, tahun 1948, negara haram Israel diisytiharkan secara rasmi di atas bumi Palestin hasil penjajahan yang dirancang secara sistematik oleh gerakan Zionis dengan bantuan British serta sokongan kuasa-kuasa besar dunia.
Peristiwa ini dikenali sebagai An-Nakbah yang membawa maksud “Malapetaka”. Ini bukan sekadar pertukaran kuasa politik atau konflik sempadan seperti yang cuba digambarkan media Barat, tetapi sebuah projek penghapusan identiti, pengusiran penduduk asal dan penjajahan moden yang paling terancang dalam sejarah dunia moden.
Nakbah menyaksikan lebih 750,000 rakyat Palestin dihalau keluar dari tanah air mereka sendiri. Kampung-kampung dimusnahkan, rumah dirampas, wanita dan kanak-kanak dibunuh, bahkan tragedi pembunuhan beramai-ramai seperti Deir Yassin menjadi simbol kekejaman Zionis terhadap penduduk Palestin.
Ironinya, selepas lebih 77 tahun berlalu, dunia hari ini seolah-olah sedang menyaksikan “Nakbah versi baharu” berlaku di Gaza.
Jika dahulu rakyat Palestin dihalau menggunakan senjata dan pembunuhan, hari ini mereka dihimpit dengan sekatan makanan, serangan udara, penghancuran hospital, pembunuhan wartawan serta penghapusan keseluruhan keluarga daripada rekod penduduk. Gaza bukan lagi sekadar penjara terbesar dunia, tetapi sedang berubah menjadi kawasan pembunuhan terbuka yang disaksikan secara langsung oleh seluruh dunia.
Namun lebih malang, dunia masih gagal menghentikannya.
Amerika Syarikat terus menjadi pelindung utama Zionis Israel. Negara-negara Barat pula terus memainkan naratif “hak mempertahankan diri” bagi menghalalkan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin. Bahkan sebahagian negara Arab pula masih sibuk meneruskan hubungan diplomatik dan normalisasi dengan Israel seolah-olah darah rakyat Palestin tidak lagi bernilai.
Persoalannya, apakah bezanya situasi hari ini dengan tahun 1948?
Bukankah dahulu Palestin dijajah sedikit demi sedikit melalui Deklarasi Balfour, penghijrahan haram Yahudi dan sokongan kuasa Barat sebelum akhirnya Israel diisytiharkan? Hari ini juga kita melihat pola yang sama. Bezanya, dahulu dunia tidak mempunyai media sosial dan akses maklumat pantas, tetapi hari ini seluruh dunia menyaksikan sendiri jenayah Zionis secara langsung di telefon masing-masing.
Namun, walaupun bukti kekejaman berada di depan mata, masih ada usaha untuk menormalisasikan kewujudan Israel melalui media, hiburan, politik dan pemikiran.
Inilah yang paling berbahaya.
Normalisasi pemikiran akan menjadikan generasi akan datang menganggap kewujudan Israel sebagai sesuatu yang biasa. Sedikit demi sedikit umat Islam akan lupa bahawa bumi Palestin adalah tanah suci umat Islam, tempat terletaknya Masjid Al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam serta bumi yang diberkati Allah.
Akhirnya perjuangan Palestin hanya akan dilihat sebagai isu kemanusiaan semata-mata, sedangkan hakikatnya ia adalah pertembungan antara hak dan batil.
Pengajaran buat umat Islam
Umat Islam Malaysia juga perlu mengambil pengajaran besar daripada peristiwa Nakbah ini dalam konteks membina kekuatan negara sendiri. Nakbah tidak berlaku secara tiba-tiba dalam tempoh sehari dua. Tetapi bermula dengan kelemahan dalaman umat, perpecahan politik, pengaruh asing, perang pemikiran, normalisasi secara sedikit demi sedikit dan hilangnya jati diri generasi umat Islam.
Akhirnya Palestin dijajah bukan hanya dengan senjata, tetapi melalui penjajahan pemikiran, ekonomi, media dan proksi dalaman.
Tidakkah perkara yang sama sedang cuba berlaku terhadap negara-negara umat Islam termasuk Malaysia?
Hari ini Malaysia juga sedang berdepan pelbagai bentuk ancaman dalaman dan luaran yang cuba melemahkan identiti Islam, merosakkan institusi keluarga, meliberalkan pemikiran umat, melaga-lagakan masyarakat serta menjadikan negara bergantung kepada pengaruh asing dari sudut ekonomi, budaya dan geopolitik.
Penjajahan moden tidak semestinya hadir dengan kereta kebal dan tentera.
Adakalanya ia hadir dalam bentuk hiburan yang merosakkan, media yang memanipulasi pemikiran, sistem pendidikan yang memisahkan agama daripada kehidupan, budaya hidup individualistik serta fahaman liberal yang mencairkan identiti umat Islam sedikit demi sedikit sehingga akhirnya umat kehilangan jati diri dan kekuatan mempertahankan negara mereka sendiri.
Sebab itulah umat Islam di Malaysia tidak boleh melihat isu Palestin sebagai isu luar negara semata-mata. Nakbah adalah cermin amaran kepada seluruh umat Islam tentang apa yang akan berlaku apabila umat menjadi lemah, berpecah dan hilang arah tuju peradaban.
Atas sebab itu, pembinaan “Ummah Fadhilah” menjadi sangat penting dalam memastikan Malaysia kekal kuat, maju dan berdaulat. ISMA menyeru bahawa negara yang kuat dan berdaulat mesti dibina di atas ummah yang tinggi nilai, bermaruah, mempunyai ruh beragama, bersatu padu, berani mempertahankan identiti serta bebas daripada pengaruh asing.
Malaysia memerlukan generasi umat Islam yang bukan sekadar berjaya dari sudut akademik dan ekonomi, tetapi mempunyai kesedaran peradaban, kekuatan pemikiran dan jatidiri Islam yang jelas. Ummah yang memahami sejarah, sedar ancaman musuh serta mempunyai izzah untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air mereka.
Jika rakyat Palestin mampu bertahan mempertahankan bumi mereka walaupun dibedil setiap hari, maka umat Islam Malaysia seharusnya lebih awal membina kekuatan sebelum negara ini dihimpit dengan pelbagai bentuk penjajahan moden yang lebih halus dan tersusun.
Umat Islam di Malaysia khususnya tidak boleh hanya menjadi penonton yang bersimpati di media sosial. Peranan kita tidak boleh berhenti sekadar menukar gambar profil, berkongsi poster atau menangis melihat video kanak-kanak Gaza dibunuh.
Kita mesti memainkan peranan yang lebih besar dan strategik.
Peranan umat Islam
Pertama, umat Islam perlu memahami bahawa perjuangan Palestin adalah isu akidah dan maruah umat, bukan sekadar isu bangsa Arab. Masjid Al-Aqsa bukan milik rakyat Palestin sahaja, tetapi amanah seluruh umat Islam.
Kedua, rakyat Malaysia perlu terus memberikan tekanan kepada pihak berkepentingan supaya pendirian tegas terhadap Zionis Israel tidak berubah. Sebarang usaha normalisasi secara terbuka mahupun tersembunyi perlu ditolak habis-habisan.
Ketiga, medan media perlu dikuasai dengan naratif yang benar. Zionis menggunakan media antarabangsa untuk menggambarkan pejuang Palestin sebagai pengganas. Maka umat Islam juga perlu membina kekuatan media, penulisan, pendidikan dan penerangan supaya masyarakat memahami realiti sebenar di Palestin.
Keempat, bantuan kewangan, kemanusiaan dan kepakaran mesti diteruskan secara konsisten. Peperangan ini bukan sehari dua, tetapi perjuangan yang memerlukan nafas panjang daripada umat Islam seluruh dunia.
Perkara yang paling penting, umat Islam perlu kembali membina kekuatan dalaman umat. Palestin tidak akan bebas hanya dengan slogan dan demonstrasi semata-mata jika umat Islam sendiri terus lemah dari sudut ilmu, ekonomi, politik dan kesatuan.
Nakbah bukan sekadar sejarah silam.
Nakbah masih berlaku sehingga hari ini.
Bezanya, dahulu rakyat Palestin dihalau keluar dari kampung halaman mereka dengan berjalan kaki sambil membawa sisa harta yang tinggal. Hari ini mereka menggali mayat anak-anak mereka sendiri dari bawah runtuhan bangunan sambil dunia berbicara tentang “hak asasi manusia”.
15 Mei seharusnya bukan sekadar hari mengingati sejarah, tetapi hari untuk umat Islam bermuhasabah sejauh mana kita benar-benar memahami projek Zionis dan sejauh mana kesungguhan kita untuk mempertahankan bumi Palestin yang diberkati.
Kerana Palestin tidak akan dibebaskan oleh orang lain jika umat Islam sendiri memilih untuk melupakan Palestin.
Dan Malaysia juga tidak akan kekal kuat dan berdaulat jika umat Islam gagal mengambil pengajaran daripada sejarah Nakbah yang sedang berulang di depan mata dunia.
Ustaz Kamarul Azizan bin Abd Raman
Naib Yang Dipertua ISMA Kuala Terengganu


