Pada 15 Mei 2026, genap 78 tahun tragedi Nakbah Palestin. Sebuah malapetaka besar yang menyaksikan lebih 750,000 rakyat Palestin dihalau dari tanah air mereka, ratusan kampung dimusnahkan, dan sebuah entiti penjajah didirikan di atas darah serta penderitaan rakyat Palestin pada tahun 1948.
Nakbah bukan sekadar peristiwa sejarah yang dikenang dalam buku dan pidato, tetapi luka yang masih berdarah. Tragedi itu terpancar pada wajah anak-anak Gaza yang dibom tanpa belas kasihan, pada jeritan ibu yang kehilangan keluarga, pada tahanan yang dipenjara tanpa keadilan, dan pada jutaan pelarian yang masih menanti hak untuk pulang ke tanah air mereka.
Pada masa yang sama, Nakbah juga bukan semata-mata kalah senjata. Tetapi malapetaka yang terhasil daripada perpecahan ummah, kelemahan jiwa umat Islam, dan hilangnya kesediaan untuk mempertahankan maruah serta tanah suci umat Islam.
Sementara itu, selama puluhan tahun, dunia cuba meyakinkan umat Islam bahawa penjajahan ini tidak dapat dikalahkan. Manakala, rejim Zionis adalah kuasa yang mustahil ditumbangkan dan naratif dunia menyebut Palestin hanyalah isu kemanusiaan biasa yang akan dilupakan sedikit demi sedikit.
Namun “األقصى طوفان” telah memecahkan naratif tersebut. Masyarakat menyaksikan, sebuah bangsa yang dikepung, dibom dan disekat selama bertahun-tahun masih mampu bangkit melawan dengan keberanian luar biasa. Hal ini, membuktikan bahawa kekuatan bukan hanya terletak pada teknologi dan persenjataan sahaja, tetapi pada akidah, keyakinan, kesabaran dan semangat perjuangan yang tidak tunduk pada kezaliman.
Selain itu, Palestin adalah amanah. Bukan hanya milik rakyat Palestin, bahkan tanggungjawab seluruh umat Islam. Setiap generasi akan ditanya, apakah yang telah dilakukan ketika al-Aqsa dihina, ketika Gaza dibakar, ketika darah syuhada terus mengalir? Oleh kerana itu, memperingati Nakbah tidak cukup sekadar dengan ucapan sedih dan poster solidariti. Memperingati peristiwa nakbah mesti melahirkan kesedaran, pembinaan dan gerakan.
Sejarah mengajar kita bahawa kebangkitan umat akan bermula daripada kesedaran yang sama iaitu kesatuan ummah, kekuatan jiwa dan kesiapsiagaan dalam seluruh aspek kekuatan.
Oleh itu, kita perlu membina generasi yang celik sejarah umat, memahami agenda musuh, kuat jati dirinya, dan bersedia memikul tanggungjawab kebangkitan Islam. Umat ini memerlukan pemuda yang bukan sekadar marah, tetapi terdidik, tersusun dan bersedia untuk membina kekuatan ilmu, ekonomi, media, teknologi dan segala kubu ketahanan umat. Hari ini, Palestin mengajar kita satu perkara penting, bahawa perjuangan tidak pernah tamat selagi masih ada manusia yang beriman kepada kebebasan dan keadilan.
Maka ulang tahun Nakbah bukan sekadar untuk dikenang dengan kesedihan, tetapi untuk membangkitkan kesedaran, menyatukan umat dan membina generasi yang bersedia memperjuangkan maruah Islam dan pembebasan Palestin.
Kenang Nakbah. Sebarkan kesedaran. Bina kekuatan umat. Teruskanlah perjuangan sehingga Palestin dibebaskan.
Ibrahim bin Allam Said
Timbalan Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)


