Bulan Zulhijah merupakan bulan yang sangat istimewa. Sepuluh hari pertamanya Allah SWT angkat darjatnya, sehingga Nabi SAW sebut tiada hari yang lebih Allah SWT cintai untuk amal soleh yang dilakukan selain hari-hari ini.
Tapi realitinya, tidak semua orang sempat manfaatkan awal Zulhijah dengan sebaiknya. Ada yang sibuk bekerja, sehingga rasa sudah “terlepas peluang”. Tetapi hakikatnya, selagi masih berbaki, masih ada ruang untuk kita hidupkan amal dan kembali kepada Allah.
Mulakan perubahan dengan menjaga perkara asas
Perubahan boleh bermula dengan perkara yang paling asas, iaitu menjaga solat fardu kerana ia adalah tiang kehidupan seorang Muslim. Jangan hanya disebabkan kesibukan dunia, culas dalam mengerjakan solat.
Kemudian, amalan sunat juga boleh ditambah mengikut kemampuan dan tidak perlu dilakukan semuanya sekaligus, kerana amalan yang sedikit tetapi berterusan itu lebih baik. Usahakan untuk bangun bertahajud atau bangun beberapa minit sebelum Subuh untuk beristighfar juga sudah sangat bermakna.
Begitu juga dengan bacaan al-Qur’an. Kita perlu menyediakan ruang untuk membaca al-Quran walaupun sedikit, yang penting konsisten. Kerana jika kita menunggu masa lapang yang sempurna, ia tidak akan pernah datang.
Antara amalan yang sangat dianjurkan sepanjang Zulhijah juga ialah memperbanyakkan zikir, takbir, tahmid dan tahlil. Amalan ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja kita berada seperti di rumah, di dalam kereta, ketika memasak, atau sewaktu berjalan, dan tidak hanya terhad di masjid atau surau. Kalimah seperti “Subhanallah wabihamdih, Subhanallah al-‘Azim” juga merupakan dua kalimah yang sangat dicintai oleh Allah SWT. Ia sangat mudah dilafazkan, namun sangat berat dalam timbangan mizan (pahala).
Hari-hari ini mengajar kita bahawa untuk dekat dengan Allah SWT, tidak semestinya melalui amalan yang sukar. Kadang-kadang, lidah yang sentiasa basah dengan zikrullah lebih bernilai daripada banyak perkara yang kita kejar setiap hari.
Selain itu, amalan bersedekah walaupun kecil juga sangat besar nilainya di sisi Allah SWT. Kadang-kadang kita menyangka sedekah mesti dalam jumlah yang besar, sedangkan RM1 yang diberi dengan ikhlas boleh jadi lebih berat di sisi Allah daripada jumlah yang banyak tetapi kosong rasa. Selain wang, sedekah juga boleh hadir dalam bentuk tenaga, masa dan perhatian seperti membantu ibu bapa di rumah, menggembirakan hati orang lain, atau memudahkan urusan orang lain.
Zulhijah titik perubahan
Zulhijah ini juga mengingatkan kita kepada kisah Nabi Ibrahim AS tentang pengorbanan dan ketaatan kepada Allah SWT. Mungkin hari ini kita tidak diuji dengan pengorbanan sebesar mereka, tetapi setiap orang tetap mempunyai “korban” masing-masing. Ada yang perlu mengorbankan ego, ada yang sedang melawan rasa malas, dan ada juga yang sedang berusaha meninggalkan perkara yang melalaikan. Kadang-kadang, korban yang paling sukar bukan pada harta, tetapi pada diri sendiri.
Sebelum hari-hari mulia ini berakhir, cubalah bertanya kembali kepada diri kita: “Adakah aku menjadi lebih dekat dengan Allah SWT berbanding awal bulan?”
Jika jawapannya masih belum seperti yang diharapkan, jangan terus berputus asa. Selagi masih diberi masa dan kesempatan hidup, selagi itu pintu taubat masih terbuka. Kadang-kadang satu zikir yang ikhlas, satu sujud yang khusyuk, atau satu sedekah yang tersembunyi daripada pandangan manusia boleh menjadi sebab Allah SWT memandang kita dengan penuh rahmat.
Semoga baki Zulhijah ini menjadi titik permulaan untuk kita kembali memperbaiki diri dan mendekatkan hati kepada Allah SWT. Tidak perlu menunggu sempurna untuk berubah. Mulakan sahaja dengan langkah kecil, kerana boleh jadi langkah kecil itulah yang membawa kita lebih dekat kepadaNya.
Ain Shahirah binti Mohd Noor Azib
Ketua Beliawanis PEMBINA Bangi

