ALOR SETAR, 27 Mei – Program Ibadah Korban anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Alor Setar dengan kerjasama Teratak Pengajian Ustaz Haji Abdul Fisol bin Mohd Isa telah berjaya dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha pertama di Taman Uda, Alor Setar, dengan penyertaan aktif ahli ISMA dan komuniti setempat.

Sebanyak dua ekor lembu telah dikorbankan dalam program yang bertujuan menghidupkan syiar Aidiladha serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat. Daging korban kemudiannya diuruskan dan diagihkan kepada penerima yang layak sebagai sebahagian daripada usaha menyemarakkan budaya kebajikan dan keprihatinan sosial.
Sesi melapah dan pengurusan daging korban telah dijalankan di Teratak Pengajian Ustaz Haji Abdul Fisol dengan kerjasama para sukarelawan yang berganding bahu memastikan kelancaran program. Selain itu, sebahagian daripada daging korban turut dimasak secara gotong-royong, mewujudkan suasana mesra dan merapatkan hubungan antara peserta.



Menurut Yang Dipertua ISMA Alor Setar, Dr. Abdullah Tahir bin Abdul Rahim, program seperti ini bukan sahaja memenuhi tuntutan ibadah korban, malah menjadi platform untuk memperkukuh jaringan ukhuwah, memupuk semangat kesukarelawanan dan menggalakkan budaya saling membantu dalam masyarakat.
“Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi membina Ummah Fadhilah yang berteraskan nilai kebersamaan, kebajikan dan penghayatan Islam dalam kehidupan seharian,” katanya selepas sesi sembelihan.
Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada semua peserta, penyumbang dan sukarelawan yang telah menjayakan program tersebut. Semoga ibadah korban yang dilaksanakan diterima Allah SWT serta menjadi asbab kepada penyatuan hati dan keberkatan buat seluruh komuniti.


