Sabah merupakan negeri yang memiliki komposisi umat Islam yang signifikan, dengan populasi melebihi 65% mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia 2020.
Namun, sehingga kini, negeri ini masih belum mempunyai sebuah Universiti Islam khusus seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Negeri Sembilan atau Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) di Pahang.
Justeru, penubuhan Universiti Islam Nusantara Sabah, UINS di kawasan Pantai Timur Sabah adalah satu keperluan strategik yang perlu disegerakan.
Kawasan Pantai Timur yang merangkumi Tawau, Lahad Datu, Semporna, Kinabatangan dan Sandakan mempunyai kepadatan penduduk Islam tertinggi di Sabah, termasuk komuniti Suluk, Bajau, Bugis, dan Tidung.
Kawasan ini juga bersempadan dengan Selatan Filipina dan Kalimantan Timur.
Kewujudan sebuah universiti Islam akan menjadi pusat rujukan dakwah, penyelidikan Islam Nusantara, dan membendung pengaruh ajaran sesat yang pernah dilaporkan di kawasan sempadan.
Ketika ini, ramai pelajar Sabah terpaksa berhijrah ke Semenanjung atau luar negara untuk pengajian Islam. Kos yang tinggi menyebabkan ramai anak muda berpotensi tercicir.
Oleh itu, penubuhan UINS di Pantai Timur ini mampu melahirkan asatizah, imam, guru KAFA, dan pendakwah tempatan yang memahami konteks sosio-budaya Sabah. Lalu, boleh menyelesaikan isu kekurangan guru agama bertauliah di 1,200 lebih masjid dan surau seluruh Sabah.
Merujuk kajian Impak Ekonomi IPT oleh Kementerian Pengajian Tinggi 2022, setiap universiti awam menyumbang purata RM180 juta setahun kepada ekonomi tempatan melalui perbelanjaan pelajar, staf, dan aktiviti penyelidikan.
Penubuhan UINS di Pantai Timur juga akan menghidupkan sektor hartanah, peruncitan, pengangkutan, dan F&B. Peluang pekerjaan untuk pensyarah, pentadbir, dan vendor akan wujud secara langsung. Malah, berpotensi menarik pelajar antarabangsa dari Filipina, Indonesia, dan Brunei melalui program pengajian Islam.
UINS tidak perlu meniru bulat-bulat universiti sedia ada. Tetapi harus ada identiti Sabah itu sendiri seperti tumpuan kepada fiqh masyarakat majmuk dan adat istiadat Islam di Sabah, fokus kepada dakwah di kawasan pedalaman dan juga komuniti pulau serta akan menjadi sebagai pusat rujukan dunia tentang Islam di Borneo, sejarah Kesultanan Brunei/Sulu, dan manuskrip Jawi lama.
Sebagai permulaan kerjasama awal juga boleh dijalankan dengan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), USIM atau Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebagai universiti mentor.
Penubuhan Universiti Islam Nusantara Sabah di Pantai Timur bukan sekadar membina bangunan tetapi bakal membina tamadun dan peradaban, melahirkan asatizah yang faham bahasa dan budaya tempatan, mengurangkan penghijrahan cendekiawan, dan menjadi nadi baharu ekonomi ummah.
Penubuhan ini adalah pelaburan jangka panjang untuk masa depan Islam di Sabah Darul Saadah dan sudah tiba masanya Kerajaan Negeri mengambil tindakan ini dengan segera demi ummah.
Ustaz Muhammad Nur Bin Selamit
YDP ISMA Cawangan Sandakan

