Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menegaskan bahawa usaha dakwah Islam merupakan suatu tuntutan agama Islam yang merupakan agama bagi bangsa majoriti di Malaysia.
Sehubungan dengan itu, ISMA menyatakan sokongan penuh terhadap segala usaha dakwah yang dijamin di sisi undang-undang, terutama di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi kerajaan, sektor swasta, komuniti setempat dan di setiap inci bumi Malaysia.
Kenyataan yang mempertikaikan program dakwah dan pengurusan saudara baharu di IPTA memperlihatkan kegagalan memahami kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan serta realiti pembinaan negara Malaysia. Islam adalah agama Persekutuan dan kedudukan tersebut memberikan ruang yang sah kepada pembangunan, penghayatan dan penyebaran ajaran Islam dalam ruang awam negara.
Universiti awam adalah institusi pembentukan insan yang menyediakan ruang pembangunan intelektual, moral, kerohanian dan sahsiah. Justeru, kewujudan masjid, surau, pusat Islam, kuliah agama dan pelbagai program dakwah di kampus bukan sesuatu yang asing atau luar biasa, bahkan sebahagian daripada ekosistem pendidikan negara sejak sekian lama.
Dalam masa yang sama, ISMA mengingatkan bahawa urusan dakwah, syiar dan pembangunan agama Islam adalah hak umat Islam yang dijamin oleh Perlembagaan. Adalah tidak wajar mana-mana pihak yang tidak beragama Islam cuba menentukan sempadan atau menghadkan ruang dakwah Islam yang dibenarkan oleh undang-undang negara.
ISMA turut memberi amaran kepada mana-mana ahli politik, khususnya daripada DAP, agar tidak terus memainkan isu-isu berkaitan Islam secara tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam. Kenyataan yang mempertikaikan aktiviti dakwah boleh mencetuskan ketegangan yang tidak diperlukan serta mengganggu keharmonian yang telah lama dipelihara dalam masyarakat majmuk negara ini.
ISMA menyeru semua ahli politik supaya menghentikan politik provokasi yang menyentuh kedudukan Islam dan institusi Islam demi meraih sokongan kelompok tertentu. Tindakan sedemikian tidak membawa manfaat kepada negara, malah berpotensi merosakkan keharmonian antara kaum dan agama yang menjadi asas kestabilan Malaysia.
ISMA akan menggencarkan usaha dakwah kepada seluruh lapisan masyarakat di Malaysia bagi memperkenalkan ajaran Islam yang sebenar serta menjelaskan keindahan syariat Allah SWT kepada semua.
Ustaz Shuhaib ar-Rumy bin Selamat
Presiden ISMA
18 Jun 2026

