Umat Islam telah memasuki bulan Muharam, iaitu salah satu bulan yang mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Islam. Bulan ini termasuk dalam bulan-bulan haram yang dimuliakan oleh Allah SWT serta mempunyai pelbagai kelebihan dan peluang untuk memperbanyakkan amalan soleh. Kemuliaan bulan Muharram turut dijelaskan melalui sabda Rasulullah SAW yang menganjurkan umat Islam untuk memperbanyakkan ibadah, khususnya ibadah puasa pada bulan tersebut. Rasulullah SAW bersabda:
أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلاَةُ اللَّيْلِ
Maksudnya: “Puasa yang paling utama selepas Ramadan ialah puasa pada bulan Allah, iaitu Muharram, dan solat yang paling utama selepas solat fardu ialah solat malam.”
(Riwayat Muslim)
Hadis ini menunjukkan kedudukan istimewa bulan Muharam sebagai bulan yang digalakkan untuk dipenuhi dengan pelbagai bentuk ibadah dan amalan kebajikan.
Melalui hadis-hadis yang berkaitan dengan kelebihan bulan Muharam, dapat difahami bahawa Allah SWT mendidik umat Islam agar memulakan lembaran tahun baharu Hijrah dengan meningkatkan ketaatan dan pengabdian kepada-Nya. Permulaan tahun yang disertai dengan ibadah dan amalan soleh bukan sahaja menjadi simbol kesungguhan dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT, bahkan menjadi asas kepada pembentukan peribadi yang lebih baik sepanjang tahun.
Apabila diteliti amalan-amalan yang dianjurkan pada bulan Muharam, terdapat satu hari yang sangat istimewa iaitu Hari Asyura. Hari Asyura merujuk kepada tanggal kesepuluh bulan Muharam dan antara hari yang memiliki kelebihan yang besar di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW menganjurkan umat Islam untuk berpuasa pada hari tersebut kerana ganjaran yang dijanjikan amat besar, iaitu pengampunan dosa-dosa kecil yang telah lalu.
Antara kelebihan utama berpuasa pada Hari Asyura adalah penghapusan dosa setahun yang lalu. Perkara ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang menjelaskan bahawa puasa Hari Asyura menjadi sebab kepada keampunan dosa-dosa kecil bagi tahun sebelumnya. Rasulullah SAW bersabda:
قَالَ وَسُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَاشُورَاءَ فَقَالَ: يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ
Maksudnya: “Baginda ditanya tentang puasa Hari Asyura, lalu Baginda bersabda: ‘Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu.’”
(Riwayat Muslim)
Hadis ini menggambarkan keluasan rahmat dan kasih sayang Allah SWT terhadap umat Islam, di samping menunjukkan bahawa pintu keampunan sentiasa terbuka bagi mereka yang berusaha mendekatkan diri kepada-Nya melalui ibadah.
Selain itu, hadis tersebut turut memberikan gambaran bahawa umat Islam diberikan peluang untuk melakukan muhasabah dan memperbaharui diri. Pengampunan dosa yang diperoleh melalui ibadah puasa Hari Asyura menjadi titik permulaan bagi umat Islam untuk membina peribadi yang lebih unggul, berakhlak mulia dan berdaya saing. Individu yang sentiasa berusaha memperbaiki diri berpotensi menjadi aset penting dalam pembangunan masyarakat serta menyumbang kepada pembinaan tamadun yang lebih baik pada masa hadapan.
Dari sudut yang lain, pelaksanaan puasa pada bulan Muharam juga boleh dilihat sebagai suatu bentuk tarbiah rohani yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Muharam merupakan bulan pertama dalam kalendar Hijrah yang mengingatkan umat Islam kepada peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang penuh dengan pengorbanan dan pengajaran. Justeru, amalan puasa pada bulan ini berperanan menyuburkan ruh keimanan, memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT serta memberikan dorongan kepada umat Islam untuk terus istiqamah dalam beribadah pada bulan-bulan yang berikutnya.
Sebagai kesimpulannya, puasa Hari Asyura merupakan salah satu ibadah sunat yang agung serta mempunyai kelebihan yang istimewa sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW. Ganjaran penghapusan dosa setahun yang lalu menunjukkan keluasan rahmat dan keampunan Allah SWT kepada umat Islam yang berusaha mendekatkan diri kepada-Nya melalui ibadah.
Di samping itu, pelaksanaan puasa Asyura bukan sekadar bertujuan memperoleh ganjaran pahala, bahkan menjadi medium tarbiah rohani yang membentuk keperibadian umat Islam yang lebih bertakwa, berdisiplin dan berakhlak mulia. Dengan merebut peluang yang terdapat pada hari yang penuh keberkatan ini, umat Islam dapat memulakan tahun baharu Hijrah dengan semangat untuk mengejar maghfirah Allah SWT, memperbaharui keimanan serta mempersiapkan diri menjadi individu yang mampu menyumbang kepada pembangunan dan kepimpinan ummah pada masa hadapan.
Ustaz Usaid bin Zaidi
Pengerusi ISMA Mesir


