SANDAKAN, 13 JULAI — Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Sandakan dan Surau Nur Rahman, Kampung Gas Baharu berjaya menganjurkan program “Bah Bangun Qiamullail” (BBQ) dan sesi menonton Piala Dunia bersama komuniti, baru-baru ini.


Program yang julun-julung kali diadakan itu bertujuan menggalakkan masyarakat kampung untuk hadir ke surau melalui pendekatan yang menggabungkan ibadah, kebersamaan dan aktiviti kemasyarakatan.
Menurut penganjur, inisiatif ini diharapkan dapat menghidupkan semula peranan surau sebagai pusat pembangunan rohani dan sosial penduduk setempat.
Acara dimulakan dengan solat Isyak dan bacaan Surah Al-Mulk secara berjemaah. Kemudian dimeriahkan dengan aktiviti memanggang ayam dan ikan bersama-sama, yang menjadi simbolik kepada nama program “BBQ”.


Aktiviti ini berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan umur dan mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk.
Kemuncak program diteruskan dengan qiamullail dan solat Subuh berjemaah. Para jemaah kemudiannya mengikuti sesi tazkirah Subuh yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Nur bin Selamit, Yang Dipertua ISMA Sandakan.
Dalam tazkirah tersebut, beliau menekankan kepentingan amalan istighfar sebagai jalan memohon keampunan daripada Allah SWT atas segala kesalahan dan kelalaian yang dilakukan.
“Apabila surau dijadikan pusat aktiviti yang menyentuh hati dan perut, insyaAllah masyarakat akan lebih mudah datang. Bukan sekadar untuk beribadah, tetapi juga untuk merapatkan silaturahim,” ujar Ustaz Muhammad
Program seumpama ini diharap dapat diteruskan secara berkala oleh ISMA Sandakan bersama Surau Nur Rahman bagi memastikan surau terus menjadi nadi kepada pembangunan ummah di Kg Gas Baharu.


