Laporan mengenai serbuan pihak berkuasa terhadap sebuah kilang pemprosesan ayam di Puchong yang dipercayai menggunakan kaedah renjatan elektrik berkuasa tinggi sehingga menyebabkan ayam mati sebelum proses penyembelihan dilakukan bukanlah isu yang boleh dianggap terpencil.
Apatah lagi apabila kilang tersebut dilaporkan mempunyai kapasiti pemprosesan sehingga 40,000 ekor ayam sehari dan telah beroperasi sejak sekian lama.
Lebih membimbangkan, bekalan ayam daripada kilang tersebut dipercayai turut dipasarkan ke kawasan Bangi serta beberapa kawasan lain di Lembah Klang yang mempunyai majoriti pengguna beragama Islam.
Maka, isu ini tidak sepatutnya dilihat sekadar pelanggaran prosedur operasi sebuah kilang, tetapi turut menyentuh hak dan kepentingan umat Islam untuk mendapatkan makanan yang diyakini halal.
Halal bukan sekadar tuntutan agama, malah merupakan amanah besar yang perlu dipelihara oleh setiap pihak dalam rantaian pengeluaran dan pengedaran makanan.
Dalam hal ini, pihak berkuasa agama perlu menjalankan siasatan terperinci bagi menentukan sama ada ayam berkenaan telah mati akibat renjatan elektrik sebelum disembelih. Penjelasan dari sudut hukum syarak dan teknikal perlu diberikan berdasarkan fakta yang sahih.
Pada masa yang sama, rantaian bekalan yang terlibat juga perlu dikenal pasti, termasuk pemborong, pasar raya, restoran dan premis yang menerima bekalan daripada kilang tersebut. Status produk yang telah berada di pasaran juga perlu diperjelaskan kepada pengguna.
Pihak berkuasa perlu memastikan ketelusan maklumat kepada masyarakat dengan memberikan penjelasan rasmi mengenai hasil siasatan serta langkah yang diambil agar keresahan pengguna dapat ditangani dengan baik.
Bagi memastikan tiada lagi pelanggaran terhadap standard dan prosedur halal, pensijilan halal perlu disertai pemantauan berterusan terhadap operasi sebenar.
Pemantauan berkala, audit dan tindakan penguatkuasaan tidak boleh hanya bergantung kepada aduan atau serbuan. Kita tidak mahu isu seperti ini hanya mendapat perhatian apabila berlaku serbuan dan pendedahan media.
Sebaliknya, sistem pemantauan dan penguatkuasaan perlu diperkasakan bagi memastikan perkara seumpama ini dapat dicegah sebelum menjejaskan lebih ramai pengguna.
Makanan halal merupakan hak dan keperluan asas umat Islam. Masyarakat tidak sepatutnya dibebankan dengan keraguan terhadap makanan yang dibeli dan dimakan setiap hari.
Malaysia melalui JAKIM telah membangunkan sistem pensijilan dan standard halal yang menjadi rujukan serta mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Malah, JAKIM turut berperanan mengiktiraf dan memantau badan pensijilan halal luar negara bagi memastikan produk yang memasuki pasaran Malaysia memenuhi keperluan dan standard halal negara.
Justeru, insiden seperti ini tidak sepatutnya dibiarkan mencalarkan reputasi dan kredibiliti sistem halal Malaysia yang telah dibina sekian lama.
Sebaliknya, ia perlu menjadi peringatan bahawa standard halal yang tinggi mesti diterjemahkan melalui pemantauan, audit dan penguatkuasaan yang konsisten pada setiap peringkat rantaian bekalan.
Kita tidak mahu reputasi Malaysia sebagai antara peneraju industri halal dunia hanya gah di peringkat antarabangsa, tetapi gagal dipertahankan melalui pelaksanaan dan pemantauan yang berkesan di dalam negara sendiri.
Ustaz Zaizul Irshadi Zaman
YDP ISMA Bangi


