ABBASIAH, 23 Julai – ISMA Mesir telah mengadakan pertemuan rasmi bersama YBhg. Dato’ Shamsul Najmi bin Shamsuddin, Menteri Penasihat Pendidikkan Malaysia Mesir (EME) di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK) bagi membentangkan kertas kajian ISMA Mesir yang bertajuk Mahasiswa Unggul Memimpin Ummah.
Pengerusi ISMA Mesir, Ustaz Usaid Zaidi hadir bersama Timbalan Pengerusi, Ustaz Aqil Zamani, Ketua Biro Media dan Dakwah, Ustaz Irfan Mohiddin dan Ketua Biro Akademik, Ustaz Nik Ahmad Khalifah. Pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana penuh mesra dengan perbincangan yang memberi tumpuan kepada agenda perkembangan pembangunan mahasiswa secara menyeluruh.
Tujuan utama pertemuan ini adalah untuk membentangkan projek seruan ISMA Mesir iaitu Mahasiswa Unggul Memimpin Ummah, yang merupakan satu inisiatif hala tuju strategik dalam usaha memperkasa mahasiswa Malaysia di Mesir. Pada pertemuan tersebut, ISMA Mesir menyerahkan sebuah buku kecikl yang menghimpunkan kandungan seruan sebagai rujukan kepada pihak EME, selain membincangkan beberapa cadangan kerjasama strategik yang berpotensi dilaksanakan bersama.
Sepanjang perbincangan, YBhg. Dato’ Shamsul Najmi turut berkongsi pandangan mengenai realiti semasa yang dihadapi oleh mahasiswa di Mesir. Beliau menekankan kepentingan kerjasama erat antara semua pihak dalam usaha membangunkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki jati diri, kepimpinan dan nilai sahsiah yang tinggi bagi menghadapi cabaran semasa.
Seruan Mahasiswa Unggul Memimpin Ummah yang dibentangkan turut menggariskan usaha strategik merentas persatuan sebagai satu pendekatan kolektif dalam melahirkan mahasiswa unggul. Selain itu, seruan ini memperincikan enam susuk tubuh utama yang perlu dibentuk dalam diri setiap mahasiswa sebagai asas kepada pembinaan generasi yang berilmu, berkepimpinan, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara.
“Pertemuan ini diharapkan menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat antara ISMA Mesir dan pihak EME dalam merealisasikan agenda pembangunan mahasiswa,” kata Ustaz Usaid Zaidi .
ISMA Mesir yang diketuai Ustaz Usaid Zaidi komited untuk terus mengorak langkah melalui usaha strategik termasuk memperkukuhkan kerjasama dengan pelbagai persatuan mahasiswa, membentangkan rangka projek kepada pegawai atasan negeri serta menjalinkan hubungan dengan pelbagai pihak demi merealisasikan aspirasi melahirkan mahasiswa unggul yang cemerlang di Mesir.


