Setiap kali menjelang bulan kemerdekaan, kita kembali mengenang perjuangan dan pengorbanan generasi terdahulu yang memperjuangkan hak sebuah bangsa untuk menentukan masa depannya sendiri. Namun setelah hampir tujuh dekad berdiri sebagai negara merdeka, makna kemerdekaan wajar direnungkan dalam konteks yang lebih luas. Merdeka bukan sahaja tentang siapa yang mentadbir negara, tetapi juga sejauh mana kita mengenali tanah yang dipijak, memahami khazanah yang tersimpan di dalamnya, serta mempunyai ilmu dan kebijaksanaan untuk mengurus.
Di sinilah alam memberikan hikmah. Gunung, sungai, tanah dan batuan yang kita lihat hari ini merupakan hasil proses alam yang berlangsung selama jutaan tahun. Setiap lapisan batuan menyimpan sejarah, manakala jauh di bawah kaki kita tersimpan pelbagai mineral yang sejak dahulu menjadi sebahagian daripada perjalanan ketamadunan manusia. Manakala, alam mengingatkan kita bahawa sesuatu yang bernilai memerlukan masa untuk terbentuk, ilmu untuk difahami dan kebijaksanaan untuk dimanfaatkan. Begitu juga kemerdekaan; ia bukan titik akhir perjuangan, tetapi ruang untuk sebuah bangsa membina ketamadunannya sendiri.
Jika pada tahun 1957 persoalan utama ialah kedaulatan politik dan hak untuk mentadbir tanah air sendiri, hari ini makna kedaulatan menjadi semakin luas. Dalam dunia yang bergantung kepada teknologi dan sumber strategik, soalan yang perlu ditanya, adalah sejauh mana kita memahami sumber yang dimiliki, menguasai teknologi untuk meneroka dan memprosesnya, serta mampu mengembangkan nilainya untuk kepentingan negara? Inilah antara dimensi baharu kemerdekaan iaitu kedaulatan terhadap alam dan sumbernya.
Unsur nadir bumi atau rare earth elements (REE) kini menjadi antara sumber mineral yang giat diteroka di seluruh dunia, didorong oleh perkembangan teknologi tinggi, peralihan tenaga dan kepentingan rantaian bekalan global. Namun dunia tidak berhenti pada REE. Ketika banyak negara memperkukuh penerokaan sumber tersebut, negara-negara berteknologi tinggi turut memberikan perhatian kepada unsur kritikal lain seperti galium, germanium, indium dan litium yang diperlukan dalam semikonduktor, elektronik termaju, tenaga dan teknologi generasi seterusnya.
Persaingan sumber masa hadapan bukan lagi semata-mata tentang berapa banyak mineral yang dimiliki, tetapi siapa yang mempunyai ilmu untuk mengenalinya, teknologi untuk memprosesnya dan keupayaan untuk meningkatkan nilainya.
Sejarah tanah air sendiri memberi pengajaran yang penting. Tanah Melayu pernah menjadi antara pengeluar bijih timah terpenting dunia. Perlombongan timah membentuk bandar, jaringan pengangkutan, perdagangan dan sebahagian daripada perkembangan ekonomi negara. Namun pada zaman tersebut, penguasaan tempatan terhadap ilmu, teknologi dan keseluruhan rantaian nilai mineral belum berada pada tahap seperti hari ini. Sebahagian besar kekayaan bumi dinilai sebagai bahan mentah untuk dikeluarkan dan diperdagangkan, sedangkan nilai yang lebih tinggi tercipta melalui pemprosesan, pembuatan dan teknologi. Pengalaman ini mengajar bahawa menjadi kaya dengan sumber tidak semestinya sama dengan menguasai nilai daripada sumber tersebut.
Pengalaman itu wajar menjadi panduan dalam era mineral kritikal. Dalam pembangunan REE misalnya, penerokaan dan penilaian sumber hanyalah permulaan. Rantaian nilainya merangkumi perlombongan, pemisahan, pemurnian, pemprosesan, pembangunan bahan termaju dan akhirnya penghasilan produk berteknologi tinggi. Justeru, kerangka dasar dan tatacara perlombongan perlu terus berkembang seiring kemajuan pengetahuan, keperluan alam sekitar dan perubahan teknologi. Pada masa yang sama, keupayaan negara pada peringkat pertengahan rantaian nilai atau midstream, khususnya teknologi pemisahan, pemurnian dan pemprosesan, perlu terus diperkukuh. Dengan itu, sumber mineral bukan sekadar dikeluarkan dari bumi, tetapi menjadi pemangkin kepada pembangunan ilmu, teknologi, industri dan modal insan negara.
Namun kedaulatan terhadap sumber tidak bermaksud segala yang berada di dalam bumi mesti dikeluarkan. Mineral mempunyai nilai, begitu juga hutan, sungai, kawasan tadahan dan tanah yang menyokong kehidupan. Kedaulatan yang sebenar ialah apabila kita mempunyai ilmu untuk mengetahui apa yang kita miliki kemudian kemampuan untuk menilai potensinya, dan kebijaksanaan untuk menentukan sama ada, bila dan bagaimana ia harus dimanfaatkan. Tanpa ilmu, kita mungkin tidak mengenali nilai khazanah sendiri; dengan ilmu tetapi tanpa amanah, khazanah pula boleh menjadi beban kepada generasi seterusnya.
Sejarah ketamadunan manusia sentiasa berkait rapat dengan alam. Sungai melahirkan penempatan, tanah subur membangunkan pertanian, manakala logam dan mineral membawa manusia daripada Zaman Batu kepada Zaman Gangsa, Zaman Besi, perindustrian dan kini zaman teknologi tinggi. Tetapi kemajuan teknologi sahaja tidak semestinya menandakan kemajuan sebuah tamadun. Barangkali falsafah ketamadunan moden perlu kembali melihat alam bukan sekadar sebagai sumber untuk dieksploitasi, tetapi sebagai amanah untuk diuruskan. Kemajuan sebenar turut diukur melalui kebijaksanaan manusia mengurus apa yang berada dalam kekuasaannya.
Generasi terdahulu memperjuangkan kedaulatan wilayah dan pemerintahan. Generasi hari ini pula memikul amanah untuk terus memperkukuh kedaulatan ilmu, teknologi dan sumber. Kita perlu mengetahui apa yang terdapat di bawah kaki kita, seterusnya, membina kepakaran sendiri dan memperkukuh penguasaan rantaian nilai. Pada masa yang sama, kita harus memahami bahawa tidak semua yang boleh diteroka semestinya perlu diteroka, dan tidak semua yang mempunyai nilai ekonomi boleh dinilai dengan wang semata-mata.
Pada akhirnya, kemerdekaan ialah kemampuan sebuah bangsa untuk mengenali tanahnya, memahami khazanahnya dan menentukan masa depannya dengan ilmu serta kebijaksanaan. Tanah memberi kita tempat berpijak, khazanah memberi kita peluang untuk membangun, dan amanah menentukan sama ada pembangunan itu akhirnya menjadi sebuah ketamadunan.
Kerana bumi yang merdeka bukan sekadar bumi yang kita miliki, tetapi bumi yang kita fahami, pelihara dan wariskan.
Fakhruddin Afif Bin Fauzi
Ketua Media ISMA Cawangan Alor Setar

