“Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia.”
Ungkapan ini menggambarkan dengan sangat padat, peranan wanita dalam membina sebuah masyarakat. Tangan sang ibu adalah yang pertama menyambut setiap insan yang lahir ke dunia. Tangan yang sama membelai insan tersebut, dan tangan pertama yang menentukan acuan untuk pembentukannya apabila dewasa kelak.
Manakala, agama melihat peri pentingnya peranan seorang wanita. Mereka bukan semata-mata hanya berperanan di dapur, menyediakan makan dan minum untuk keluarga, akan tetapi mereka adalah susuk penting yang membina generasi dan peradaban.
Hal ini dibuktikan dengan kisah beberapa susuk sahabiah, yang boleh dijadikan ikutan dan teladan.
Khadijah: Sumber semangat dan ketenangan
Pertamanya, Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwailid, seorang wanita yang memiliki kematangan dan kekuatan jiwa yang luar biasa. Beliau menjadi sumber ketenangan dan kekuatan Rasulullah SAW sejak baginda menggalas amanah nubuwwah yang mulia ini.
Khadijah mengajar kita bahawa peranan seorang wanita boleh bermula dari dalam ruangan sebuah rumah yang kecil. Belaian kasih yang tercurah, serta dakapan cinta yang diberi setiap kali baginda Nabi SAW pulang ke rumah, memberikan kekuatan dan dukungan yang diperlukan sang suami untuk menggalas tugas harian yang sangat berat.
Asmaa’: Berkorban saat sukar
Kemudian, kisah agung hijrah Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar tidak akan lengkap tanpa menyentuh peranan “Dzatun nitoqoin” iaitu Asmaa’ binti Abu Bakar. Sewaktu ayahnya dan baginda Nabi sedang bermalam di gua Tsur, beliau tidak pernah gagal menyiapkan bekalan buat mereka berdua.
Walau sedang sarat mengandung, beliau akan berjalan beberapa kilometer, kemudian memanjat bukit Tsur yang tingginya ratusan meter, demi menunaikan amanah yang telah diberi.
Melihat kepada pengorbanan beliau yang luar biasa untuk dakwah, maka tidak hairan anak yang beliau kandungkan saat itu, akhirnya membesar menjadi seorang pahlawan bak singa di medan juang, dan seorang ahli ibadah yang tekun sehingga digelar ‘merpati masjid.’ Itulah Abdullah bin Az Zubair.
Aisyah: Membina peradaban dengan ilmu
Tidak dilupakan, Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakar, merupakan tokoh wanita paling menonjol dalam bab keilmuan. Bahkan para ulama telah ijmak bahawa Aisyah r.a adalah wanita yang paling alim dalam sejarah tamadun Islam.
Kata Urwah bin Az Zubair: “Aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih mengetahui tentang halal dan haram, ilmu, syair, dan ilmu perubatan melebihi Aisyah (Ummul Mukminin).”
(Riwayat al-Hakim)
Beliau adalah tokoh besar dalam riwayat dan fatwa. Murid-muridnya adalah dalam kalangan tabiin. Siapa tidak kenal Al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar as-Siddiq, salah seorang daripada Fuqaha yang tujuh di Madinah, Ato’ bin Abi Rabah, sang mufti Mekah, Ummu Kaltsum binti Abu Bakar as-Siddiq, tabiin wanita yang alim, dan Ummu Kaltsum binti Talhah bin Ubaidillah, perawi tabiin yang tsiqah. Semua mereka adalah murid kepada Ummul Mukminin Aisyah.
Kecerdasan akalnya, kepetahannya dalam berbicara dan keluasan ilmunya yang menjadi rujukan umat sehingga kini adalah teladan buat semua wanita yang ingin membina tamadun manusia berteraskan ilmu dan akhlak yang mulia.
Nusaibah: Keberanian mempertahankan kebenaran.
Seterusnya, Nusaibah binti Ka’ab Al-Ansoriyyah, seorang sahabiah yang sering menyertai pasukan tentera di medan perang. Siapa tidak kenal kisah keperwiraan beliau dalam medan Uhud. Saat kecamuk perang, beliau tampil mempertahankan baginda Nabi SAW daripada serangan musuh.
Lihat pula kisah beliau dalam perang Yamamah saat menentang Musailamah, seorang nabi palsu. Beliau mara tanpa gentar untuk membunuh Musailamah. Walaupun tidak berjaya kerana Musailamah dikawal ketat saat itu, tapi keperwiraan dan jasa beliau dihormati dan dimuliakan oleh Khalid bin Al-Walid.
Apabila tonggak keluarga pun dah sebegitu rupa, maka tidak hairan apabila suami dan anak-anak Nusaibah juga merupakan pejuang di medan jihad. Dan ada dalam kalangan anak beliau yang turut syahid dalam menegakkan agama.
Rumah: Kota pertama sebuah keluarga
Jika ingin disenaraikan lagi sumbangan para wanita pada zaman Nabi, nescaya sangat panjang. Tapi memadai beberapa contoh ini untuk dijadikan panduan kita bersama.
Membentangkan kisah para sahabiah bukanlah bermaksud kita perlu mengangkat senjata dan turun ke medan perang. Tetapi sebagai inspirasi untuk meletakkan usaha dan pengorbanan demi urusan agama.
‘Perang’ pada zaman moden adalah memastikan isi rumah kita merdeka daripada pengaruh budaya asing yang merosakkan seperti hedonisme, gejala sosial dan keruntuhan akhlak, pengaruh buruk daripada media sosial dan pelbagai lagi isu yang boleh menjejaskan perkembangan positif seorang anak.
Seorang ibu juga, mungkin tidak pernah tampil berucap di hadapan khalayak umum, tetapi dia adalah seorang pemidato di hadapan anak-anaknya. Dia juga adalah guru dan pendidik pertama sebelum anak-anaknya mengenal guru di sekolah. Justeru apa acuan yang digunakan, akan membentuk cara anaknya berfikir, memahami dunia, menerapkan nilai agama, membentuk akhlak dan jatidiri.
Apabila dinilai secara keseluruhan, maka kita memahami, wanita memainkan peranan utama dalam membina kota dan peradaban manusia.
Sebuah kota yang dimaksudkan bukanlah maju dari aspek material dan pembangunan semata-mata, tetapi sebuah kota yang dibangunkan dengan sumber manusia yang beriman dan taat pada tuntutan agama. Sebuah kota yang hidup dan mampu bertahan bergenerasi lamanya.
Para sahabiah telah meninggalkan jejak mereka yang ditulis dengan tinta emas. Hari ini giliran kita pula meninggalkan jejak;
Apa gunanya pembangunan jika keluarga semakin rapuh?
Apa gunanya teknologi jika anak-anak sudah hilang arah?
Apa gunanya ekonomi yang kukuh jika manusia semakin tamak?
Apa gunanya negara maju jika akhlak masyarakat semakin mundur?
Walaupun dengan kesibukan urusan harian dan pekerjaan, setiap wanita perlu kembali merenungi peranan utama dan kedudukannya yang sangat mulia dalam Islam. Kerana setelah lebih 60 tahun menyambut kemerdekaan, kita perlu lontarkan satu persoalan penting;
Selepas sebuah negara itu merdeka, siapakah yang akan membentuk wajah bangsa dan peradabannya? Kerana sebuah kota yang sedang membangun, tanpa sumber manusia yang mengangkat teras agama, tidak akan melahirkan sebuah peradaban yang unggul.
Nor Hayati Binti Ismail
Ketua Wanita ISMA Cawangan Kuala Lumpur

