Bila kali terakhir kita berbual dengan jiran sebelah rumah lebih daripada sekadar bagi salam, “hai” dan angguk kepala. Kalau sukar untuk jawab, kita tidak keseorangan. Ramai antara kita hari ini tinggal bersebelahan dengan orang yang kita sendiri tak tahu namanya.
Setiap tahun kita menyambut Hari Kemerdekaan setiap 31 Ogos dengan bendera dan lagu kebangsaan. Malangnya, salah satu penjajahan yang tak pernah kita sedar sedang berlaku adalah cara hidup yang senyap-senyap menukar kefahaman kita terhadap hidup “berjiran” dan “berkomuniti”.
Nilai Yang Sebenarnya Kita Rindukan
Situasi hari ini, pagar rumah semakin tinggi, anak-anak lebih leka bermain tablet di dalam bilik, berbanding bermain bersama-sama dengan anak jiran tetangga di di halaman rumah. Kita keluar rumah ke pejabat sebelum subuh, balik lepas maghrib. Jiran sebelah cuma nampak muka sekali dua. Ada jiran yang kita kenal lebih rapat dalam grup WhatsApp berbanding orang yang tinggal di sebelah dinding rumah sendiri. Dulu, benda ini pelik. Sekarang, sudah jadi biasa dan sebab itulah bahaya. Kita sudah mula anggap ia normal.
Ini bukan salah sesiapa. Tetapi, hasil daripada satu falsafah yang kita terima bulat-bulat atas nama “kemodenan”. Falsafah yang meletakkan hak peribadi mengatasi tanggungjawab kepada orang sekeliling. Bila kita fikir “apa yang aku dapat” jadi lebih kuat daripada “apa yang aku boleh bagi”, jiran pun jadi orang asing. Maka terjadilah insiden, jiran boleh bergaduh hanya disebabkan isu haiwan peliharaan, sampah sarap dan isu parking kereta.
Sedangkan nilai yang kita warisi dari akidah dan budaya, mengajar kita yang sebaliknya. Amar makruf nahi munkar bukan sekadar tegur kesalahan kecil di depan mata, tapi bertanggung jawab ambil berat nasib anak jiran sama macam anak sendiri. Bergotong-royong, ziarah-menziarahi dan saling bertukar juadah, semua ini bukan adat basi, tapi cara kita “berlatih” hidup untuk orang lain, bukan untuk diri sendiri sahaja.
Bayangkan kalau setiap kali azan Maghrib, bukan sekadar rumah sendiri yang bergegas ke masjid, tapi kita biarkan anak jiran terus leka bermain. Jika anak sendiri hafal Al Quran 30 juzuk, jangan biarkan anak-anak jiran merangkak membawa Iqra’.
Selain itu, peranan AJK masjid atau ajk persatuan penduduk perlu diperluas, bukan sekadar memelihara infrastruktur taman perumahan semata-mata. Manfaatkanlah peranan ini sebagai pendakwah komuniti yang memastikan seruan dakwah sampai ke setiap pelosok lorong dan rumah dalam komuniti.
Contohnya, tabung kariah atau tabung masjid menjadi tabung ‘takaful’ bila jiran ditimpa kesusahan. Tabung masjid juga boleh dimanfaatkan untuk aktiviti mengajak orang muda dan remaja imarahkan masjid dan surau. Bayangkan kalau keputusan besar dalam kejiranan, dari isu keselamatan sehinggalah isu remaja, kesemuanya dibincang bersama, bukan diputuskan seorang dua sahaja
Itulah rupa sebenar “komuniti” yang kita rindukan. Bukan nostalgia rumah kayu dan sawah bendang, tapi semangat saling menjaga yang kita boleh hidupkan semula walaupun tinggal di kondominium 30 tingkat.
Bukan Isu Kemajuan, tetapi Pilihan.
Kita jujur dan akui bahawa masalah sosial seperti gejala sosial remaja, keretakan institusi keluarga, warga emas dibiarkan keseorangan, bukan datang secara tiba-tiba. Tetapi wujud apabila komuniti berhenti ambil peduli. Kita sibuk buat kem motivasi dan hotline kaunseling, tapi jarang tanya soalan asas, kenapa keluarga dan jiran yang sepatutnya jadi barisan pertama, sudah saling tidak berfungsi apatah lagi saling mengenali?
Tidak perlu tunggu majlis besar atau program rasmi. Esok, bila jumpa jiran, sapa dengan nama, bertanya khabar. Kalau nampak jiran nampak susah, kita tegur dan bantu. Jadikan jiran umpama keluarga terdekat.
Sebab kemerdekaan sebenar adalah memastikan masyarakat kita hidup berkomuniti dengan kehendak bersama bertunjangkan akidah Islam dan budaya kemasyarakatan Melayu, bukan tinggal di Malaysia dengan cara hidup masyarakat Barat. Negara boleh unggul, kalau komuniti kejiranan kita kuat terlebih dahulu.
Mohd Nasrul Muhaimin bin Mohd Taib
Naib Presiden ISMA


