Hungry Ghost Festival atau Teong Guan Phor Thor telah diwartakan sebagai warisan negeri Pulau Pinang. Pengiktirafan itu menimbulkan satu persoalan yang lebih besar daripada soal budaya. Apakah sebenarnya identiti sebuah negeri Pulau Pinang dan negara Malaysia?
Kerajaan negeri menyatakan bahawa pengiktirafan ini adalah sebahagian daripada usaha memelihara warisan dan menjadikan kepelbagaian perayaan masyarakat majmuk sebagai sebahagian daripada identiti Pulau Pinang.
Di sinilah kita perlu berhenti sejenak.
Masyarakat bukan Islam memiliki budaya, tradisi dan amalan mereka dan kita tidak menolak usaha memelihara sejarah mereka sendiri. Tetapi, mengiktiraf kewujudan sesuatu budaya tidak semestinya menjadikannya sebahagian daripada teras identiti negara.
Ini perbezaan yang sangat penting.
Malaysia bukan negara yang lahir tanpa akar sejarah. Tetapi, dibentuk melalui sejarah yang panjang, termasuk kedudukan Melayu dan Islam yang mempunyai tempat khusus dalam kerangka Perlembagaan.
Maka, kepelbagaian tidak boleh ditafsirkan sebagai semua identiti mesti diletakkan pada kedudukan yang sama sehingga identiti teras negara akhirnya hilang.
Kita boleh menghormati budaya orang lain tanpa kehilangan budaya sendiri dan melindungi hak masyarakat bukan Islam tanpa mengatakan semua nilai, tradisi dan kepercayaan mempunyai kedudukan yang sama dalam pembentukan identiti negara.
Inilah yang menjadi salah faham.
Apabila Melayu dan Islam dipertahankan, ia segera dilabel sebagai paksaan. Sedangkan mempertahankan asas negara tidak sama dengan memaksa orang lain meninggalkan agama atau budaya mereka.
Sebaliknya, yang kita pertahankan ialah jati diri dan asas yang telah membentuk negara ini.
Prinsip komuniti yang kita inginkan juga jelas: masyarakat boleh hidup bersama dalam kepelbagaian, bekerjasama dan saling menghormati, tetapi tetap mempunyai kompas nilai dan identiti yang jelas. Kepelbagaian bukan alasan untuk mencairkan prinsip.
Warisan boleh diraikan, sejarah boleh dipelihara dan budaya masyarakat lain boleh dihormati.
Tetapi apabila kita mula mendefinisikan identiti semata-mata sebagai himpunan semua budaya yang wujud, kita sedang mengubah makna identiti itu sendiri.
Sebuah negara yang matang bukan negara yang malu dengan akarnya. Kita tidak menolak kepelbagaian budaya, tetapi menolak pencairan identiti.
Malaysia mesti terus menghormati semua rakyatnya, tetapi pada masa yang sama berani mengakui akar sejarah dan teras negaranya: Melayu dan Islam.
Mohd Nasrul Muhaimin bin Mohd Taib
Naib Presiden ISMA

