Wanita yang jiwanya merdeka

Belakangan ini, media sosial kerap dibanjiri dengan fenomena selebriti dan influencer wanita melepaskan hijab atas alasan mahu “menjadi diri sendiri”. Berpakaian menutup aurat dan memelihara syariat seolah-olah dituduh sebagai penjara yang menyekat kebebasan, memaksa mereka berpura-pura, atau bersikap hipokrit. Realitinya, manusia sering menunggu untuk benar-benar Ikhlas sebelum melakukan suatu perkara kebaikan.

Memang benar, ikhlas adalah syarat utama dalam setiap ibadah. Namun, kita sering terlepas pandang pesanan para ulama tentang halus dan tipisnya tipu daya syaitan dalam memainkan isu “keikhlasan”. Imam Fudhail bin ‘Iyadh r.h. pernah meletakkan prinsip yang sangat tajam:

“Meninggalkan amal kerana manusia adalah riyak, manakala melakukan amal kerana manusia adalah syirik. Ikhlas itu adalah apabila Allah menyelamatkan engkau daripada kedua-duanya.”

Meninggalkan kewajiban menutup aurat atau syariat lain semata-mata takut dituduh tidak Ikhlas atau kerana enggan “menipu diri sendiri” sebenarnya bukanlah satu kejujuran. Tetapi, merupakan satu bentuk pertahanan jiwa (defense mechanism) untuk mengharuskan kecurangan terhadap perintah Ilahi.

Hakikatnya, seorang Muslimah tidak perlu membuang agama untuk menjadi dirinya yang sebenar. Kita akan merasa jauh lebih tenang dan tenteram apabila menjadi diri sendiri dalam kerangka syariat.

Bebas Daripada Penjajahan ‘Persepsi Manusia’

Itulah cerminan kepada jiwa yang merdeka, iaitu jiwa yang bebas daripada penjajahan hawa nafsu dan bebanan harapan sesama makhluk. Jiwa yang merdeka sentiasa meletakkan neraca langit sebagai kayu ukur kebahagiaan, dan tidak sesekali goyah dengan badai pandangan persekitaran.

Kemerdekaan jiwa bukannya bebas tanpa batas mengikut perasaan dan perimbangan akal sendiri sehingga merosakkan jati diri. Kemerdekaan sebenar ialah pembebasan fizikal, pemikiran, ideologi, dan gaya hidup daripada belenggu kebatilan untuk kembali tunduk sepenuhnya kepada Pencipta. Hal ini, selari dengan matlamat utama penuruan al-Quran, seperti Firman Allah SWT: 

الٓر ۚ كِتَـٰبٌ أَنزَلْنَـٰهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ ٱلنَّاسَ مِنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَىٰ صِرَٰطِ ٱلْعَزِيزِ ٱلْحَمِيدِ

Maksudnya : “Alif, Lam, Ra. Ini adalah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman dengan izin Tuhan mereka, ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.”

(Surah Ibrahim 14: 1)

Jiwa yang merdeka ialah jiwa yang besar, jiwa yang tidak mudah hanyut atau terganggu oleh perkara-perkara remeh. Wanita berjiwa besar memahami bahawa kemerdekaan jiwa datang bersama amanah dan tanggungjawab. Dia bukan sahaja berkorban untuk keluarganya, malah melihat dirinya mempunyai peranan yang lebih luas: mendidik masyarakat dan membimbing ummah.

Kekuatan wanita berjiwa merdeka tidak bersumberkan pujian atau penghargaan manusia, tetapi terus daripada Allah SWT. Apa jua kesulitan dan cabaran dalam memikul pelbagai peranan dihadapi dengan dada yang lapang, kerana hatinya berpaut pada Yang Maha Kuasa.

‘Healing’ Sebenar Adalah Kembali Kepada Allah

Hari ini, ramai wanita sanggup berbelanja puluhan, ratusan, bahkan ribuan ringgit untuk menyertai pelbagai program healing demi membebaskan diri daripada tekanan hidup. Namun, rawatan sebenar bagi jiwa yang lelah bukannya sekadar berada di tempat mewah atau mengejar vibe yang mahal semata-mata.

Healing yang hakiki bermula daripada minda dan jiwa yang meletakkan neraca Allah SWT sebagai kayu ukur kebahagiaan. Selagi hidup dikongkong oleh pandangan manusia, kita tidak akan pernah bebas daripada bebanan jangkaan yang tidak akan pernah cukup.

Sebagai contoh, peranan seorang ibu; jika kita berbuat baik kepada anak-anak sekadar untuk menggembirakan nafsu mereka, kita akan cepat berasa gagal apabila tidak mampu memberikan mereka kemewahan dan kesenangan hidup seperti orang lain. Sebaliknya, jika niat mendidik itu berpasakkan pertimbangan syarak dan akhirat, kita tidak akan goyah dan kecewa walau tidak mampu menyediakan hadiah yang mahal untuk hari ulang tahun misalnya. Yang utama, anak-anak terdidik menjadi insan yang bersyukur dan mengenali hakikat diri sebagai hamba.

Rasulullah SAW mengingatkan kita tentang hakikat kekayaan dan ketenangan jiwa melalui hadis riwayat Abu Hurairah RA:

لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ، وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ

Maksudnya : “Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda, tetapi kekayaan sebenar ialah kekayaan jiwa (rasa cukup dan tenang).” 

(HR al-Bukhari & Muslim)

Merdekakan Jiwa Sempena Hari Kemerdekaan

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ini, marilah kita membebaskan jiwa kita daripada sebarang bentuk penjajahan fikiran, fahaman songsang, dan ikatan duniawi yang menyesakkan.

Pilihlah untuk menjadi wanita yang merdeka: wanita yang anggun memelihara syariat, teguh jati dirinya, dan tenang menjadi diri sendiri di dalam kerangka redha-Nya.

Dr. Norbaiyah binti Mohamed Bakrim
Ketua Wanita ISMA Indera Mahkota

Scroll to Top