Lebih tiga suku rakyat Malaysia kini tinggal di bandar. Dalam tempoh dua generasi, kita berpindah daripada aturan kampung yang berkelompok kepada susunan bandar yang menegak, berpagar dan bergantung sepenuhnya kepada kenderaan. Perpindahan ini lazimnya diukur dengan istilah seperti KDNK, harga rumah, nisbah plot dan sebagainya. Namun, kita jarang mengukur kesannya kepada unit paling asas dalam masyarakat iaitu keluarga.
Terikat kepada Tempat, Atau Terikat kepada Masa?
Perbahasan dalam perancangan bandar dewasa ini sibuk dengan isu bandar menua, perubahan iklim, bandar mesra OKU dan sebagainya. Semua agenda ini perlu dan wajar diperkukuh. Tetapi ia merupakan syarat yang perlu, bukan syarat yang memadai. Selagi kerangka falsafah yang mendasari pembinaan bandar tidak diperiksa semula, setiap penambahbaikan fizikal hanya beroperasi di dalam acuan yang sama. Krisis yang lebih dalam bukanlah krisis keboleh capaian fizikal, sebaliknya ia adalah krisis pemikiran.
Dr. Abdel-Wahed El-Wakil, seorang arkitek terkenal dari Mesir yang dianggap sebagai tokoh penting dan ikon seni bina Islam kontemporari, menegaskan bahawa bandar moden tersesat kerana dibina di atas falsafah yang semata-mata komersial.
Beliau juga menyatakan terdapat hubungan linguistik dan falsafah antara dua perkataan Arab: sakan (tempat tinggal, kediaman) dan sakinah (ketenangan, kedamaian yang mendalam). Kedua-duanya berkongsi kata akar yang sama. Hubungan ini bukan sekadar kebetulan bahasa, sebaliknya terpancar jelas dalam al-Quran. Dalam Surah al-Nahl ayat 80, Allah menyebut bahawa rumah-rumah dijadikan bagi manusia sebagai sakan — tempat menemukan ketenangan. Dalam Surah al-Rum ayat 21 pula, tujuan pasangan hidup dinyatakan dengan kata kerja daripada akar yang sama, iaitu litaskunu ilayha, agar seseorang memperoleh ketenteraman padanya. Dalam kerangka ini, kediaman bukan sekadar aset kewangan atau unit konkrit tempat melelapkan mata selepas perjalanan pulang kerja yang memenatkan, tetapi ia adalah ruang kedamaian.
Menurut El-Wakil, kediaman sepatutnya menumbuhkan ketenangan dan ketundukan kepada aturan alam. Pembinaan moden yang bergantung kepada keluli dan grid konkrit memisahkan manusia daripada alam, bahkan menjejaskan kesihatan manusia. Pembandaran masyarakat dahulu berpaksikan tempat (*bound to place*), tunduk kepada hukum alam yang merupakan sebahagian daripada Sunnatullah — memanfaatkan arah angin, pencahayaan semula jadi, serta mengukur skala mengikut keupayaan fizikal manusia.
Falsafah ini resonans dengan sejarah Alam Melayu, dan buktinya terpancar paling nyata pada bentuk binaan itu sendiri. Rumah Melayu bertiang mengangkat lantai daripada lembapan dan banjir sambil membenarkan aliran udara di bawahnya. Bumbung curam melepaskan hujan lebat tropika. Dinding berkisi, tingkap panjang dan bukaan bersilang menyalurkan angin tanpa memerlukan janaan tenaga. Serambi berfungsi sebagai ruang peralihan yang mengawal darjah keterbukaan antara orang luar, jiran dan ahli keluarga. Susun atur kampung pula tersusun di bawah kepimpinan penghulu, dengan masjid atau surau, telaga dan ruang komuniti menjadi nadi kejiranan. Semua ini merupakan seni bina yang tunduk kepada iklim dan hukum alam, bukan yang cuba melawannya.
Sebaliknya, pembandaran moden berakar daripada idea bound to time — doktrin kemajuan linear (progressivism) yang mengandaikan bahawa sejarah bergerak lurus daripada bentuk yang ‘primitif’ kepada bentuk yang ‘lebih maju’ mengikut peredaran masa. Gagasan ini telah lama tertanam dalam pemikiran Barat menerusi tokoh seperti Condorcet, Comte dan Hegel, jauh sebelum ia diserap ke dalam bidang seni bina. Apabila falsafah ini memasuki perancangan bandar, lahirlah iktikad bahawa yang baharu sentiasa lebih baik daripada yang lama.
Kemuncaknya, terserlah dalam gerakan fungsionalis Le Corbusier dan Kongres CIAM pada awal abad ke-20, Ketika itu, industri kilang sedang mengubah cara dunia bekerja. Setiap gerakan pekerja diukur dan diselaraskan supaya paling cekap, satu kaedah pengurusan yang dikenali sebagai Taylorisme. Le Corbusier dan rakan-rakannya membawa masuk cara berfikir yang sama ke dalam reka bentuk rumah dan bandar. Sejak itu, pembandaran moden merasa berkewajipan untuk sentiasa kelihatan futuristik dan membuang tradisi silam, kerana reka bentuk lama dianggap sekadar tinggalan zaman yang telah berlalu.
Dalam gagasan ini juga, manusia dinilai dari sudut fizikal dan biologi semata-mata, bukannya entiti yang memiliki roh yang dahagakan ketenteraman jiwa (sakinah). Le Corbusier sendiri merumuskan rumah sebagai ‘mesin untuk didiami’ (machine à habiter). Hasilnya, bandar moden direka mengikut logik mesin: mengutamakan kecekapan fungsi, pemadatan ruang, dan produktiviti ekonomi, bukannya keperluan fitrah emosi dan spiritual keluarga.
Kesannya dapat kita lihat secara nyata menerusi gelombang sosial yang merombak pasak paling asas dalam peradaban manusia, iaitu institusi kekeluargaan.
Keluarga yang Mengecil
Penyusutan struktur keluarga ini dibuktikan apabila purata saiz isi rumah di Malaysia merosot daripada 5.5 orang pada tahun 1970 kepada kira-kira 3.8 orang pada 2020, mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan purata terendah di negara ini iaitu 3.3 orang, manakala negeri yang kurang terbandar seperti Kelantan (4.9) dan Sabah (4.7) merekodkan angka yang lebih tinggi. Perbezaan ini sudah tentu tidak boleh dijelaskan oleh pembandaran semata-mata — kadar kesuburan, struktur umur dan tahap pendapatan turut berperanan — namun coraknya adalah konsisten dan tidak boleh diabaikan.
Saiz keluarga yang terhakis ini antara lainnya berpunca daripada tekanan fizikal dan ekonomi hidup di bandar. Harga hartanah yang melambung tinggi memaksa keluarga memilih unit kecil seperti rumah pangsa atau pangsapuri dua bilik yang tidak mempunyai ruang mencukupi untuk nenek atau datuk tinggal bersama. Malah di kawasan perumahan awam (PA/PPR), unit dua bilik yang sempit itu terpaksa memuatkan sehingga tiga generasi — dengan sesetengah isi rumah dihuni melebihi sepuluh orang dalam keadaan yang amat sesak.
Secara tidak langsung, reka bentuk bandar moden turut menyumbang kepada tersingkirnya peranan keluarga kembangan. Keadaan ini memudarkan fungsi keluarga sebagai wadah mewariskan nilai daripada satu generasi kepada generasi berikutnya. Pegangan agama, warisan, bahasa halus, adab, dan cerita keturunan hanya dapat dipindahkan melalui kehadiran fizikal, sukar sekali diwariskan menerusi panggilan video atau mesej di aplikasi WhatsApp.
Warga Emas dan Iktibar Negara Jepun
Datuk dan nenek yang sepatutnya menjadi sumber nasihat kini ditinggalkan bersendirian di kampung kerana anak-anak berhijrah ke bandar atas faktor pekerjaan, manakala kediaman bandar pula tidak mampu menampung kehadiran selain keluarga nukleus.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025 oleh Institut Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan Malaysia mendedahkan bahawa 18.8 peratus warga emas di Malaysia kini tinggal bersendirian — meningkat hampir tiga kali ganda berbanding 6.3 peratus pada 2018. Dengan populasi warga emas yang kini mencecah 4.1 juta orang, hampir satu perlima daripada mereka menjalani hari tua tanpa kehadiran harian sesiapa pun, manakala mereka yang tidak boleh memandu seolah-olah terpenjara di dalam rumah sendiri akibat reka bentuk bandar yang tidak mesra pejalan kaki.
Krisis pengasingan warga emas ini bukanlah fenomena tempatan semata-mata, sebaliknya menjadi iktibar seperti yang berlaku di Jepun. Sebagai perintis bandar mesra warga emas, Jepun mengubah pusat membeli-belah menjadi hab jagaan warga emas, menyediakan ruang permainan kanak-kanak di ruang hadapan, dan memasukkan modul empati dalam kurikulum sekolah. Semua usaha itu sebenarnya merupakan tindak balas kepada satu krisis yang lebih awal, iaitu fenomena *kodokushi* atau “kematian sunyi” — di mana warga emas meninggal dunia bersendirian tanpa disedari selama berhari-hari, malah bertahun-tahun. Ia menjadi bukti bahawa apabila fabrik sosial telah terlebih dahulu terhakis, pembaikan fizikal dan program sokongan datang sebagai ubat, bukan sebagai pencegahan.
Keadaan ini amat berbeza dengan realiti masyarakat dahulu. Kita sering merasa kagum bagaimana generasi terdahulu bebas membiarkan anak-anak meneroka alam di luar rumah dan diasuh secara bersama oleh saudara-mara di dalam kampung yang sama. Kehidupan silam dibina atas ikatan persaudaraan dan kepercayaan yang kukuh, di mana pengawal keselamatan tidak diperlukan kerana kejiranan saling menjaga antara satu sama lain.
Ironinya, pembandaran moden turut mengubah cara kita berhubung dengan alam dan menjaga kesihatan. Hari ini, kita terpaksa melaburkan wang yang banyak demi membeli semula kesihatan dan ketenangan alam, contohnya membeli kelengkapan sukan dan mendaki untuk masuk ke hutan, membayar kos tiket masuk melihat ladang haiwan ternakan, atau menyertai keahlian gimnasium untuk mengangkat beban. Sedangkan bagi masyarakat dahulu, perkara tersebut adalah sebahagian daripada rutin harian percuma. Aktiviti fizikal berlaku secara organik menerusi aktiviti bercakap-cakap sambil berjalan kaki ke kedai, berkebun, memanjat pokok, serta memikul barang harian. Dalam bandar moden, gaya hidup sedentari akibat reka bentuk bandar terpaksa diubati dengan perkhidmatan berbayar.
Beban Pengasuhan dan Keretakan Rumah Tangga
Seiring pudarnya ikatan kejiranan dan jaringan keluarga kembangan di bandar, beban pengasuhan kini digalas sepenuhnya oleh keluarga nukleus secara bersendirian. Ibu bapa yang seharian menongkah arus kesesakan jalan raya pulang ke rumah dalam keadaan kelesuan fizikal dan emosi, sehingga tidak lagi mampu memantau pendidikan anak-anak. Lantas, anak-anak dibiarkan membesar sendirian dan diasuh oleh gajet.
Tekanan persekitaran bandar yang berterusan ini turut membebani tiang rumah tangga. Malaysia merekodkan 60,457 kes perceraian pada tahun 2024, meningkat 4.1 peratus berbanding 58,095 kes pada 2023 (DOSM). Kes tertinggi berlaku dalam kumpulan umur 30–34 tahun — golongan yang paling terhimpit antara kerjaya bandar, hutang perumahan, dan membesarkan anak kecil.
Pada masa yang sama, kos sara hidup yang tinggi menjadikan bapa sebagai model tunggal pencari nafkah hampir mustahil, lalu fungsi asuhan yang dahulunya berlaku secara organik di rumah bertukar menjadi perkhidmatan komersial berbayar. Situasi ini merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan kadar kesuburan negara yang kini berada pada paras 1.6 anak bagi seorang wanita, jauh di bawah paras penggantian populasi 2.1 — di samping faktor lain seperti peningkatan pendidikan dan penyertaan wanita dalam pasaran kerja serta penangguhan usia perkahwinan.
Implikasi daripada fabrik keluarga yang rapuh dan persekitaran kota yang mengasingkan, akhirnya melimpah kepada generasi muda. Laporan NHMS 2022: Adolescent Health Survey oleh Institut Kesihatan Umum, KKM mendapati 26.9 peratus remaja sekolah menengah dilaporkan mengalami simptom kemurungan — kira-kira satu daripada empat orang. Kadar remaja yang melaporkan berasa kesunyian pula meningkat dua kali ganda dalam tempoh sepuluh tahun yang sama.
Penutup: Bandar yang Memelihara Jiwa
Jika akar masalahnya berpunca daripada falsafah pembandaran yang tersasar, maka sekadar meminda dasar perancangan bandar (town planning) atau menambah kemudahan fizikal tidak akan memadai. Perancangan yang boleh mengurangkan sedikit kepedihan harian, tetapi tidak merawat punca penyakit.
Oleh itu, yang diperlukan ialah anjakan cara fikir berasaskan kerangka pemikiran sendiri berdasarkan nilai tempatan. Kita perlu mengkaji semula ‘lost knowledge’, ilmu dan kebijaksanaan silam yang hilang, untuk mengembalikan reka bentuk bandar yang berpaksikan tempat dan hukum alam. Hanya dengan tunduk kepada Sunnatullah, sesebuah kediaman dan persekitaran bandar dapat memancarkan kembali nilai sakinah yang hakiki.
Bagi menampung hakisan struktur keluarga akibat penghijrahan, pembangunan komuniti dan ikatan persaudaraan setempat wajib dihidupkan semula untuk menggantikan fungsi keluarga kembangan yang kini dipisahkan oleh jarak. Gagasan ini bukannya konsep asing, sebaliknya berakar daripada iktibar teragung dalam Sirah Nabawiyyah menerusi persaudaraan antara golongan Muhajirin dan Ansar. Sejarah telah membuktikan bahawa Ukhuwah Islamiyah ialah pasak pertama kekuatan ummah. Jalinan sosial inilah yang berupaya menyokong, melindungi, dan melengkapi unit keluarga yang terasing di tempat baharu.
Jika keluarga ialah unit asas kepada pembinaan sesebuah tamadun, maka pembangunan bandar tidak lagi boleh dipandu oleh acuan modeniti yang rakus. Sudah tiba masanya bandar dibina untuk memelihara jiwa manusia, mengukuhkan persaudaraan, dan meletakkan agenda pembangunan keluarga di tempat yang tertinggi.
Dr. Siti Sarah binti Amran
Ketua Biro Keluarga & Masyarakat (BKM) ISMA


