Menyelusuri sirah kehidupan Rasulullah SAW dan perjuangan Baginda, kita akan menemukan suatu makna kemerdekaan yang jauh lebih luas daripada sekadar kebebasan sebuah wilayah daripada penjajahan. Perjuangan Rasulullah SAW, adalah kemerdekaan manusia daripada segala bentuk pengabdian sesama makhluk, kezaliman dan kerosakan, menuju pengabdian yang sebenar-benarnya hanya kepada Allah SWT.
Saban tahun, kita menyambut Hari Kebangsaan bagi memperingati kemerdekaan negara sejak tahun 1957. Sejak kecil, kita dididik untuk memahami dan menghayati erti kemerdekaan. Namun, seiring bertambahnya usia, pengalaman dan ilmu, sudah tentu pemahaman kita terhadap kemerdekaan turut berkembang. Merdeka bukan lagi sekadar sebuah tarikh atau laungan, tetapi suatu nilai yang perlu diterjemahkan dalam kehidupan.
Apabila kembali menelusuri perjuangan Rasulullah SAW, kita memahami bahawa Baginda SAW diutuskan sebagai rahmat untuk seluruh alam. Firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya’:
وَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ إِلَّا رَحْمَةًۭ لِّلْعَـٰلَمِينَ
Maksudnya : “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
(Surah al- Anbiya’ 21: 107)
Rasulullah SAW membawa sebuah risalah yang membebaskan manusia. Baginda bukan sekadar mengumpulkan pengikut atau membina pengaruh, tetapi mendidik dan membentuk sebuah generasi yang memiliki kekuatan iman, akhlak, ilmu dan keberanian. Daripada generasi inilah lahir sebuah ummah yang kemudiannya membawa perubahan besar pada perjalanan sejarah manusia.
Tambahan lagi, pembinaan generasi tersebut bermula di Mekah. Dalam suasana tekanan dan tentangan, Rasulullah SAW membina manusia terlebih dahulu — membetulkan akidah, membersihkan jiwa dan membentuk akhlak. Kemudian berlaku hijrah ke Madinah, yang membuka lembaran baharu kepada pembentukan sebuah masyarakat dan negara yang berteraskan iman, persaudaraan, keadilan serta tanggungjawab.
Oleh sebab itu, generasi awal para Sahabat merupakan antara generasi yang paling memahami makna kemerdekaan ini. Mereka menemukan kemerdekaan apabila menerima Islam lalu membebaskan diri daripada belenggu jahiliah dan pengabdian sesama manusia. Akhirnya, mereka memilih untuk menjadi hamba hanya kepada Allah SWT.
Kefahaman inilah yang mengubah mereka. Daripada masyarakat yang berpecah kepada sebuah ummah yang bersatu; daripada kelemahan kepada kekuatan; dan daripada kehidupan yang dibelenggu jahiliah kepada kehidupan yang dipandu wahyu.
Kemudian, selepas kewafatan Rasulullah SAW, risalah ini diteruskan oleh para Sahabat dan generasi selepas mereka sehingga Islam berkembang merentasi pelbagai wilayah dan tamadun. Perkembangan tersebut membawa bersama suatu gagasan besar iaitu membebaskan manusia daripada kezaliman, menegakkan keadilan, menyebarkan ilmu dan membawa manusia mengenal serta mengabdikan diri kepada Allah SWT.
Inilah antara pengertian kemerdekaan yang dapat kita pelajari daripada sirah.
Persoalannya, bagaimana pula dengan kita pada hari ini? Apakah erti merdeka bagi kita? Dan sejauh manakah kita benar-benar telah merdeka?
Secara zahirnya, kita hidup dalam sebuah negara yang merdeka. Kita bebas mengamalkan agama, melaksanakan ibadah dan menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim. Nikmat ini sewajarnya disyukuri dan dipertahankan.
Namun, kemerdekaan fizikal sahaja belum memadai sekiranya jiwa masih terbelenggu oleh kelemahan akhlak, individualisme, keruntuhan nilai, perpecahan dan pemikiran yang menjauhkan manusia daripada fitrah serta panduan agama.
Sebab itulah kemerdekaan perlu sentiasa diisi. Bermula dengan pembinaan diri, kemudian setiap individu perlu berusaha memperkukuhkan iman, memperbaiki akhlak, meningkatkan ilmu dan membina integriti. Daripada individu yang baik, lahirlah keluarga yang kukuh, lalu terbentuklah masyarakat yang saling peduli dan bertanggungjawab.
Sementara itu, setiap masyarakat pula, perlu mengikis sikap individualistik yang semakin menebal dan menghidupkan kembali semangat persaudaraan, keprihatinan serta kerjasama. Kita perlu berani mempertahankan nilai yang benar dan menolak pemikiran serta budaya yang merosakkan akhlak, integriti dan jati diri generasi.
Kemerdekaan yang diwarisi tidak seharusnya hanya diraikan, tetapi mesti diisi dan dipertahankan.
Jika generasi terdahulu berjuang untuk membebaskan tanah air daripada penjajahan, maka generasi hari ini mempunyai tanggungjawab untuk memastikan jiwa, pemikiran, keluarga dan masyarakat tidak kembali terjajah dalam bentuk yang baharu.
Pembinaan ummah yang merdeka bermula daripada manusia yang merdeka jiwanya — manusia yang teguh imannya, luhur akhlaknya, luas ilmunya, kukuh jati dirinya dan sedar akan tanggungjawabnya kepada Allah, masyarakat dan negara.
Sempena kemerdekaan ini, marilah kita bertanya kepada diri sendiri: bukan sekadar “Sudahkah negara kita merdeka?”, tetapi juga “Sudahkah jiwa kita benar-benar merdeka?”
Kerana daripada jiwa-jiwa yang merdeka itulah akan lahir sebuah ummah yang kuat, bermaruah dan gemilang.
Dr. Abdullah Tahir bin Abdul Rahim
YDP ISMA Alor Setar


