BANGI, 27 Disember – Muzakarah Jawatankuasa Pusat (JKP) bersama Yang Dipertua (YDP) ISMA daripada 46 cawangan seluruh Malaysia telah diadakan pada Sabtu dan Ahad yang lepas di Ibu Pejabat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).
Menurut Presiden ISMA, Ustaz Shuhaib Ar-Rumy bin Selamat, muzakarah ini menjadi medan penting untuk menilai prestasi gerakan, menyelaraskan perancangan organisasi dan memperkukuh hala tuju perjuangan dalam membawa gagasan Ummah Fadhilah ke tengah masyarakat.
“Pertemuan ini menghimpunkan kepimpinan pusat dan cawangan bagi melakukan muhasabah terhadap perjalanan semasa organisasi, mengenal pasti cabaran serta membincangkan langkah penambahbaikan dan keutamaan gerak kerja pada masa hadapan,” katanya.
Muzakarah turut memberi tumpuan kepada penyelarasan perancangan organisasi bagi memastikan seluruh cawangan bergerak dengan kefahaman yang jelas dan seiring dalam menjayakan agenda besar ISMA.
“Terima kasih kepada seluruh barisan JKP dan YDP ISMA atas komitmen serta kesungguhan menjayakan pelbagai projek dan agenda organisasi, sama ada di peringkat pusat mahupun cawangan.
“Segala usaha dan pengorbanan tersebut menjadi kekuatan penting dalam menggerakkan organisasi serta merealisasikan cita-cita perjuangan bersama,” katanya.
Menutup sesi pertemuan Ustaz Shuhaib mengingatkan JKP dan YDP tentang perjalanan yang panjang, menuntut kepimpinan yang lebih berkesan dan gerakan yang semakin dekat dengan denyut nadi masyarakat.
Presiden ISMA juga mengingkatkan JKP dan YDP tentang Firman Allah SWT dalam Surah al-Nur, ayat 55:
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا
Maksudnya : Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh di antara kamu, bahawa Dia pasti akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa; dan Dia pasti akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah Dia redai untuk mereka; dan Dia pasti akan menukar keadaan mereka selepas ketakutan menjadi aman. Mereka menyembah-Ku dan tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu pun.
(Surah al-Nur, 24:55)

