Ada Orang Gelar Kami Staff KKM Ejen Yahudi

Setiap Muslim wajib mempercayai bahawa segala apa yang berlaku berada dalam qada dan qadar Allah swt.

Segalanya telah Allah swt tentukan dari masa lalu hingga ke masa kini. Sekecil-kecil hingga ke sebesar-besar kejadian merupakan apa yang telah Allah swt tentukan.

Begitu juga apa yang berlaku pada tahun 2020 ini. Kini telah masuk ke bulan November tahun 2020. Dan kita masih bergelut dengan wabak Covid-19.

Sepatutnya kita telah mengambil iktibar dari banyak perkara yang berlaku pada tahun ini. Menginsafi bahawa diri kita kerdil dan lemah sehingga negara yang dikatakan terkuat di dunia juga sedang bergelut dengan wabak ini.

Benar, ada yang mengatakan wabak ini sengaja di sebarkan atau dicipta, malah ada yang mengatakan ia hanyalah penipuan semata-mata.

Tapi samada ia sengaja disebar mahupun tidak. Ciptaan manusia ataupun tidak. Ia masih berada dalam lingkungan Qada Qadar Allah swt.

Yang akhirnya kita faham bahawa, Allah swt yang sebaik-baik perancang berbanding manusia yang lemah. Orang yang punya iman pasti mengambil ibrah.

Kemungkinan segala apa yang berlaku adalah atas maksiat yang kita lakukan kepadanya. Mungkin Allah swt murka dengan apa yang kita lakukan.

Jika kita lihat di Malaysia sahaja. Beberapa tahun kebelakangan ini, ada pihak cuba menaikkan suara-suara humanisme, liberalisme, sekularisme dan seangkatan dengannya.

Begitu juga hedonisme yang sudah sebati dalam masyarakat kita. Pesta maksiat dan sebagainya. Mungkin telah menjadi punca kemurkaan Allah swt lantas diturunkanNya wabak ini melalui asbab manusia.

Terkilan apabila melihat Iklan ABPBH yang menampilkan artis seksi tidak menutup aurat terkinja-kinja di atas pentas dibenarkan untuk terus berjalan sedangkan majlis-majlis ilmu dibatalkan. Atas alasan SOP. Maaf saya hanya nampak ‘double standard’.

Adakah kita belum ambil pengajaran?

Adakah kita mahu tunggu bumi ini bergegar ketika mana kamu menari-menari di atas pentas dan nyawa dihujung halkum baru kita ingin bertaubat?

Sehingga ada sahabat-sahabat yang menggelar kami staf KKM termasuk Pengarah Kesihatan sebagai ejen Yahudi, ejen Big Pharma, ejen WHO semata-mata SOP yang kelihatan tidak serius ini.

Kami menjalankan tugas lillahitaala bukan atas arahan sesiapapun, berlandaskan ilmu perubatan dan apa-apa nasihat berkaitan agama turut kami rujuk kepada yang ahlinya. Tidak sedikitpun kami terima imbuhan dari mana-mana. Jangan biarkan kami difitnah begini.

Sebagai staf kesihatan, apa yang mampu saya sampaikan adalah penyakit ini adalah benar, walaupun anda mempunyai teori-teori siapa yang menyebarkan.

Allah swt tidak mengizinkan kita berjumpa dengan penawar spesifik lagi, segala langkah yang kita ambil adalah langkah ‘prevention’. Langkah mencegah kerana saya yakin itu yang Islam ajar. Mencegah sebelum merawat.

Kerana sepertimana penyakit berjangkit yang lain, bakteria mahupun virus, ia mudah terkena pada mereka yang mempunyai imuniti lemah seperti yang berpenyakit, orang tua dan kanak-kanak. Kesan pada mereka tidak sama dengan kesan pada kita sihat ini.

Tetapi di sudut lain kita perlu sama-sama mencegah kemurkaan Allah swt juga. Ini tidak, masih lagi dengan majlis lalai dan maksiat. Allahuakbar.

Bagaimana Allah mampu kabulkan doa kita agar diangkat wabak ini? Mustahil bukan? Begitulah kita manusia, alpa lalai dan leka.

Tidak dapat tidak, peringatan wajib diberi. Semoga secebis tulisan ini menjentik hati-hati kita termasuk diri saya sendiri.

Teruskan menjaga SOP. Kita sama-sama rindu untuk kembali menjalani rutin normal semula.

Wallahualam.

Dr Indra Putra Asrar
Pengerusi I-Medik Dungun Terengganu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat