1. Malaysiakini mendedahkan kritikan Sisters in Islam terhadap Timbalan Menteri Wanita YB Siti Zailah yang dikatakan meminta wanita menerima keganasan suami. Lapor Malaysiakini: “NGO itu berkata nasihat Siti Zailah itu, mempunyai mesej tersembunyi bahawa wanita perlu bersabar, menerima dan memaafkan tingkah laku ganas suami mereka.”
2. Dalam video beliau sekitar 5 minit itu, saya dapati YB Siti Zailah sekadar memberikan tiga tips nasihat yang boleh diamalkan sekiranya keganasan rumah tangga berlaku. Tiga tips tersebut adalah berhubung kawalan fizikal, emosi dan spiritual yang didasarkan dengan hadis Nabi serta panduan agama.
3. Apa yang menghairankan, nasihat yang berpandukan hadis-hadis Nabi itu dianggap oleh Sisters in Islam sebagai memiliki “mesej tersembunyi” agar wanita menerima keganasan lelaki.
4. Nasihat beliau agar kita bersabar, bukan bererti kita menerima untuk dianiaya atau untuk didera. Ini adalah tafsiran yang salah yang dibuat oleh Sisters in Islam. Apabila Rasulullah menasihatkan kita untuk bersabar, apakah kita merasakan Rasulullah mendidik kita agar bersedia untuk dizalimi? Sudah tentu tidak.
5. Apabila kita diminta untuk bersabar, ini tidak bererti kita tidak boleh mengadukan masalah ini dan memperjuangkan hak kita. Pada penghujung video tersebut, Timb Menteri turut menawarkan perkhidmatan talian aduan bagi membantu menyelesaikan masalah rumah tangga. Mengapa perkara ini tidak dinyatakan oleh Sisters in Islam? Mengapa mereka memandang dari aspek negatif sahaja?
6. Malah menurut Malaysiakini lagi, aktivis sosial iaitu Marina Mahathir turut menafsirkan mesej yang sama. Timbul persoalan disini, mengapa mesej berlandaskan agama ini sering disalah tafsirkan oleh golongan Liberal? Adakah ini satu rangkaian liberal untuk memecahkan rasional berfikir berlandaskan pegangan agama?
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Ahli Majlis Ulama’ ISMA
Adakah Sisters in Islam Memfitnah Kerajaan?======= 1. Malaysiakini mendedahkan kritikan Sisters in Islam terhadap…
Posted by Dr Ahmad Sanusi on Sabtu, 11 April 2020